Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Isnin, 13 Mac 2017

4 FILEM TEMPATAN MENGHIASI SINEMA MAC 2017


'JRevolusi, Adiwiraku, Kanang Anak Langkau : The Iban Warrior, dan Kimchi Untuk Awak', antara empat buah filem tempatan yang akan menghiasi Sinema Malaysia untuk bulan Mac 2017. JRevolusi yang diterbitkan produksi Grand Brilliance dan Infinitus Productions ini, mengetengahkan kisah menarik tentang Unit Tindakan Khas (UTK) di Malaysia. Filem yang menampilkan  Zul Ariffin, Fazura, Farid Kamil, Izara Aishah, Azad Jasmin, Iedil Putra, Fatimah Abu Bakar, Peter Davis dan ramai lagi ini memaparkan kisah tragis disebalik kemodenan bandaraya metropolitan Kuala Lumpur.  Penonton dibawa menyelusuri beberapa persitiwa penting dan menggemparkan di mana ia menuntut kesabaran tinggi para pelakonnya dalam menghayati beberapa adegan penting dengan segala permasalahan yang terjadi. Siapakah Dian (lakonan Fazura) dan Jay Zulkarnain (Zul Ariffin) dalam filem ini?. Nantikan JRevolusi di pawagam berdekatan anda bermula 2 Mac 2017.


Adiwiraku menghidupkan kisah pelajar SMK Pinang Tunggal di Sg Petani, Kedah yang berusaha untuk menyertai pertandingan 'choral speaking' walaupun mengetahui peluang yang terlalu tipis untuk menang. Cheryl Ann, seorang guru bahasa inggeris dari Bandar Kuala Lumpur, terpaksa berhijrah ke sekolah tersebut bagi merealisasikan impian segelintir guru untuk melihat prestasi dan kemajuan sekolah tersebut dari segi pembangunan dan sahsiah pembelajaran para pelajar SMK Pinang Tunggal. Berbekalkan semangat dan jatidiri yang kental, Cheryl bersama-sama seorang guru lelaki mengambil inisiatif dengan memperkenalkan teknik ‘choral speaking’dengan mewujudkan sebuah kumpulan yang terdiri daripada 35 pelajar sekaligus membentuk sahsiah dan peribadi mereka agar menjadi pelajar yang berkeyakinan dan mempunyai semangat kerjasama yang tinggi.

Diinspirasikan dari sebuah kisah benar, Adiwiraku meneroka beberapa sisi dan pandangan hidup golongan pelajar dan pendidik tanpa terpisah jalinan keduanya. Ini mewujudkan perspektif hidup bahawa golongan pendidik harus memainkan peranan penting bagi melahirkan pelajar yang mempunyai daya imaginasi yang tinggi dalam kehidupan. Menariknya, filem yang diterbitkan oleh Sol Pictures Sdn Bhd itu menampilkan pelakon Sangeeta Krishnasamy yang memegang watak sebagai Cheryl Ann Fernando. Ia dibantu oleh Xavier Fong, Farra Safwan, Wan Azlyn dan Adnin Zidane.Adiwiraku yang diarahkan Eric Ong ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 9 Mac 2017.

'Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior', yang diterbitkan produksi Tangan Seni Sdn Bhd dengan kerjasama FINAS, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia ini merupakan filem terbaharu arahan Bade Hj Azmi. Pemegang trofi Pengarah Terbaik FFM16 (2003) menerusi filem KL Menjerit, Bade merungkai sisi kehidupan seorang perajurit negara berbangsa Iban dari Bumi Kenyalang, Sarawak menerusi filem Kanang iaitu Mendiang Temenggong Datuk Kanang Anak Langkau daripada Rejimen Renjer Diraja dan merupakan Sarjan Mejar Rejimen kepada 8 Renjer dalam Angkatan Tentera Malaysia yang berjuang bersama mempertahankan kedaulatan tanahair dari pihak Komunis.Filem kenegaraan yang mendapat sokongan penuh Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ini merupakan filem air mata yang pastinya meruntun jiwa penonton , dan menariknya filem ini menampilkan Langgi Anak Datuk Kanang yang memegang watak utama sebagai Kanang. Selain itu, pelakon berbakat besar Ady Putra dan Johan As'ari juga terlibat dalam produksi filem Kanang. 'Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior', akan menemui peminat dan penonton tanah air bermula 16 Mac 2017. 

Berdasarkan novel terlaris dengan tajuk yang sama karya Suri Ryana, 'Kimchi Untuk Awak', merupakan filem pertama arahan pengarah drama terkenal, Michael Ang. Mengisahkan Bella dan Daniel Lee, yang bertemu tidak sengaja di Kota Korea akibat satu insiden, filem yang menampilkan Aiman Hakim Redza, Janna Nick, Emma Maembong, Natasha Elyzza, Ungku Hariz, Normah Damanhuri, Dira Abu Zahar, Chew Kin Wah, Mandy Chong dan Sharifah Sakinah ini merungkai kisah keluarga antara dua pihak yang akhirnya menuntut satu pengorbanan dalam penyatuan ikatan persaudaraan dalam percintaan sesama mereka. Filem yang diterbitkan Astro Shaw bersama produksi Darkwave Pictures Sdn Bhd ini akan menemui penonton di pawagam seluruh tanah air bermula 30 Mac 2017.

JRevolusi Trailer

Adiwiraku Trailer

Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior Trailer

Kimchi Untuk Awak Trailer

0 comments :