Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Rabu, 19 April 2017

'KAMAR SEKSA', BUKAN FILEM SE'JENIS'!

 
Pertama kali menonton trailer filem ini, penulis menganggap ia sebagai sebuah karya 'hitam' yang pastinya mengundang persepsi negatif di kalangan penonton. Apabila meneliti dari ruang sudut dalam naskhah ini, penulis merasakan ada sesuatu yang ingin diungkap oleh pengarah filem ini. M.Suurya, bukan calang individu yang diberi tanggung jawab untuk berada di kerusi pengarah bagi menghasilkan naskhah ketiga arahannya berjudul 'Kamar Seksa'. Filem yang diterbitkan oleh Genius Parade Sdn Bhd bersama Garuda Films ini merungkai kisah tentang dunia 'biseksual' di kalangan wanita menerusi watak Mona, seorang pembantu rumah dan dua wanita biseks. Pelbagai peristiwa terjadi antara mereka memaksa Mona membongkar misteri yang menyelubungi hidup Khaty dan kisah Nur, seorang ibu yang terperangkap dalam perubahan masa akibat kisah hitam suaminya.

Membariskan beberapa pelakon terkenal tanah air antaranya, Sazzy Falak, Nurkhiriah, Ieda Moin dan Aiyuni Hashim, 'Kamar Seksa', mempunyai dua kisah misteri dalam satu filem. Bakal ditayangkan di beberapa pawagam seluruh Malaysia bermula 20 April 2017, 'Kamar Seksa', filem terbaharu M.Suurya selepas 'Sumpahan Puaka (2011) dan Dhusrajanam (2013). Pernah memenangi Anugerah Direktor Baru Terhebat di Anugerah Blockbuster 2012 menerusi filem pertama arahannya, Sumpahan Puaka,  M.Suurya sebelum ini dikenali sebagai penerbit produksi Genius Parade, di mana beliau menerbitkan filem-filem arahan pengarah dan pelakon berbakat, M.Subash Abdullah seperti 'Pensil (2008), Karna Reborn (2012), Vajram (2012) , Misteri Bisikan Pontianak (2013) ' dan banyak lagi.



Ketika bercakap dalam sesi temubual bersama penulis menerusi khidmat pesanan ringkas, M.Suurya berharap 'peminat dan penonton filem tanah air dapat menerima naskhah terbaharu arahannya ini yang bakal memasuki 25 buah pawagam seluruh Malaysia bermula 20 April 2017.Menurutnya,  'Kamar Seksa', diinspirasikan dari sebuah kisah benar, merupakan karya filem yang didedikasikan buat golongan wanita, yang pernah merasai pengalaman dianiaya, ditipu dan didera akibat orang lain'. Diklasifikasikan P13 oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) Kementerian Dalam Negeri, 'Kamar Seksa' akan 'meremang' di pawagam anda bermula Khamis ini, 20 April 2017. Peminat filem tanah air wajib menonton filem ini kerana ia menjanjikan sesuatu yang istimewa dan tidak mengecewakan anda.


Kamar Seksa Trailer
Di Pawagam 20 April 2017

0 comments :