Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Selasa, 22 November 2016

FILEM 'PUTERA MAKASSAR MAHKOTA BUGIS', TAMPIL SEMANGAT PAHLAWAN MELAYU


Filem Epik Putera Makassar Mahkota Bugis yang diterbitkan produksi Saga Filem dengan Taqloq Sdn Bhd merupakan filem usahasama Indonesia dengan Malaysia, telah termeterai perjanjiannya pada petang Selasa bertempat di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Majlis yang turut dihadiri beberapa tetamu khas antara dua negara itu telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib, Pengerusi Finas.

Ketika berucap merasmikan filem tersebut, Dato’ Mohd Khusairi berkata , ‘penghasilan naskhah ini memiliki cabarannya tersendiri kerana beberapa elemen diketengahkan melalui garapan penceritaannya. Unsur kebudayaan serta kemelayuan dalam jalur ceritanya sedikit sebanyak mengangkat martabat Melayu dengan memperkenalkan nilai budaya melalui medium filem sekaligus dapat berkongsi citarasa, minat dan pemikiran melalui jalan cerita yang diketengahkan’. 

‘Putera Makassar Mahkota Bugis’ yang bakal menjalani penggambarannya pada April 2017 ini merupakan projek filem berbajet besar antara produksi Tagloq Sdn Bhd dengan Saga Filem, di mana Syed Zulkifli Syed Masir @ Syed Zultojo, bertindak sebagai sutradara. Menariknya, filem yang akan menjalani penggambaran di sekitar Johor dan selebihnya di Makassar, dan Riau Indonesia ini bakal ditayangkan pada tahun 2018 di mana Saga Filem bertindak sebagai penerbit bersama. Saga Filem yang sebelum ini menerbitkan, sekuel 'The Raid', The Raid 2: Berandal dan The Raid: Redemption’ merupakan filem aksi Indonesia dan melalui kerjasama terbaharu ini, industri filem antara kedua buah negara diharapkan dapat bergerak seiring sekaligus memartabatkan dunia sinema tempatan antara Malaysia Indonesia.


Ketika ditemui Media Finas, Syed Zulkifli Syed Masir @ Syed Zultojo selaku pengarah filem ini berkata, ‘’Saya melihat bahawa filem ini berpotensi besar dari segi pembikinannya , di mana elemen seni silat gayong menjadi plot terpenting sekaligus mengangkat nilai jati diri melayu, budaya dan adat resamnya. Filem ini berpaksikan abad ke-17, di mana penceritaannya lebih menjurus kepada kepentingan nilai hidup masyarakat Melaka yang dahulunya telah dikuasai oleh pengaruh Belanda. Filem ini juga memperkenalkan sejarah Kepulauan Riau dan Selat Melaka yang amat maju dalam aktiviti perdagangan masa itu. 

Tambahnya lagi, pembikinan naskhah ‘Putera Makassar’ ini melibatkan kualiti dan piawaian antarabangsa di mana teknik CGI, pembuatan kostum, pembinaan set era tahun 1699, pengurusan produksi, sehinggalah kepada pemilihan pelakon dan ‘script reading’ antara pelakon dan tenaga produksi dibuat secara efektif bagi menghasilkan kualiti yang terbaik dalam dunia sinema antara Malaysia Indonesia. 

Manakala, Asmadie Mokhadar, penerbit Tagloq Sdn Bhd pula teruja dengan penghasilan filem ini, di mana ianya telah mendapat perkenan dari Istana Johor, kerana naskhah ini melibatkan elemen aksi sebanyak 80 peratus dan selebihnya adalah dialog yang menggunakan bahasa seperti Melayu lama dan Bugis. Dari segi fakta sejarah, penulisan skrip filem ini telah disemak oleh pakar sejarah dari Malaysia melalui Istana Johor, di mana YBhg. Dato' Abdul Rahim Ramli adalah merupakan Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor manakala dari pihak Indonesia, skrip pula disemak oleh Prof. Dr. Mukhlis Paeni dari Universiti Indonesia. Dari sudut komersil pula, naskhah ini telah mendapat pemahaman dari negara Eropah oleh Panel Skrip berpusat di London, United Kingdom yang diketuai oleh Rebecca Innes. 


Putera Makassar Mahkota Bugis diinspirasikan daripada kisah benar, di mana ia mengisahkan tentang peranan Daeng 5 bersaudara dalam membantu menegakkan Empayar Kesultanan Melayu di Nusantara khasnya bagi mengangkat martabat Kesultanan Melayu dan mendukung prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Selain daripada itu, filem ini juga telah mendapat sumber teks rujukan utama daripada Tuhfat Al- Nahfis.

Turut hadir bersama merasmikan majlis ini adalah Ario Sagantoro, Penerbit Saga Film, En. Azmir Saifuddin Mutalib, Pengarah Komersil FINAS, Beto Kusyairy, pelakon, Delegasi Indonesia, rakan media dan penggiat industri.

oleh: Amy Ikram
© 2016 Semua Hak Cipta Penulisan Kreatif adalah terpelihara milik penulis. Sebarang cetakan semula dalam apa jua platform sekalipun tanpa kebenaran penulis adalah dilarang. Artikel ini telah disiarkan di Facebook Finas Malaysia pada 22 November 2016, 5.00 ptg.

0 comments :