Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Selasa, 21 Februari 2017

ADIWIRAKU, ANTARA IMPIAN DAN KEGEMILANGAN

Mengambil latar tempat di utara semenanjung tanah air, Adiwiraku yang diarahkan Eric Chong dan lakon layarnya ditulis oleh Jason Chong ini telah ditayangkan di MMCineplexes, e@Curve, Damansara, Kuala Lumpur pada 20hb Februari 2017. Sesi tayangan perdana dan sidang media itu dihadiri rakan wartawan, para pelakon dan karyawan industri filem tempatan.

Adiwiraku menghidupkan kisah pelajar SMK Pinang Tunggal di Sg Petani, Kedah yang berusaha untuk menyertai pertandingan 'choral speaking' walaupun mengetahui peluang yang terlalu tipis untuk menang. Cheryl Ann, seorang guru bahasa inggeris dari Bandar Kuala Lumpur, terpaksa berhijrah ke sekolah tersebut bagi merealisasikan impian segelintir guru untuk melihat prestasi dan kemajuan sekolah tersebut dari segi pembangunan dan sahsiah pembelajaran para pelajar SMK Pinang Tunggal. Berbekalkan semangat dan jatidiri yang kental, Cheryl bersama-sama seorang guru lelaki mengambil inisiatif dengan memperkenalkan teknik ‘choral speaking’dengan mewujudkan sebuah kumpulan yang terdiri daripada 35 pelajar sekaligus membentuk sahsiah dan peribadi mereka agar menjadi pelajar yang berkeyakinan dan mempunyai semangat kerjasama yang tinggi.

Eric Chong, Pengarah






Diinspirasikan dari sebuah kisah benar, Adiwiraku meneroka beberapa sisi dan pandangan hidup golongan pelajar dan pendidik tanpa terpisah jalinan keduanya. Ini mewujudkan perspektif hidup bahawa golongan pendidik harus memainkan peranan penting bagi melahirkan pelajar yang mempunyai daya imaginasi yang tinggi dalam kehidupan. Menariknya, filem yang diterbitkan oleh Sol Pictures Sdn Bhd itu menampilkan pelakon Sangeeta Krishnasamy yang memegang watak sebagai Cheryl Ann Fernando. Ia dibantu oleh Xavier Fong, Farra Safwan, Wan Azlyn dan Adnin Zidane. 

Ketika ditemui media di malam gala filem Adiwiraku di e@Curve, Damansara, Eric Chong, pengarah dan penerbit filem tersebut, berkata, ‘Adiwiraku adalah sebuah kisah benar yang berlaku di sebuah sekolah di Kedah. Kami mengambil peluang dengan menterjemahkan kepada khalayak penonton melalui platform visual dalam bentuk filem. Pemilihan pelakon di kalangan para pelajar adalah satu bonus. Watak yang dimainkan setiap pendukung ceritanya menjalani sesi ujibakat sebelum penggambaran, masing-masing memberikan komitmen yang tinggi dan menakjubkan'. Sangeeta Krishnasamy yang melakonkan watak Cikgu Cheryl pula berpendapat, ‘Adiwiraku sebuah karya yang cukup istimewa, memegang peranan dalam sebuah kisah benar mencabar jiwa saya kerana saya perlu memahami karektor dan perjalanan kisah guru tersebut. Ini memberikan pengalaman yang cukup berharga bagi saya. Tonton dengan jiwa yang terbuka, pasti anda akan dapat apa di cari’, jelas model dan pelakon cantik Sangeeta Krishnasamy yang terkenal dalam industri filem tamil di Malaysia. 





Bakal mencetuskan fenomena apabila di tayangkan kelak, Adiwiraku akan menemui penonton dan peminat filem tanahair bermula 9 Mac 2017. 

Adiwiraku merupakan filem tempatan yang menyertai Equality International Film Festival  dan Finalist bagi Phoenix Film Festival 2017 di Melbourne, Australia. Ia juga mendapat sokongan daripada EduNation Malaysia yang merupakan sumber pendidikan online terbesar dalam bidang pendidikan menengah dan rendah.
 
Foto : Zara
#Adiwiraku 



0 comments :