Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Khamis, 9 Mac 2017

FILEM MA’ ROSA BAKAL CETUS KONTROVERSI DI MALAYSIA?


Jika di Malaysia, penerbitan filem seumpama ini pastinya mengundang persepsi negatif di kalangan penonton, malahan mungkin juga ia disekat tayangannya sekiranya menyentuh aspek ‘kepolisian’ dan ‘sensitiviti’ di kalangan anggota beruniform walaupun jalan ceritanya lebih menjurus kepada unsur realiti hidup masyarakat sekitarnya.

Filem adalah cerminan hidup yang mencernakan pemikiran khalayak menerusi jalan cerita yang diketengahkan, melalui plot cerita yang berkembang menerusi lakonan watak beberapa pelakon yang mendukung sesuatu peranan melalui kisah yang divisualkan. Tetapi, pembikinan sesuatu naskhah itu harus dilihat dari segi kandungan ceritanya, mesej yang disampaikan malahan ia boleh dijadikan filem contoh dalam perkembangan filem arus perdana masa kini.

Filem Ma’ Rosa, garapan pengarah terbaik yang pernah mencipta nama di beberapa festival filem antarabangsa, antaranya Festival Filem Cannes, Festival Filem Antarabangsa Dubai, Festival Filem Antarabangsa Berlin dan Venice, Brillante Mendoza antara pengarah filem dari Filipina yang telah mencipta fenomena di peringkat antarabangsa menerusi beberapa buah karya hebatnya, ‘Service (2008), Kinatay (2009), Grandmother (2009), Captive dan Thy Womb (2012).



Menemui penonton dan peminat filem tempatan bermula 9 Mac 2017, ‘Ma’Rosa’ sebuah karya dari Filipina yang mengupas tentang isu penindasan dan pergolakan hidup antara masyarakat pertengahan dengan bawahan menerusi watak Rosa, lakonan Jaclyn Jose yang terperangkap antara ‘hidup dan mati’ setelah ditangkap pihak berkuasa akibat penjualan dadah. Rosa dan suaminya Nestor, ditangkap dirumah mereka dan di bawa ke sebuah pejabat di kota milik polis. Semasa di soal siasat, Rosa diugut untuk dipenjarakan sekiranya tidak membayar denda. Pihak polis yang digambarkan dalam filem ini agak ‘keras’ sifatnya malahan mereka berdua dipaksa membayar sejumlah wang sekiranya mahu bebas seperti sediakala. Penindasan dipaparkan dalam filem ini tanpa ada rasa belas kasihan, dan boleh dikatakan ia adalah realiti hidup masyarakat terpinggir di Kota Filipina yang hidup seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. 

Filem yang memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik : Jaclyn Jose di Festival Filem Antrabangsa Cannes 2016, Pengarah Terbaik : Brillante Mendoza di Festival Filem Antarabangsa Gijón 2016 dan Festival Filem Antarabangsa Malaysia 2017 (MIFFEST2017) di Arena Stars of Genting Highland, Malaysia pada 4 Mac 2017, juga antara filem terpilih di Festival Filem Antarabangsa Cannes 2016 bagi ‘official competition’. 

Ma' Rosa yang telah menemui penonton di Filipina pada 6 Julai 2016 dan 18 Mei 2016 di Cannes akan menemui penonton dan peminat filem tanah air bermula 9 Mac 2017 di empat buah pawagam GSC terpilih antaranya, GSC Mid Valley KL, GSC Pavillion KL, GSC 1 Utama PJ dan GSC Gurney Plaza, Penang.
Ketika ditemui Media semasa Tayangan Perdana ‘Ma’Rosa’ di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini, pengarah filem tersebut, Brillante Mendoza yang ditemani pelakon utama filem tersebut, Jaclyn Jose berkongsi sesuatu istimewa buat penonton. Ma’Rosa yang diangkat dari sebuah kisah benar ini merungkai sisi gelap kehidupan masyarakat terpinggir yang mewakili golongan miskin di Filipina. Pembikinan naskhah ini mencabar kreativitinya sebagai pengkarya kerana saya perlu jujur dalam mengetengahkan jalan cerita yang dipaparkan melalui shot dan visual yang diketengahkan.



Filem ini boleh dianggap agak istimewa kerana saya menggunakan teknik sinematografi yang berkesan bagi menimbulkan mood ‘suspens’ dengan ‘dark low key’ bagi sesuatu babak tanpa melupai jalan cerita yang ingin disampaikan. Walaupun ia seperti ‘klise’, namun saya percaya filem sebegini ada penontonnya’, ujar Brillante Mendoza, pengarah filem ‘Ma’Rosa’ teruja menantikan sambutan penonton dan peminat filem tersebut di Malaysia.

Jaclyn Jose, pelakon utama filem tersebut pula menegaskan bahawa Ma’Rosa adalah cerita berlatarbelakangkan kota Filipina yang terpencil menerusi watak Rosa, seorang wanita yang terperangkap antara ‘hidup dan mati’. Beliau terpaksa membuat keputusan yang baik demi menyelamatkan keluarganya, setelah ditangkap polis akibat pengedaran najis dadah. Rosa memaksa anak-anaknya mencari 50 ribu peso untuk diserahkan kepada sindiket polis.

Apakah yang terjadi ?. Berjayakah misi Ma’Rosa dan anak-anaknya dalam cengkaman permasalahan tersebut?. Semuanya bakal terjawab dalam filem Ma’ Rosa’ bermula 9 Mac 2017 ini di beberapa pawagam GSC terpilih.
 trailer

Gambar : Aidi Emizul

0 comments :