Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


MICHELLE YEOH RANGKUL PELAKON WANITA TERBAIK DI OSCARS 95

Kemenangan Michelle Yeoh di Anugerah Akademi Oscar ke-95, membuktikan anak Malaysia mampu terbang jauh ke Hollywood.

VIU DAN ASTRO JALIN KERJASAMA STRATEGIK?

Alami pengalaman penontonan baharu melalui kerjasama strategik antara viu dan ASTRO yang mampu membuka lebih luas pasaran dalam bidang penyiaran dengan pelbagai rancangan terbaik seluruh Asia.

ASTRO RAIKAN RAMADAN DENGAN SAJIAN PELBAGAI RANCANGAN DAN PROGRAM MENARIK

Sempena bulan Ramadan penuh keberkatan, Astro tampil meraikan Ramadan dengan pelbagai karya tontonan khususnya buat pelanggan Astro.

ANTARA MITOS DAN FANTASI. HARUM MALAM SETARAF FILEM SERAM HOLLYWOOD?

Bukan sahaja sebagai sebuah karya seram tempatan yang berbeza, namun Harum Malam wajar diakui sebagai sebuah filem Malaysia bertaraf antarabangsa.

KONSERT 25 TAHUN LAH AHMAD HABIS TERJUAL

Walaupun baru diumumkan dan tidak sampai 24 jam, tiket bagi menyaksikan konsert 25 Tahun Lah Ahmad habis terjual.

Selasa, 29 November 2016

BUNKFACE X, RAIKAN ULANGTAHUN KE- 10 MENERUSI KONSERT EKSKLUSIF, DISEMBER 2016 INI!


Sempena meraikan ulang tahun yang ke 10 Bunkface dalam industri muzik tempatan, satu sidang media khas mengenai penganjuran Konsert Bunkface X dan pelancaran koleksi album Bunkface telah diadakan di Matic, Kuala Lumpur pada petang Selasa, 29 November 2016. Konsert yang bakal berlangsung pada 24 Disember 2016 itu memilih Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur sebagai lokasi penganjuran.

Menariknya, album khas yang mengandungi beberapa buah lagu hits Bunkface dari album terdahulu, terkandung dalam Siri Koleksi Bunkface X yang akan dijual pada malam konsert di mana peminat muzik tempatan boleh memiliki album tersebut yang turut dicetak dalam bentuk Kaset (cetakan terhad) selain CD dan digital. 
 
Bunkface yang dianggotai oleh tiga orang anak muda ini merupakan kumpulan muzik band pertama di Malaysia yang berkolaborasi bersama sebuah syarikat makanan antarabangsa, Miami Grill untuk membuka cawangan keduanya di SACC Mall, Shah Alam, Selangor. Ketika berucap merasmikan album tersebut, vokalis Bunkface, Sam melahirkan rasa teruja dengan penglibatan mereka dalam dunia perniagaan makanan selain perfume dan merchadise yang merupakan antara produk terlaris di bawah jenama Bunkface. Ini penyertaan mereka bagi memantapkan jenama Bunkface dalam industri muzik tempatan.





Konsert Bunkface X telah mula dijual semenjak 21 Oktober lalu , dan peminat muzik boleh mendapatkan tiket tersebut di laman www.myticket.asia sekarang, yang berharga RM50, RM70 dan RM140 bagi VIP.
 Oleh: Amy Ikram, Gambar: Ruffey Rahman, OMS!
© 2016 Semua Hak Cipta Penulisan Kreatif adalah terpelihara milik penulis. Sebarang cetakan semula dalam apa jua platform sekalipun tanpa kebenaran penulis adalah dilarang.

Isnin, 28 November 2016

'WAJAH DALAM BINGKAI', FRAGMEN SINEMA DOKUMENTARI TEMPATAN.


Kejujuran pengkarya mendokumentasikan sesuatu sejarah atau fakta, boleh dilihat menerusi penghasilan beberapa buah dokumentari yang boleh disifatkan sebagai satu penerbitan yang cukup eksklusif. Dokumentari merupakan dokumen atau maklumat yang disalurkan kepada khalayak melalui medium penerbitan samada dalam bentuk filem atau digital, malahan dalam era globalisasi sekarang, penghasilannya lebih mudah, bahkan juga ia boleh didapati menerusi pembikinannya dalam bentuk mobile phone, dan sebagainya. 

Dato’ Dr Megat Al Imran Yassin, pensyarah kursus penerbitan dokumentari di Universiti Putra Malaysia, berpendapat, ‘Penerbitan dokumentari merupakan satu pembikinan yang mencabar minda kerana ia dihasilkan mengikut kreativiti pembikinnya, tanpa melupakan beberapa elemen fakta dan sejarah yang menjadi tunjang kepada perjalanan sesebuah cerita. Misalnya, dokumentari ‘Wajah Dalam Bingkai’ umpamanya yang di hasilkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Diterbitkan bertujuan bagi menggambarkan rentetan beberapa peristiwa penting ketika zaman awal pembikinan dokumentari pada era 60an melalui pembabitan Malayan Film Unit atau dikenali pada awal 80an sebagai Filem Negara Malaysia. 


Menerusi dokumentari ini, penonton di bawa menyelusuri beberapa peristiwa penting dari awal kewujudannya sehinggalah kepada pembikinan beberapa buah naskhah dokumentari yang kebanyakkannya menghiasi beberapa slot televisyen termasuk Majalah 3, Misteri Nusantara, program National Geographic, History Channel sehinggalah kepada kewujudan saluran GO Asean yang mengiktiraf dunia dokumentari dalam industri penerbitan dokumentari negara. 

Walaupun tidak sehebat industri perfileman tempatan, dunia penerbitan dokumentari sebenarnya satu bidang yang menyediakan peluang kerjaya yang cukup banyak. Penerbitan dokumentari di Malaysia bermula seawal era 60 an di mana penghasilannya lebih memberi fokus kepada aspek realiti dan elemen cerita tentang masyarakat, kehidupan alamnya mahupun yang memberi fokus pada gaya kehidupan masyarakat majmuknya. Ketika berucap di Majlis Apresiasi dan Sejarah Perkembangan Dokumentari Malaysia dan Tayangan Khas dokumentari Finas ‘Wajah Dalam Bingkai’, di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada pagi Isnin, 28 November 2016, Dato’ Mohd Khusairi Abd. Talib, Pengerusi Finas menyatakan, ‘sesebuah dokumentari harus berlandaskan fakta sejarah yang benar dan sahih, di samping pembikinannya harus memberikan sesuatu kepada khalayak penonton bahkan penghasilannya harus menepati kehendak penyiar melalui jalan cerita yang diketengahkan. 


Penerbit atau pengkarya harus bijak dalam menyampaikan isi cerita melalui dokumentari yang diterbitkan. Sebagai contoh, penghasilan dokumentari ‘Wajah Dalam Bingkai’ yang disiarkan dalam acara ini sebenarnya menghuraikan suka duka di sebalik industri dokumentari tempatan yang bertapak di bawah nama Malayan Film Unit atau dikenali sebagai Filem Negara Malaysia dan kini sebagai Finas (Finas Petaling Jaya). Dokumentari berdurasi 45 minit itu cukup eksklusif di mana ia sedikit sebanyak membantu kita mengenali dalam memahami sektor kreatif negara merujuk kepada industri dokumentari . Tambahnya lagi, ‘dalam kerancakkan dunia zaman kini dengan pelbagai kemudahan teknologi berasaskan gajet, kita sebenarnya cuba melangkah ke era baharu iaitu dalam penerbitan produk yang lebih canggih, di mana hasilnya dapat ditonton di serata pelusuk dunia, dan diharapkan lebih banyak karya dokumentari hebat dapat dihasilkan oleh para karyawan kita, dan melalui Finas kita cuba merealisasikan impian segenap warga dokumentari yang ada melalui pelbagai bantuan termasuk kewangan yang disalurkan’, tegas Dato’ Mohd Khusairi menutup sesi pertemuan eksklusif dokumentari ini yang diadakan di Universiti Putra Malaysia.

Turut hadir bersama, YBhg. Dekan Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi UPM , Prof. Dr. Abdul Muati@ Zamri Ahmad, Ketua Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi UPM, Dr. Hamisah Hassan, Pengarah Dokumentari tempatan, Harun Rahman, pengkritik filem tempatan, Hassan Muthalib, Pengarah Bahagian Komersil FINAS, En Azmir Saifuddin Mutalib, para pensyarah, dan para pelajar . 

oleh: Amy Ikram © 2016 Semua Hak Cipta Penulisan Kreatif adalah terpelihara milik penulis. Sebarang cetakan semula dalam apa jua platform sekalipun tanpa kebenaran penulis adalah dilarang. 

Jumaat, 25 November 2016

INTERCHANGE INSPIRASI SINEMA DAIN SAID

 
Meletakkan ‘Dukun’, sebagai platform pertamanya dalam dunia pengarahan sekitar tahun 2007, sehingga membina empayar luar biasa melalui karya Bunohan yang memenangi 8 anugerah termasuk Filem dan Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 25 (FFM25, 2013) , 2 anugerah di Anugerah Skrin 2012, dan juga menerima penghargaan serta anugerah tertinggi di beberapa festival filem antarabangsa melalui karya Bunohan antaranya, 36th Toronto International Film Festival, Festival Filem Taipei Golden Horse 2011, Festival Filem Antarabangsa Sao Paolo 2011, Palm String International Film Festival, Asia Bali Indonesia Film Festival 2011, Rotterdam Film Festival 2012, dan Fantastic Fest 2011 Amerika Syarikat, Dain Said terus melakar sejarah sekali lagi di beberapa festival filem antarabangsa apabila Interchange, filem ketiganya selepas Dukun (2007) dan Bunohan (2012) mencipta fenomena tersendiri dalam industri perfileman dunia.

Interchange mengisahkan Adam (Iedil Putra) seorang jurufoto forensik mayat yang bergerak secara persendirian untuk mengambil beberapa gambar identiti yang dikerat menerusi lensa kameranya. Perhubungan Adam dengan dunia gambarnya menemukan dirinya dengan Detektif Azman (Shaheizy Sam), seorang penyiasat berprofessional yang ditugaskan untuk menyiasat beberapa siri pembunuhan mengerikan yang berlaku di sekitar Kota Metropolitan Kuala Lumpur. Adam dan Detektif Azman bergerak bersama bagi menghadapi beberapa kes paling rumit penuh misteri. Perhubungan dunia ritual dan alam mistik antara gambar, negatif dan kepercayaan membuatkan Adam jatuh cinta dengan Iva (Prisia Nasution), seorang bomoh wanita misteri yang hidup bersama semangat burung, Belian (lakonan hebat pelakon terkenal Indonesia, Nicholas Saputra). Perhubungan antara Adam dan Iva, bertambah rumit apabila Adam cuba membantu Iva untuk kembalikan semangatnya, walaupun Iva mahu membebaskan jiwa suku kaumnya dari dalam plat kaca negatif pada masa lampau. Kehidupan dan kematian menjadi pertaruhan Iva bagi memburu semangat masa lampau yang bergerak secara perlahan tapi penuh drastik.



Interchange yang diterbitkan produksi Apparat Films bersama Cinesurya ini merupakan projek filem antarabangsa usahasama Malaysia-Indonesia, dibantu dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDec) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia(FINAS). Filem ketiga arahan Dain Said ini telah pun melebarkan sayapnya di beberapa festival filem antarabangsa, antaranya, World Premier: Festival del Film Locarno, Piazza Grande , North American Premier: Toronto Int’l Film Festival, Vanguard Etrange Film Festival, Paris, Vladivostok International Film Festival, Russia, BFI London International Film Festival, Thrill SITGES Fantastic Film Festival, Warsaw Poland, Monster Fest, Melbourne Australia, Goa International Film Festival, Jogja NETPAC Asian Film Festival dan juga merupakan filem Malaysia yang ditayangkan sempena pembukaan rasmi Festival Filem Antarabangsa Singapura yang ke -27 pada 23 November 2016 dan juga di Five Flavours Asian Film Festival, Warsaw Poland, baru-baru ini.

Ketika ditemui media semasa Sesi Pratonton & Sidang Media Khas Interchange yang di adakan di GSC Pavillion, Kuala Lumpur pada petang Khamis, Dain Iskandar Said / Dain Said, berkata, ‘Interchange adalah sebuah karya yang diinspirasikan daripada kisah benar. Ia menggunakan gambar sebagai plot cerita di mana kisahnya lebih menjurus pada suku kaum pribumi di Borneo, melalui watak seorang wanita tempatan sedang menyucikan diri di tepian sungai dalam usaha membuang ‘sial ‘ gara-gara gambarnya diambil’, Ini satu kepercayaan yang sukar ditembusi pemikiran masyarakat biasa. Idea pembikinan filem ini lahir ketika saya berada di Kota Bangkok menerusi pengamatan saya melalui peralihan beberapa gambar dan visual sekitarnya. 



Shaheizy Sam, pelakon yang cukup berbakat di Malaysia melahirkan rasa teruja apabila tersenarai sebagai pelakon dalam produksi ini. Interchange sebuah naskhah hebat yang menguji kemampuan saya dari segi fizikal dan mental, bahkan gandingan bersama pelakon dari seberang, Nicholas Saputra menjadikan cerita ini lebih istimewa. Ia sebuah cerita fiksyen tentang pembunuhan misteri, dan apa yang berlaku dalam cerita ini adalah sesuatu yang menarik, penuh tragik dan pelik’, ujar Shaheizy Sam bersetuju mengatakan bahawa filem ini sebuah cerita unik yang sangat luar biasa. ‘Watak Berlian yang menimbulkan tanda tanya dan sering bergerak sendirian di dalam kegelapan di kotaraya untuk mencari beberapa negatif kaca yang perlu diserahkan kepada pemilik kedai barangan antik , adalah sesuatu yang penuh misteri dan luar biasa. Filem ini perlu ditonton dan dihayati, kerana apa yang anda cari pasti akan ditemui menerusi Belian dan kepercayaannya’, tegas Nicholas Saputra, mengakhiri sesi media filem arahan Dain Said yang cukup istimewa dan penuh misteri. 

Dibarisi pelakon hebat Malaysia dan Indonesia, antaranya, Shaheizy Sam (Detektif Azman), Iedil Putra (Adam), Nicholas Saputra (Belian), Prisia Nasution (Iva) , Nadiya Nisaa (Sani) , Alvin Wong (Jason), Chew Kin Wah (Heng) dan ramai lagi, Interchange bakal menemui penonton dan peminat filem di beberapa pawagam seluruh Malaysia bermula 1 Disember 2016.



oleh: Amy Ikram
© 2016 Semua Hak Cipta Penulisan Kreatif adalah terpelihara milik penulis. Sebarang cetakan semula dalam apa jua platform sekalipun tanpa kebenaran penulis adalah dilarang. 

Khamis, 24 November 2016

NORMAH DAMANHURI & BRONT PALARAE DI ASIAN TELEVISION AWARDS 2016, SINGAPURA


Dalam dunia lakonan, samada di kaca televisyen mahupun di layar skrin, pemilik nama Normah Damanhuri dan Bront Palarae usah dipertikaikan kehebatannya. Bakat besar yang dimiliki mereka seringkali menghiasi beberapa drama dan filem tempatan malahan ada di kalangan mereka pernah terlibat di dalam beberapa produksi luar, bahkan juga menjadi ikon dalam dunia lakonan dan sinema tempatan. 

Normah Damanhuri yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 25 (FFM25, 2013) menerusi lakonan hebatnya dalam filem Songlap, tercalon di Asian Television Awards 2016 bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi slot drama Suria : Rahsia Di Malam Syawal, sebuah produksi drama dari Singapura. Selain Normah, Julie Tan dan Nadiah M Din tercalon bagi kategori yang sama, iaitu masing-masing mewakili negara Singapura, di samping pelakon wanita berbakat besar, Farhana M.Noor bagi kategori utama Pelakon Wanita Terbaik menerusi karya hebat Bunga Tanjong. 




Drama ‘Eropah, Here I Am’ yang pernah disiarkan di saluran Astro juga tercalon bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonan hebat Bront Palarae, Aziz Capkurt, Lila Baklesi dan Nur Fazura. Bront Palarae, yang pernah memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 23 (2010) dan Anugerah Skrin 2010 melalui lakonannya dalam filem Belukar arahan Jason Chong, tercalon dalam kategori utama iaitu Pelakon Lelaki Terbaik di Asian Television Awards 2016 yang bakal berlangsung pada 1 dan 2 Disember 2016 di Suntec, Singapura. Drama ‘Tulus Ikhlas’ terbitan Astro juga tersenarai dalam pencalonan akhir di Asian Television Awards 2016 bagi kategori ‘Best Single Drama’. 

‘Asian Television Awards 2016’ yang sudah memasuki tahun yang ke 21 ini merupakan satu anugerah berprestij yang memberi fokus pada produk drama dan program tv dalam industri tv asia merangkumi Malaysia, Singapura, Thailand, Taiwan, Hong Kong, China, India, Indonesia, Filipina, Australia, Qatar, Korea dan Jepun ini bakal berlangsung dengan jayanya pada 1 dan 2 Disember 2016 di Singapura. 

Untuk senarai penuh pencalonan akhir bagi Asian TV Award, sila layari:-
http://www.asiantvawards.com/2016-nominees/

oleh: Amy Ikram
© 2016 Semua Hak Cipta Penulisan Kreatif adalah terpelihara milik penulis. Sebarang cetakan semula dalam apa jua platform sekalipun tanpa kebenaran penulis adalah dilarang. 

Rabu, 23 November 2016

'APPRENTICE' FILEM YANG KECIL TAPI BESAR JIWANYA


Selepas mencipta nama menerusi filem Sandcastle yang dihasilkan pada tahun 2010 melalui jemputan khas di Festival Filem Cannes bagi slot International Critics Week sehingga dinobatkan sebagai Filem dan Pengarah Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Vietnam sekitar tahun 2010, pemilik nama Boo Junfeng dalam arena seni filem di Singapura khususnya dalam penerbitan filem-filem pendek dan cereka tidak harus di pandang sepi. 

Sekadar menyebut beberapa buah karya, Un Retrato De Familia (2004), Katong Fugue (2007), Keluar Baris (2008) dan Tanjong Rhu (2009), antara beberapa buah filem pendek sentuhannya yang berjaya di festival filem antarabangsa , sehingga beliau muncul sebagai pengarah filem di Singapura melalui filem 7 Letters (2015) yang menggabungkan 7 pengarah filem Singapura, termasuk Eric Khoo, Jack Neo, K.Rajagopal, Tan Pin Pin, Royston Tan, Kelvin Tong dan Boo Junfeng. Filem ini menyertai Anugerah Akademi ke 88 (Oscar) bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik bagi pembukaan tahun 2016. 

Kini, ‘Apprentice’ filem keduanya selepas SandCastle (2010), bakal menemui penonton di Malaysia bermula 24 November 2016. Bakal ditayangkan di beberapa buah pawagam terpilih di Golden Screen Cinemas, melalui slot International Screen, antaranya GSC Mid Valley, GSC Pavillion , GSC 1 Utama, GSC Dataran Pahlawan Melaka dan GSC Gurney Plaza, Penang , Apprentice yang menyertai hampir 9 buah festival filem antarabangsa termasuk di Festival Filem Cannes ini telah memenangi Rising Director Award di Festival Filem Antarabangsa Busan dan Asian New Wave bagi kategori Filem Terbaik di Festival Filem Antarabangsa QCinema di Filipina.


Menampilkan Wan Hanafi Su, Fir Rahman dan Mastura Ahmad, ‘Apprentice’ arahan Boo Junfeng ini mewakili Singapura di Anugerah Akademi ke 89, Oscar 2017 di Los Angeles, Amerika Syarikat. Ketika ditemui Media FINAS semasa Pratonton Khas Apprentice pada 21 November 2016, Boo Junfeng, pengarah filem tersebut berkata, ‘Apprentice yang telah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa termasuk di Singapura pada 30 Jun 2016 lalu, merupakan sebuah kisah benar tentang pengalaman seorang warden penjara di Singapura yang ditugaskan untuk menggantung banduan sehingga mati. Pertemuan Tuan Rahim (Wan Hanafi Su) dan Aiman (Fir Rahman) telah menyelusuri beberapa kisah penting sehingga memaksa antara mereka menjalani tanggung jawab yang amat kritikal bagi mencabut nyawa banduan akhir. Kesannya, beberapa pergolakan terjadi sehingga memaksa mereka ‘menerima’ dan ‘mengalami’ sendiri kejadian yang amat menakutkan dalam sejarah tamaduan manusia’. 

Tambahnya lagi ‘beberapa elemen kejutan dan logik akal disajikan dalam sebuah naskhah yang tentunya menggetar jiwa setiap penonton yang menyaksikannya. Antara Aiman dan Tuan Rahim ada sesuatu rahsia yang membuatkan mereka berdendam sehingga salah seorang daripadanya hilang dan mengalami kecelakaan’, ujarnya berharap peminat dan penonton filem di Malaysia dapat menerima naskhah kecil tapi besar jiwanya yang mungkin tidak dapat diterima akal, tapi ia sebuah kisah tentang ‘kita’ pengemudi kehidupan alam ini. 

Wan Hanafi Su, seorang pelakon terbaik di Malaysia boleh dikatakan beruntung apabila terpilih menjayakan watak Tuan Rahim, warden penjara di Singapura yang amat tegas sifatnya. Berkongsi sesuatu yang menarik mungkin sukar diterima logik akal tetapi pembikinan ceritanya amat memberi kesan pada jiwanya sebagai seorang pelakon versatile dalam dunia sinema tempatan. Ketika ditemubual media pada petang Isnin di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, Wan Hanafi Su dengan nada tersenyum memberitahu penulis bahawa ‘Apprentice, sebuah filem luar biasa yang pernah diterajuinya. Ia sebuah kisah yang amat menakutkan saya tapi menarik dari konteks pembikinannya. Jika dibandingkan dengan produksi dalam negara (Malaysia), amat jauh bezanya kerana di Singapura, melalui produksi Apprentice, kami menjalani sesi pre-production yang begitu lama. Boo Junfeng seorang pemikir yang hebat rentak jiwanya, malahan apa yang dipaparkan di layar skrin ini adalah kisah benar yang mungkin sukar disajikan jika tiada kompromi untuk menghasilkannya. Apprentice sebuah kisah gelap yang terang jiwanya, dilontarkan jauh terbang tinggi di awan, tetapi kecil dan besar jiwanya bergantung pada elemen penceritaan menerusi beberapa plot cerita yang dipecahkan menjadi satu destinasi iaitu naskhah filem’.


‘Apprentice bukan sebuah kisah drama biasa, tetapi ia perlu dihayati dengan sedalam-dalamnya, kerana sebagai pelakon saya perlu melakonkan watak yang diberi dengan sebaiknya. Menerusi karya ini, saya boleh sifatkan watak Aiman itu memberikan saya sesuatu yang cukup luar biasa kerana Aiman itu sendiri seorang yang tidak boleh menerima ketentuan illahi atas kematian bapanya yang digantung oleh Tuan Rahim, tetapi atas skop kerjanya yang terpaksa menggantung dan mengambil nyawa banduan di tali gantung, saya perlu akur dan mereka yang bekerja dalam sektor ini boleh saya sifatkan adalah mereka yang cukup hebat dan gentar nadi jiwa dan rasanya’, ujar Fir Rahman, pelakon Singapura yang memegang watak Aiman dalam Apprentice yang akan menemui penonton dan peminat filem di Malaysia bermula 24 November 2016.


oleh: Amy Ikram
© 2016 Semua Hak Cipta Penulisan Kreatif adalah terpelihara milik penulis. Sebarang cetakan semula dalam apa jua platform sekalipun tanpa kebenaran penulis adalah dilarang. Artikel ini telah disiarkan di Facebook Finas Malaysia pada 23 November 2016, 4.00 ptg.

Selasa, 22 November 2016

FILEM 'PUTERA MAKASSAR MAHKOTA BUGIS', TAMPIL SEMANGAT PAHLAWAN MELAYU


Filem Epik Putera Makassar Mahkota Bugis yang diterbitkan produksi Saga Filem dengan Taqloq Sdn Bhd merupakan filem usahasama Indonesia dengan Malaysia, telah termeterai perjanjiannya pada petang Selasa bertempat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Majlis yang turut dihadiri beberapa tetamu khas antara dua negara itu telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi Finas.

Ketika berucap merasmikan filem tersebut, Dato’ Mohd Khusairi berkata , ‘penghasilan naskhah ini memiliki cabarannya tersendiri kerana beberapa elemen diketengahkan melalui garapan penceritaannya. Unsur kebudayaan serta kemelayuan dalam jalur ceritanya sedikit sebanyak mengangkat martabat Melayu dengan memperkenalkan nilai budaya melalui medium filem sekaligus dapat berkongsi citarasa, minat dan pemikiran melalui jalan cerita yang diketengahkan’. 

‘Putera Makassar Mahkota Bugis’ yang bakal menjalani penggambarannya pada April 2017 ini merupakan projek filem berbajet besar antara produksi Tagloq Sdn Bhd dengan Saga Filem, di mana Syed Zulkifli Syed Masir @ Syed Zultojo, bertindak sebagai sutradara. Menariknya, filem yang akan menjalani penggambaran di sekitar Johor dan selebihnya di Makassar, dan Riau Indonesia ini bakal ditayangkan pada tahun 2018 di mana Saga Filem bertindak sebagai penerbit bersama. Saga Filem yang sebelum ini menerbitkan, sekuel 'The Raid', The Raid 2: Berandal dan The Raid: Redemption’ merupakan filem aksi Indonesia dan melalui kerjasama terbaharu ini, industri filem antara kedua buah negara diharapkan dapat bergerak seiring sekaligus memartabatkan dunia sinema tempatan antara Malaysia Indonesia.


Ketika ditemui Media Finas, Syed Zulkifli Syed Masir @ Syed Zultojo selaku pengarah filem ini berkata, ‘’Saya melihat bahawa filem ini berpotensi besar dari segi pembikinannya , di mana elemen seni silat gayong menjadi plot terpenting sekaligus mengangkat nilai jati diri melayu, budaya dan adat resamnya. Filem ini berpaksikan abad ke-17, di mana penceritaannya lebih menjurus kepada kepentingan nilai hidup masyarakat Melaka yang dahulunya telah dikuasai oleh pengaruh Belanda. Filem ini juga memperkenalkan sejarah Kepulauan Riau dan Selat Melaka yang amat maju dalam aktiviti perdagangan masa itu. 

Tambahnya lagi, pembikinan naskhah ‘Putera Makassar’ ini melibatkan kualiti dan piawaian antarabangsa di mana teknik CGI, pembuatan kostum, pembinaan set era tahun 1699, pengurusan produksi, sehinggalah kepada pemilihan pelakon dan ‘script reading’ antara pelakon dan tenaga produksi dibuat secara efektif bagi menghasilkan kualiti yang terbaik dalam dunia sinema antara Malaysia Indonesia. 

Manakala, Asmadie Mokhadar, penerbit Tagloq Sdn Bhd pula teruja dengan penghasilan filem ini, di mana ianya telah mendapat perkenan dari Istana Johor, kerana naskhah ini melibatkan elemen aksi sebanyak 80 peratus dan selebihnya adalah dialog yang menggunakan bahasa seperti Melayu lama dan Bugis. Dari segi fakta sejarah, penulisan skrip filem ini telah disemak oleh pakar sejarah dari Malaysia melalui Istana Johor, di mana YBhg. Dato' Abdul Rahim Ramli adalah merupakan Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor manakala dari pihak Indonesia, skrip pula disemak oleh Prof. Dr. Mukhlis Paeni dari Universiti Indonesia. Dari sudut komersil pula, naskhah ini telah mendapat pemahaman dari negara Eropah oleh Panel Skrip berpusat di London, United Kingdom yang diketuai oleh Rebecca Innes. 


Putera Makassar Mahkota Bugis diinspirasikan daripada kisah benar, di mana ia mengisahkan tentang peranan Daeng 5 bersaudara dalam membantu menegakkan Empayar Kesultanan Melayu di Nusantara khasnya bagi mengangkat martabat Kesultanan Melayu dan mendukung prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Selain daripada itu, filem ini juga telah mendapat sumber teks rujukan utama daripada Tuhfat Al- Nahfis.

Turut hadir bersama merasmikan majlis ini adalah Ario Sagantoro, Penerbit Saga Film, En. Azmir Saifuddin Mutalib, Pengarah Komersil FINAS, Beto Kusyairy, pelakon, Delegasi Indonesia, rakan media dan penggiat industri.

oleh: Amy Ikram
© 2016 Semua Hak Cipta Penulisan Kreatif adalah terpelihara milik penulis. Sebarang cetakan semula dalam apa jua platform sekalipun tanpa kebenaran penulis adalah dilarang. Artikel ini telah disiarkan di Facebook Finas Malaysia pada 22 November 2016, 5.00 ptg.

Khamis, 3 November 2016

INTERCHANGE KARYA DAIN SAID KE SGIFF SINGAPURA!


Setelah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan penyertaan di beberapa festival filem, termasuk Festival Filem Antarabangsa Locarno, Switzerland, Ogos lalu, Festival Filem Antarabangsa Toronto, Amerika Utara (September), Etrange Paris Film Festival (September), Vladivostok International Film Festival (September) dan New Asian Cinema di  Five Flavours Film Festival, Poland, kini peminat filem tanahair berpeluang menonton karya terbaharu Dain Said, Interchange di Singapura melalui Festival Filem Antarabangsa Singapura pada 23 November 2016.

Diterbitkan Apparat Productions dan dibiayai Sonneratia Capital, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Seeing Eye Films dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) serta penerbit Indonesia, Cinesurya, 'Interchange', antara filem tempatan dari Malaysia terpilih untuk ditayangkan sempena acara pembukaan Festival Filem Antarabangsa Singapura yang ke-27 (SGIFF) pada 23 November hingga 4 Disember 2016.
 
Bakal berlangsung di Marina Bay Sands, Singapura November ini, festival yang julung kali diadakan ini juga menyenaraikan lima buah filem lain dari Malaysia antaranya, Voyage to Terengganu (Kisah Pelayaran Ke Terengganu) arahan Amir Muhammad dan Badrul Hisyam Ismail, Singing in Graveyards (Bradley Liew), Absent Without Leave (Lau Kek-Huat) dan dua lagi karya iaitu Mrs K serta Art Through Our Eyes to Singapore (Ho Yuhang)


SGIFF ini merupakan festival filem terbesar di Singapura yang menyenaraikan hampir 161 buah filem cereka  dan filem pendek di mana ia melibatkan 52 buah negara di asia  dengan '16 world premieres, 9 international premiers dan 18 Asian premieres'.

'Interchange' yang bakal ditayangkan di pawagam Malaysia menjelang 1 Disember 2016 ini merupakan filem ketiga arahan Dain Said selepas filem Dukun dan Bunohan.


Rabu, 2 November 2016

FILEM KERJA KAHWIN TEMBUSI PASARAN ANTARABANGSA DI ITALI


Setelah berjaya menembusi pasaran di negara Perancis melalui Tayangan Premier pada 26 Julai 2016 dan ke festival filem antarabangsa ‘One Country One Film’ di Apchat, Perancis pada 30 Julai yang lalu, kini Kota Itali telah menyambut kehadiran sebuah naskhah hebat berjudul 'Kerja Kahwin'. Diarahkan oleh Anwardi Datuk Jamil dan diterbitkan oleh Wayang Pondok Sdn. Bhd dengan sokongan FINAS dan Imagica South East Asia serta kerjasama FELDA, 'Kerja Kahwin' yang mengisahkan seorang cucu perempuan bernama Farah yang dilakonkan oleh Janna Nick memenuhi hasrat neneknya yang dilakonkan oleh Dato’ Rosnani Jamil untuk mengadakan majlis perkahwinan mengikut budaya Melayu di kampung, ini terpilih menyertai Asian Film Festival’ yang telah berlangsung pada 12 Oktober hingga 16 Oktober 2016 di Carpi, Itali. 

Ketika dihubungi media, Dr. Liza Marwati mewakili rakan penerbit Zabir Suliman dan Ammar Atan melahirkan rasa syukur, gembira dan teruja kerana filem pertama mereka ini terpilih untuk ditayangkan di festival yang turut menayangkan beberapa filem hasil karya nama-nama yang agak tersohor dalam industri perfileman seperti Ringo Lam, Christoper Doyle dan Stanley Kwan. 'Kerja Kahwin' merupakan sebuah filem Malaysia yang ditayangkan dalam bentuk 'wayang pacak'.

Selasa, 1 November 2016

HAMDI RAZALLI DALAM KENANGAN. AL FATIHAH

 Mengenali beliau melalui medium media sosial sekitar 5 tahun yang lepas. Walaupun tidak serapat seperti rakan-rakan lainnya, kerana 'sikap' dan 'mentaliti'nya berbeza dengan individu lain yang pernah saya kenali, saya cuba mendekati beliau. Daniel Adie, nama penanya dalam dunia blog. Banyak tulisannya dikongsi dalam blog kesayangannya itu, yang lebih menjurus dalam kehidupan, persekitaran sehinggalah beliau berjinak dalam memberikan komen dan review menarik mengenai filem-filem kegemarannya.

Dua minggu sebelum menjelangnya Preview Khas filem kontroversi arahan Khir Rahman, '... Dalam Botol', di Finas Hulu Kelang sekitar tahun 2010, penerbit filem tersebut, Raja Azmi ada menghubungi saya meminta saya menganjurkan peraduan untuk memilih para blogger yang aktif untuk hadir ke sesi tertutup tayangan filem tersebut. Saya menyahut cabaran Kak Mi ketika itu dengan menyenarai pendek beberapa blogger yang saya rasa wajar 'dijemput' sekaligus sebagai 'gathering ringkas' mereka dalam mendekati karyawan filem secara dekat.


Adie, nama pertama yang bermain di benak fikiran, walaupun kami tidak pernah bersua muka, tetapi kerana kerap berhubung dan berkongsi minat masing-masing, saya menyemputnya ke sesi tayangan tertutup filem tersebut, dengan harapan dia membawa rakan-rakan blogger yang lain sekaligus mengeratkan persahabatan kami secara tidak langsung.

Pertama kali berjumpa di sesi tayangan tersebut pada tahun 2010 bersama-sama teman blogger yang lain, beliau (daniel adie / hamdi razalli), boleh di katakan agak 'cool, dan mudah mesra', orangnya kecil dan agak kacak. Sejak dari itu, perkenalan kami berlangsung secara dalam talian sehinggalah detik menyedihkan apabila jasadnya kembali di sisi maha pencipta pada 31 Oktober 2016. Hanya Allah swt yang tahu bagaimana hati saya dan teman-teman lain, bagaikan 'dirobek', dengan berita pemergiannya pada pagi 31 Oktober. Pada waktu itu, tergamam tak terkata, mulut bagaikan terkunci apatah lagi jari jemari kaku hilang arah bagaikan kehilangan ahli keluarga sendiri. Walaupun saya tidak dapat hadir pada hari pengebumiannya kerana jarak memisahkan kami, namun hanya doa sahaja mampu mengiringi pemergiannya, insan yang amat kami sayangi.

 Hamdi Razalli seorang blogger, dan guru yang mempunyai ramai 'kenalan' pelbagai peringkat umur, sehinggalah pemergiannya di ratapi seluruh teman-teman, anak didiknya dan keluarganya, dan kini kita perlu redha atas kehilangan seorang sahabat yang kita amat cintai dan sayangi.


Ketika nota ini ditulis, hati saya masih tidak mempercayai 'apa yang saya tulis'. Apakah benar berita ini? Ataukah ia sekadar mimpi di siang hari?. Saya perlu terima dan akur akan ketentuan Yang Maha Esa, pencipta sekelian makhluk, di langit dan di bumi. Adie, kami semua amat rindukan kau. Pemergianmu ke alam nyata yang kekal abadi, akan kami susuli secara perlahan, yang hidup akan mati, dan hanya Allah sahaja kekal sebagai pemilik alam ini.

 Setiap tulisanmu, langkahmu, gerak geri dan nilai tawamu, pasti akan dikenang dan dirindui sebagai manisan hidup yang meninggalkan sejuta kenangan buat mereka yang pernah mendampingimu. Adie, you are the best friend, forever & ever. We are missed you, and love and ever.

Muhammad Hamdi Razalli, moga rohmu di tempatkan di kalangan mereka beriman dan di sayangiNya. Al Fatihah.

p/s: Al Fatihah. Moga Allah swt menempatkannya di syurga firdaus yang teratas. Dan memberikan balasan pada mereka yang menyebab kehilangannya. Amin.