Ketika berucap merasmikan filem ini di Gasket Alley, Petaling Jaya baru baru ini, Dato’ Khairul Anwar Salleh, Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro menjelaskan ‘Polis Evo 2 adalah karya yang dinantikan seluruh peminat filem di Malaysia. Ia suatu penjenamaan yang amat di tunggu memandangkan naskhah pertama filem ini yang diterbitkan pada tahun 2015 memberikan impak tersendiri dalam industri perfileman tempatan. Menariknya filem yang menjalani penggambaran selama 85 hari itu akan ditayangkan di Indonesia pada Disember 2018. Masih mengekalkan Joel Soh, Anwari Ashraf dan Kyle Goonting sebagai penulis skrip, Polis Evo 2 (PE2) ini menceritakan bagaimana Inspektor Sani dan Inspektor Khai yang kembali berdepan dengan cabaran lebih besar apabila terpaksa menyelesaikan satu kes paling rumit melibatkan kumpulan pengganas dan juga ajaran sesat yang menawan sebuah kampung dan menjadikan penduduknya sebagai tebusan maut. Filem yang memaparkan usahasama Pasukan Tindakan Khas Malaysia dan Indonesia ini berdepan cabaran lebih kompleks dalam dunia kepolisian. Apakah Inspektor Sani dan Inspektor Khai berjaya mendepani situasi ini?. Nantikan Polis Evo 2 di pawagam bermula 22 November 2018.