Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Isnin, 24 April 2017

'BERANI DAN KONTROVERSI', KAMAR SEKSA PAPARKAN KISAH WANITA LESBIAN?

 
'Jangan panggil aku ibuk, panggil aku bapak, kau faham tak'!, Sazzy Falak.

Mendengar sahaja tajuk filem ini, mungkin ada di antara kita tidak mengambil peduli, bahkan mengenepikan terus dengan alasan 'tidak menarik, tajuk tak komersial, filem melayu.. , ala ..bosan!'. Itulah realiti jika kita membikin filem di Malaysia, kerana bukan semua akan menyukai karya kita malahan hasil penat kita bukan sahaja tidak akan dihargai, tetapi akan dilupakan!. Begitulah nasib karyawan seni kita yang yang bergelar 'anak wayang'.

'Kamar Seksa', yang telah membuka tirainya di beberapa pawagam tanah air bermula 20 April 2017 ini merupakan sebuah karya arahan M.Suurya yang boleh disifatkan agak 'berani dan kontroversi dalam menterjemahkan isu permasalahan gender menerusi pembinaan 2 plot cerita dalam satu naskhah. Sazzy Falak dan Ieda Moin, pasangan lesbian dalam filem ini merupakan pasangan sensasi yang mengamalkan 'cinta dan hubungan sejenis' sesama mereka. Watak yang dipikul mereka tentunya mewakili golongan wanita diluar sana yang sememangnya masih ada di dalam kelompok masyarakat kita. Sazzy berjaya membawakan watak perempuan lesbian yang hidup bersama pasangan sejenisnya, Ieda. Mereka berdua bagaikan suami isteri, namun konflik berlaku apabila Sazzy Falak bertindak luar biasa memukul orang gajinya, Mona ;  sehingga berlaku suatu perkara yang tidak diingini.


Jika dilihat dari segi jalan ceritanya, mungkin agak 'klise'. Namun M.Suurya, pengarah filem ini bijak menterjemahkan plot dan visualnya menjadi sebuah filem psiko-thriller yang 'menyakitkan, penuh emosi, dan sensual', sekaligus memberikan mesej berguna buat penonton dan peminat filem tanah air. Beberapa shot dan 'frame' dalam filem ini dijaga dari sudut fotografinya, malahan beberapa karektor tambahan 'tidak dipaparkan wajahnya' dalam beberapa babak. Sebagai contoh, watak lakonan Norkhiriah semasa 'memohon pekerjaan, bersama suaminya dan kehadiran tetamu ke rumah' - semuanya ini hanya meletakkan karektor Norkhiriah seorang sahaja tanpa 'berbalas shot'. Karektor dalam setiap 'frame' amat menarik. Dan kemungkinan pengarah M.Suurya mempunyai jawapannya tersendiri kenapa watak-watak tambahan ini tidak dipaparkan wajahnya langsung. Ini memberikan huraian bahawa hanya empat watak sahaja yang penting iaitu 'Sazzy Falak, Ieda Moin, Norkhiriah dan Aiyuni Hashim', pendatang baru yang digilap M.Suurya menerusi 'Kamar Seksa'. 

Kamar Seksa mempunyai dua cerita dalam satu naskhah. Cerita pertama mengenai Sazzy Falak, Ieda Moin dan Aiyuni Hashim. Cerita kedua pula berkenaan tentang 'dilema watak Norkhiriah bersama suaminya seorang lelaki kaki botol, pemabuk, panas baran dan sebagainya. Mungkin agak biasa atau klise dalam pembinaan plotnya, namun M.Suurya bijak menyusun plot dan naratifnya menjadi sebuah karya yang menarik dan mendebarkan. Filem terbitan Garuda Films ini merupakan karya ketiga M.Suurya dalam industri perfileman tanah air, selepas Sumpahan Puaka (2011) dan Dhusrajanam (2013),  nyata memberikan dimensi yang baik dalam skop sebuah cerita wajib tonton buat penggemar filem-filem 'suspend, thriller dan drama'. 'Kamar Seksa' boleh dikatakan sebuah naskhah filem yang berani bercerita kepada penonton tentang 'isu lesbian, orang gaji, penderaan seksual, dan hubungan sejenis'. Namun filem ini bukanlah karya yang berfantasi tentang keghairahan seksual semata-mata, tetapi ia menghuraikan kepada kita tentang nasib dan akibat, kesan daripada tindakan dan perilaku segelintir masyarakat kita' agar tidak menjadi pedoman buat generasi seterusnya. Filem ini adalah didedikasikan kepada golongan wanita dan merupakan sebuah cerita yang diinspirasikan dari sebuah kisah benar.


Dari sudut fotografi dan skor musiknya, 'Kamar Seksa' berjaya memberikan kita 'mood penontonan' yang suspend dan dramatik. Penggunaan warna bagi setiap karektor diguna pakai dengan baik melalui watak Mona (Aiyuni Hashim), Sazzy Falak, Ieda Moin dan Norkhiriah. Malahan garapan skor muziknya berjaya menimbulkan mood resah, seram, takut, kejam, jahat dan sebagainya. Penampilan Sazzy Falak dalam Kamar Seksa berjaya meletakkan beliau sebagai pelakon wanita berbakat dan antara watak wanita yang amat kejam dan merimaskan, tapi seksi!. Sekiranya filem ini tidak mendapat kutipan memberangsangkan sekalipun, tidak mengapa,  kerana ia sebuah karya kecil tapi besar jiwa dan pemikirannya. Hanya mereka yang menghargai karya filem dan hasil seni karyawan kita, akan ke pawagam untuk menonton filem ini kerana ia menjanjikan sebuah cerita yang baik dan tidak mengecewakan khalayak. Tidak mustahil sekiranya filem ini memperoleh kejayaan di beberapa festival filem antarabangsa .

Tepuk Dada Tanya Selera!.

Kamar Seksa di pawagam sekarang!.

Untuk artikel sebelum ini, sila klik di sini 


 
🎬 Kamar Seksa Filem WAJIB TONTON dengan skala yang diberikan sebanyak 5/5.

0 comments :