Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Jumaat, 25 November 2016

INTERCHANGE INSPIRASI SINEMA DAIN SAID

 
Meletakkan ‘Dukun’, sebagai platform pertamanya dalam dunia pengarahan sekitar tahun 2007, sehingga membina empayar luar biasa melalui karya Bunohan yang memenangi 8 anugerah termasuk Filem dan Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 25 (FFM25, 2013) , 2 anugerah di Anugerah Skrin 2012, dan juga menerima penghargaan serta anugerah tertinggi di beberapa festival filem antarabangsa melalui karya Bunohan antaranya, 36th Toronto International Film Festival, Festival Filem Taipei Golden Horse 2011, Festival Filem Antarabangsa Sao Paolo 2011, Palm String International Film Festival, Asia Bali Indonesia Film Festival 2011, Rotterdam Film Festival 2012, dan Fantastic Fest 2011 Amerika Syarikat, Dain Said terus melakar sejarah sekali lagi di beberapa festival filem antarabangsa apabila Interchange, filem ketiganya selepas Dukun (2007) dan Bunohan (2012) mencipta fenomena tersendiri dalam industri perfileman dunia.

Interchange mengisahkan Adam (Iedil Putra) seorang jurufoto forensik mayat yang bergerak secara persendirian untuk mengambil beberapa gambar identiti yang dikerat menerusi lensa kameranya. Perhubungan Adam dengan dunia gambarnya menemukan dirinya dengan Detektif Azman (Shaheizy Sam), seorang penyiasat berprofessional yang ditugaskan untuk menyiasat beberapa siri pembunuhan mengerikan yang berlaku di sekitar Kota Metropolitan Kuala Lumpur. Adam dan Detektif Azman bergerak bersama bagi menghadapi beberapa kes paling rumit penuh misteri. Perhubungan dunia ritual dan alam mistik antara gambar, negatif dan kepercayaan membuatkan Adam jatuh cinta dengan Iva (Prisia Nasution), seorang bomoh wanita misteri yang hidup bersama semangat burung, Belian (lakonan hebat pelakon terkenal Indonesia, Nicholas Saputra). Perhubungan antara Adam dan Iva, bertambah rumit apabila Adam cuba membantu Iva untuk kembalikan semangatnya, walaupun Iva mahu membebaskan jiwa suku kaumnya dari dalam plat kaca negatif pada masa lampau. Kehidupan dan kematian menjadi pertaruhan Iva bagi memburu semangat masa lampau yang bergerak secara perlahan tapi penuh drastik.



Interchange yang diterbitkan produksi Apparat Films bersama Cinesurya ini merupakan projek filem antarabangsa usahasama Malaysia-Indonesia, dibantu dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation (MDec) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia(FINAS). Filem ketiga arahan Dain Said ini telah pun melebarkan sayapnya di beberapa festival filem antarabangsa, antaranya, World Premier: Festival del Film Locarno, Piazza Grande , North American Premier: Toronto Int’l Film Festival, Vanguard Etrange Film Festival, Paris, Vladivostok International Film Festival, Russia, BFI London International Film Festival, Thrill SITGES Fantastic Film Festival, Warsaw Poland, Monster Fest, Melbourne Australia, Goa International Film Festival, Jogja NETPAC Asian Film Festival dan juga merupakan filem Malaysia yang ditayangkan sempena pembukaan rasmi Festival Filem Antarabangsa Singapura yang ke -27 pada 23 November 2016 dan juga di Five Flavours Asian Film Festival, Warsaw Poland, baru-baru ini.

Ketika ditemui media semasa Sesi Pratonton & Sidang Media Khas Interchange yang di adakan di GSC Pavillion, Kuala Lumpur pada petang Khamis, Dain Iskandar Said / Dain Said, berkata, ‘Interchange adalah sebuah karya yang diinspirasikan daripada kisah benar. Ia menggunakan gambar sebagai plot cerita di mana kisahnya lebih menjurus pada suku kaum pribumi di Borneo, melalui watak seorang wanita tempatan sedang menyucikan diri di tepian sungai dalam usaha membuang ‘sial ‘ gara-gara gambarnya diambil’, Ini satu kepercayaan yang sukar ditembusi pemikiran masyarakat biasa. Idea pembikinan filem ini lahir ketika saya berada di Kota Bangkok menerusi pengamatan saya melalui peralihan beberapa gambar dan visual sekitarnya. 



Shaheizy Sam, pelakon yang cukup berbakat di Malaysia melahirkan rasa teruja apabila tersenarai sebagai pelakon dalam produksi ini. Interchange sebuah naskhah hebat yang menguji kemampuan saya dari segi fizikal dan mental, bahkan gandingan bersama pelakon dari seberang, Nicholas Saputra menjadikan cerita ini lebih istimewa. Ia sebuah cerita fiksyen tentang pembunuhan misteri, dan apa yang berlaku dalam cerita ini adalah sesuatu yang menarik, penuh tragik dan pelik’, ujar Shaheizy Sam bersetuju mengatakan bahawa filem ini sebuah cerita unik yang sangat luar biasa. ‘Watak Berlian yang menimbulkan tanda tanya dan sering bergerak sendirian di dalam kegelapan di kotaraya untuk mencari beberapa negatif kaca yang perlu diserahkan kepada pemilik kedai barangan antik , adalah sesuatu yang penuh misteri dan luar biasa. Filem ini perlu ditonton dan dihayati, kerana apa yang anda cari pasti akan ditemui menerusi Belian dan kepercayaannya’, tegas Nicholas Saputra, mengakhiri sesi media filem arahan Dain Said yang cukup istimewa dan penuh misteri. 

Dibarisi pelakon hebat Malaysia dan Indonesia, antaranya, Shaheizy Sam (Detektif Azman), Iedil Putra (Adam), Nicholas Saputra (Belian), Prisia Nasution (Iva) , Nadiya Nisaa (Sani) , Alvin Wong (Jason), Chew Kin Wah (Heng) dan ramai lagi, Interchange bakal menemui penonton dan peminat filem di beberapa pawagam seluruh Malaysia bermula 1 Disember 2016.



oleh: Amy Ikram
© 2016 Semua Hak Cipta Penulisan Kreatif adalah terpelihara milik penulis. Sebarang cetakan semula dalam apa jua platform sekalipun tanpa kebenaran penulis adalah dilarang. 

0 comments :