Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Ahad, 5 Februari 2017

PERCIKAN MEMORI KEMBARA SENIMAN JALANAN DI SARANG ART HUB, TANJUNG MALIM.

 
Percikan memori menonton filem 'Kembara Seniman Jalanan' 31 tahun dahulu diimbau melalui tayangan khas pada malam Sabtu, 4 Februari 2017 di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak. Filem yang diterbitkan tahun 1986 itu menampilkan Dato' M.Nasir, Dato' Khadijah Ibrahim, Pyan Habib, Imuda dan ramai lagi, merupakan filem pertama arahan Nasir Jani dalam industri perfileman tanah air. Tayangan malam ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk dan pengunjung yang hadir ke Sarang Art Hub milik pengarah tersohor, Mamat Khalid. 

Ketika berucap selepas sesi tayangan filem tersebut, Nasir Jani selaku pengarah filem Kembara Seniman Jalanan menyifatkan 'tayangan pada malam ini merupakan tayangan khas bagi mengimbas memori Kembara Seniman Jalanan dalam industri filem tanah air. Filem yang pernah ditayangkan di pawagam tempatan pada Februari 1986 itu ditayangkan malam ini dalam format restorasi digital. Ini memberikan dimensi yang berbeza buat penonton yang hadir walaupun ditayangkan dalam medium wayang pacak. Setinggi penghargaan buat produksi Wayang Pondok kerana sudi bekerjasama dalam program seperti ini dengan menyediakan peralatan dan skrin yang besar, agar filem ini dapat disaksikan seluruh tetamu yang hadir'.



Kembara Seniman Jalanan yang diterbitkan Zarul Al-Bakri melalui ZSA Holdings Sdn Bhd itu memaparkan kisah suka duka di sebalik warna warni industri muzik tanah air. Fenomena cetak rompak dan penerimaan muzik ketika itu menjadi plot terpenting yang menghubung kepada tiga watak utama iaitu Bujang (Dato' M.Nasir), Osman Tikus (Pyan Habib) dan Johan (Majid Salleh) kepada satu kisah tragis berkaitan dunia seni dan muzik era 1980an. Ketiga-tiga watak utama ini bersangkut paut dengan watak watak yang lain sehingga menjadikan filem Kembara Seniman Jalanan sebagai sebuah naskhah yang mencetuskan fenomena dan polimek tersendiri dalam dunia muzik dan filem ketika itu. 

Pemilik Sarang Art Hub, juga seorang pengarah filem terkenal, Mamat Khalid dalam ucapannya berkata, 'Kembara Seniman Jalanan' sebuah naskhah yang mempunyai roh tersendiri dan masih relevan untuk ditonton di layar besar pada malam ini. Sebagai peminat filem ketika itu, saya melihat ia sebagai rakaman peristiwa yang berlaku pada tahun 1980an mengenai masalah industri muzik khususnya cetak rompak. Sehingga kini pun, masalah tersebut masih lagi menghantui dunia muzik dan filem walaupun kita sudah 60 tahun merdeka. Jujurnya dapat saya katakan, saya terlibat dalam industri ini, adalah kerana saya cintakan seni, filem dan muzik, malahan program seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa. 'Filem baru kita sokong, filem lama kita raikan', ujar Mamat Khalid menutup bicara pada Malam Kembara Seniman Jalanan di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak. 




Antara yang hadir memeriahkan suasana tayangan filem tersebut adalah Nasir Jani dan Pyan Habib sendiri, Mamat Khalid, karyawan seni tanahair seperti Khir Rahman, Raja Mukhriz, Pekin Ibrahim, Rashidi Ishak, para pencinta filem tempatan, mantan Ketua Pengarah Finas, Dato' Kamil Othman dan pengkritik filem, Hassan Abd. Muthalib. 

Info: Filem Tombiruo: Penunggu Rimba arahan terbaharu Nasir Jani akan menyusul akhir tahun 2017. 




Foto: Zara 

0 comments :