Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Rabu, 23 November 2016

'APPRENTICE' FILEM YANG KECIL TAPI BESAR JIWANYA


Selepas mencipta nama menerusi filem Sandcastle yang dihasilkan pada tahun 2010 melalui jemputan khas di Festival Filem Cannes bagi slot International Critics Week sehingga dinobatkan sebagai Filem dan Pengarah Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Vietnam sekitar tahun 2010, pemilik nama Boo Junfeng dalam arena seni filem di Singapura khususnya dalam penerbitan filem-filem pendek dan cereka tidak harus di pandang sepi. 

Sekadar menyebut beberapa buah karya, Un Retrato De Familia (2004), Katong Fugue (2007), Keluar Baris (2008) dan Tanjong Rhu (2009), antara beberapa buah filem pendek sentuhannya yang berjaya di festival filem antarabangsa , sehingga beliau muncul sebagai pengarah filem di Singapura melalui filem 7 Letters (2015) yang menggabungkan 7 pengarah filem Singapura, termasuk Eric Khoo, Jack Neo, K.Rajagopal, Tan Pin Pin, Royston Tan, Kelvin Tong dan Boo Junfeng. Filem ini menyertai Anugerah Akademi ke 88 (Oscar) bagi kategori Filem Bahasa Asing Terbaik bagi pembukaan tahun 2016. 

Kini, ‘Apprentice’ filem keduanya selepas SandCastle (2010), bakal menemui penonton di Malaysia bermula 24 November 2016. Bakal ditayangkan di beberapa buah pawagam terpilih di Golden Screen Cinemas, melalui slot International Screen, antaranya GSC Mid Valley, GSC Pavillion , GSC 1 Utama, GSC Dataran Pahlawan Melaka dan GSC Gurney Plaza, Penang , Apprentice yang menyertai hampir 9 buah festival filem antarabangsa termasuk di Festival Filem Cannes ini telah memenangi Rising Director Award di Festival Filem Antarabangsa Busan dan Asian New Wave bagi kategori Filem Terbaik di Festival Filem Antarabangsa QCinema di Filipina.


Menampilkan Wan Hanafi Su, Fir Rahman dan Mastura Ahmad, ‘Apprentice’ arahan Boo Junfeng ini mewakili Singapura di Anugerah Akademi ke 89, Oscar 2017 di Los Angeles, Amerika Syarikat. Ketika ditemui Media FINAS semasa Pratonton Khas Apprentice pada 21 November 2016, Boo Junfeng, pengarah filem tersebut berkata, ‘Apprentice yang telah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa termasuk di Singapura pada 30 Jun 2016 lalu, merupakan sebuah kisah benar tentang pengalaman seorang warden penjara di Singapura yang ditugaskan untuk menggantung banduan sehingga mati. Pertemuan Tuan Rahim (Wan Hanafi Su) dan Aiman (Fir Rahman) telah menyelusuri beberapa kisah penting sehingga memaksa antara mereka menjalani tanggung jawab yang amat kritikal bagi mencabut nyawa banduan akhir. Kesannya, beberapa pergolakan terjadi sehingga memaksa mereka ‘menerima’ dan ‘mengalami’ sendiri kejadian yang amat menakutkan dalam sejarah tamaduan manusia’. 

Tambahnya lagi ‘beberapa elemen kejutan dan logik akal disajikan dalam sebuah naskhah yang tentunya menggetar jiwa setiap penonton yang menyaksikannya. Antara Aiman dan Tuan Rahim ada sesuatu rahsia yang membuatkan mereka berdendam sehingga salah seorang daripadanya hilang dan mengalami kecelakaan’, ujarnya berharap peminat dan penonton filem di Malaysia dapat menerima naskhah kecil tapi besar jiwanya yang mungkin tidak dapat diterima akal, tapi ia sebuah kisah tentang ‘kita’ pengemudi kehidupan alam ini. 

Wan Hanafi Su, seorang pelakon terbaik di Malaysia boleh dikatakan beruntung apabila terpilih menjayakan watak Tuan Rahim, warden penjara di Singapura yang amat tegas sifatnya. Berkongsi sesuatu yang menarik mungkin sukar diterima logik akal tetapi pembikinan ceritanya amat memberi kesan pada jiwanya sebagai seorang pelakon versatile dalam dunia sinema tempatan. Ketika ditemubual media pada petang Isnin di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur, Wan Hanafi Su dengan nada tersenyum memberitahu penulis bahawa ‘Apprentice, sebuah filem luar biasa yang pernah diterajuinya. Ia sebuah kisah yang amat menakutkan saya tapi menarik dari konteks pembikinannya. Jika dibandingkan dengan produksi dalam negara (Malaysia), amat jauh bezanya kerana di Singapura, melalui produksi Apprentice, kami menjalani sesi pre-production yang begitu lama. Boo Junfeng seorang pemikir yang hebat rentak jiwanya, malahan apa yang dipaparkan di layar skrin ini adalah kisah benar yang mungkin sukar disajikan jika tiada kompromi untuk menghasilkannya. Apprentice sebuah kisah gelap yang terang jiwanya, dilontarkan jauh terbang tinggi di awan, tetapi kecil dan besar jiwanya bergantung pada elemen penceritaan menerusi beberapa plot cerita yang dipecahkan menjadi satu destinasi iaitu naskhah filem’.


‘Apprentice bukan sebuah kisah drama biasa, tetapi ia perlu dihayati dengan sedalam-dalamnya, kerana sebagai pelakon saya perlu melakonkan watak yang diberi dengan sebaiknya. Menerusi karya ini, saya boleh sifatkan watak Aiman itu memberikan saya sesuatu yang cukup luar biasa kerana Aiman itu sendiri seorang yang tidak boleh menerima ketentuan illahi atas kematian bapanya yang digantung oleh Tuan Rahim, tetapi atas skop kerjanya yang terpaksa menggantung dan mengambil nyawa banduan di tali gantung, saya perlu akur dan mereka yang bekerja dalam sektor ini boleh saya sifatkan adalah mereka yang cukup hebat dan gentar nadi jiwa dan rasanya’, ujar Fir Rahman, pelakon Singapura yang memegang watak Aiman dalam Apprentice yang akan menemui penonton dan peminat filem di Malaysia bermula 24 November 2016.


oleh: Amy Ikram
© 2016 Semua Hak Cipta Penulisan Kreatif adalah terpelihara milik penulis. Sebarang cetakan semula dalam apa jua platform sekalipun tanpa kebenaran penulis adalah dilarang. Artikel ini telah disiarkan di Facebook Finas Malaysia pada 23 November 2016, 4.00 ptg.

0 comments :