Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Sabtu, 4 Februari 2017

'KANANG ANAK LANGKAU: THE IBAN WARRIOR' DI PAWAGAM 16 MAC 2017.


Filem Kanang Anak Langkau : The Iban Warrior yang diterbitkan produksi Tangan Seni Sdn Bhd telah dilancarkan pada 26 Januari 2017 di Pawagam P.Ramlee, Finas Hulu Kelang, Selangor. Ketika berucap merasmikan trailer filem tersebut, YBhg Dato' Fauzi Ayob, Ketua Pengarah Finas, menyifatkan 'penerbitan filem kenegaraan seperti Kanang Anak Langkau; The Iban Warrior ini merupakan sebuah karya yang harus ditonton oleh segenap lapisan masyarakat terutamanya peminat filem tanahair. Filem yang diterbitkan dengan kerjasama Finas, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia ini merupakan sebuah karya yang mengangkat nilai patriotisme dan nasionalisme di kalangan rakyat Malaysia. Sebagai agensi kerajaan yang memayungi industri perfileman tanahair, Finas komited dalam menyediakan peruntukkan kewangan berupa dana kenegaraan bagi karya yang menepati syarat sebagai sebuah naskhah yang merakamkan sesuatu peristiwa atau sejarah negara samada berkisarkan tentang ketokohan seseorang pemimpin yang telah mengharumkan nama negara dan seumpamanya'.

Berkisarkan tentang perjuangan dan ketokohan pemimpin negara yang amat disegani khususnya di bumi Sarawak, Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior ini merungkai sisi kehidupan seorang tokoh terbilang dan pahlawan jati bumi Kenyalang, yang amat dikagumi, bernama Kanang. Perjalanan hidup seorang tokoh berbangsa Iban ini divisualkan dalam sebuah naskhah yang pastinya meruntun jiwa setiap penonton dan peminat filem tempatan.



Zainal Fikri, penerbit eksekutif filem Kanang Anak Langkau pula berharap, 'peminat filem tempatan dapat menerima kehadiran filem ini apabila ditayangkan kelak. Ia satu pengalaman yang cukup berharga dan sebagai rakyat Malaysia, kami menyajikan satu cerita yang pastinya akan diingat dalam sejarah negara dan ini tentunya membanggakan kami sebagai pengkarya', ujarnya dengan nada teruja menantikan sambutan peminat filem tanahair terhadap naskhah yang amat dinantikan tersebut.

'Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior', merupakan filem terbaharu arahan Bade Hj Azmi yang akan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 16 Mac 2017. Turut hadir bersama ke majlis pelancaran trailer dan sidang media Filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior adalah Bade Hj Azmi, pengarah filem Kanang, para pegawai FINAS, Tuan Hj. Zulkifli Ab.Wahab, Tn.Hj. Abd. Khalid Maulod, Puan Hajah Subaidah Md Top, pegawai angkatan tentera dan wakil Kementerian Pertahanan, barisan pelakon dan rakan media.

Foto: Udden Rahman @ Rafiuddin

0 comments :