Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Rabu, 22 Februari 2017

'SUDIRMAN ARSHAD, SEBUTIR BINTANG YANG DIPUJA DI LANGIT SEPI'


Pada detik ini, 25 tahun kita kehilangan sebutir permata yang amat berharga.Pemergiannya pada tanggal 22 Februari 1992, meninggalkan sejuta legasi yang akan terus dikenang dalam lanskap industri muzik tanah air. Kemunculannya pada awal era 70an, menerusi rakaman pertama, Teriring Doa (1976) adalah kesan daripada kemenangannya dalam Juara Bintang RTM 1976. Album pertama yang dirakamkannya ke dalam bentuk piring hitam diterbitkan EMI Music pada tahun 1978, 'Aku Penghiburmu'. Dilahirkan pada 25 Mei 1954, 'Penghibur Serba Boleh' yang mencipta nama di peringkat antarabangsa ini dikenali sebagai 'Penghibur No 1 Asia', Dato' Sudirman Hj Arshad. 

Anak jati Pahang ini memiliki kredibiliti tinggi dari segi penglibatannya dalam arena seni tanah air dengan merakamkan lebih dari 18 buah album dalam bahasa melayu dan 2 buah album dalam bahasa Inggeris. Lagu-lagu dendangannya menjadi siulan anak muda ketika itu sehingga beliau antara penyanyi pujaan lewat 80an dan kebanyakkan lagu popularnya adalah berkisarkan riwayat hidup dirinya tentang 'kehidupan, masa depan dan perasaannya' dalam dunia yang dikecapinya.

Pelbagai kejayaan diperolehinya dari tahun 1976 hinggalah ke tahun 1989. Namanya terus meniti di bibir peminat muzik tanah air, beliau dipuja seluruh rakyat Malaysia sehingga menjadi antara penyanyi kesayangan ramai yang mempunyai bakat luar biasa. Selain dikenali sebagai penyanyi, Sudirman mula melibatkan diri dalam dunia lakonan, melalui filem pertama lakonannya berjudul 'Kami'. Filem yang diterbitkan tahun 1982 ini diarahkan Patrick Yeoh, mengisahkan tentang persahabatan antara Tooko dan Din, yang mengejar impian untuk menjadi seorang penyanyi.

Pada tahun 2011, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui bahagian Produksi, telah menerbitkan dokumentari Sudirman di saluran History yang bertajuk “Sudirman Arshad”. Dokumentari berdurasi 60 minit itu diterbitkan bersama AETN All Asia Networks yang telah disiarkan pada 20 Februari 2011 (Ahad), jam 10.00 malam. Ia memaparkan suka duka pengorbanan seorang insan seni tersohor di sebalik nama Sudirman Hj Arshad. 

'Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang ku kenang
Pemergian ku ini tak dirancang'

'Salam Terakhir buat bintang bergemerlapan yang dipuja. Pemergiannya satu kehilangan besar buat negara'.

Allahyarham Dato' Sudirman Hj Arshad
(25 Mei 1954 - 22 Februari 1992)
Moga rohnya dicucuri rahmat,
AL FATIHAH

0 comments :