Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Rabu, 26 April 2017

PENGHORMATAN TERTINGGI SAW TEONG HIN MENERUSI 'YOU MEAN THE WORLD TO ME'.

'kemaafan mungkin akan diperolehi sekiranya kita berusaha untuk menggapainya.  Nilai kasih sayang menjadi teras pemangkin kepada usaha memupuk jatidiri kekeluargaan bagi membawa misi keharmonian dalam ikatan sebuah keluarga', adalah ringkasan apa yang boleh diperkatakan menerusi 'You Mean The World To Me', bakal menjengah pawagam tempatan seluruh negara bermula 4 Mei 2017.

Saw Teong Hin, sebelum ini terkenal dengan kejayaannya membawa filem epik berbajet besar, Puteri Gunung Ledang (2004) sebagai karya pertamanya bersama sutradara profilik Mamat Khalid, sehingga dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-18, 2005. Kemudian, beliau mengarahkan filem 'Apa Kata Hati (2008)' dan 'Hoore! Hoore! (2012)' sebagai filem berjiwa remaja sesuai dengan peredaran masa dan sambutan peminat waktu itu. Setelah empat tahun menyepi, Saw Teong Hin kembali mewarnai industri perfileman tanah air tahun ini menerusi 'You Mean The World To Me', 



Filem yang menggunakan bahasa Hokkien dari Penang itu merupakan karya bertemakan 'kasih sayang sesama keluarga' di mana elemen 'jati diri, impian dan cita-cita' menjadi fokus utama Saw Teong Hin sebagai pengkarya setelah 13 tahun mengabdi diri dalam dunia sinema tempatan. Naskhah terbaharunya ini membuktikan beliau antara pengarah berjiwa 'sentimental dan melankolik' di mana garapannya menerusi 'You Mean The World To Me' amat menyentuh perasaan penonton. Filem yang diterbitkan oleh Astro Shaw bersama produksi Real Films ini merungkai kisah tentang Sunny (lakonan Frederick Lee), seorang pengarah filem yang pulang ke kampung halaman di Pulau Pinang bagi sesi penggambaran projek terbaharunya berbentuk autobiografi yang berkisarkan tentang keluarganya sendiri. Kepulangannya disambut baik oleh ahli keluarganya, terutama kakaknya Hoon (lakonan Yeo Yann Yann) dan dua orang ibu saudaranya. Semasa menjayakan projek filemnya, Sunny sering dibayangi dengan kelibat seorang anak lelaki sehingga menemukan dia kepada kisah silam antara dirinya dengan ibunya (lakonan Neo Swee Lin) dan abangnya yang menghidap gangguan mental, Boy (lakonan John Tan).  Menerusi filem ini, penonton di bawa menyelami beberapa karektor penting yang dipaparkan antara Sunny dan ibunya. Pelbagai konflik melatari filem ini sehingga menimbulkan tragedi hitam yang menyiksa jiwa dan raga.

'You Mean The World To Me', merupakan sebuah cerita yang diinspirasikan dari kisah benar tentang kehidupan silam 'Saw Teong Hin' sendiri. Suka duka kehidupan bergelar 'pengkarya filem', dipaparkan cukup indah menerusi karya keempatnya ini. Filem ini membuka ruang dimensi dunia pengarahan berbentuk 'sinema dalam sinema'. Saw Teong Hin begitu teliti dalam menterjemahkan karya ini menerusi paparan sinematografi dan plot ceritanya. Walaupun dilihat agak mendatar pada sesetengah babak, namun penonton diuji dengan karektor Sunny, Boy dan ibunya yang dilihat sukar dipisahkan.




Menariknya, filem ini menggunakan khidmat beberapa nama besar dalam dunia perfileman antarabangsa, antaranya, Christopher Doyle, iaitu sinematografer yang cukup dikagumi dengan hasil karyanya menerusi filem Wong Kar-Wai (In The Mood For Love) dan Zang Yimao (Hero). Turut serta menjayakan filem ini adalah editor dan sinematografer Liao Ching-Song yang pernah terlibat dalam filem The Assassin serta penyanyi lagenda Taiwan, Zhao Chuan yang telah menyumbangkan suaranya untuk lagu tema filem bertajuk 'Kam-Sia Li'.

Ketika berucap kepada media di sesi Tayangan Perdana filem ini di GSC Pavillion, Kuala Lumpur pada petang Rabu, Najwa Abu Bakar, Ketua Astro Shaw menyifatkan, "You Mean The World To Me' sebagai sebuah karya air mata dari Saw Teong Hin. Filem ini sebenarnya sebuah karya yang pernah  dipentaskan di The George Town Festival 2014 di Pulau Pinang. Saw Teong Hin selaku pengarah dan penulis skripnya mahu membawa karya ini ke medium filem yang lebih luas. Melihat kepada sambutan yang cukup menggalakkan waktu itu, saya merasai ia sebuah naskhah yang akan mengujakan penonton kerana filem ini mengetengahkan nilai kasih sayang keluarga yang cukup hebat.Filem ini amat berbeza dengan karya yang pernah dihasilkan Saw Teong Hin dalam sinema tempatan sebelum ini.


Menampilkan beberapa pelakon hebat dari Malaysia dan Singapura antaranya, Frederick Lee, Yeo Yann Yann, Neo Swee Lin (pelakon Phua Chu Kang - watak emak), Steve Yap, Sue Tan dan Chelsia Ng, 'You Mean The World To Me', akan berada di pawagam tempatan bermula 4 Mei 2017.

Gambar Sekitar Tayangan Perdana Filem 
'You Mean The World To Me' di GSC Pavillion, KL pada 26 April 2017

Foto Oleh: Ruffey  Rahman






Trailer Filem


Semua gambar dalam artikel ini adalah dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987. Sebarang Salinan semula tanpa kebenaran adalah dilarang.

0 comments :