Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Isnin, 25 Mac 2019

AHMAD IDHAM CEO FINAS YANG BAHARU. APA PENDAPAT KALIAN?



9 tahun lepas menerusi blog yang sama, saya ada menulis tentang berita pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Finas. Namun itu hanya gossip semata-mata, Tetapi, bermula pada 11 Mac 2019 (Isnin), beliau secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi mengantikan Encik Shakib Ahmad Shakir, Pemangku Ketua Pengarah. Pengumuman itu dibuat oleh Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dalam satu kenyataan media. Pemilihan Idham sebagai CEO Finas ini sekaligus menjadikan beliau antara individu penting yang boleh membawa suara warga filem dan industri hiburan tanah air ke satu tahap yang teratas dan boleh dibanggakan.

Dikenali sebagai pelakon, pengarah dan penerbit beberapa buah drama dan filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 45; merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan mempunyai kepakaran serta pengalaman di dalam industri kreatif selama lebih 25 tahun. Idham dalam satu kenyataan media memohon pihak diluar sana dapat memberi peluang kepadanya untuk menerajui Finas sekaligus dapat mengubah lanskap industri filem tempatan. Walaupun dikritik dan dikecam dalam beberapa laman sosial khususnya Facebook, selepas pengumuman pelantikannya bagi menerajui industri filem melalui Finas secara kolektifnya, saya percaya Idham mampu membawa Sinema Malaysia merentasi sempadan yang sewajarnya, malahan boleh dibanggakan. Mungkin ada yang memandang sinis dengan kenyataan ini, tapi percayalah beliau mampu melakukan yang terbaik jika diberikan peluang dan kepercayaan yang jitu oleh seluruh pemain industri khususnya warga filem itu sendiri. 'Jika kita tak percaya dengan bangsa kita, siapa lagi?'. 

Warga filem termasuk pekerja belakang tabir, sememangnya inginkan perubahan yang drastik khususnya dari segi kenaikan gaji, bayaran upah dalam produksi penggambaran, harga dan bajet produksi dari stesen tv, royalti hasil dari karya anak seni mahupun payment / bayaran tenaga krew dan artis yang adakalanya tidak munasabah dan sebagainya, adalah rentetan dari permasalahan industri filem dan hiburan saban tahun yang tiada jalan penyelesaian walaupun corak pemerintahan kerajaan bersilih ganti. Namun, kita jangan lupa tentang kandungan produksi melalui pembinaan jalan cerita / skrip yang selalunya di pandang sepi malahan pembayarannya adakala turun naik dan juga lebih murah dari bayaran pelakon , artis mahupun selebriti yang terpilih kononnya 'mereka instafamous, follower juta-juta, dan peminatnya lebih ramai dari peminat penulis skrip itu sendiri,'. Inilah perkara yang perlu Ahmad Idham kaji sebagai CEO Finas yang baharu,  supaya industri kita melalui pekerja belakang tabir dapat hidup dengan hasil titih peluh mereka sendiri. Ini realiti yang terjadi dalam indutsri kita dan rakan-rakan karyawan kita. Semoga dengan pelantikan CEO Finas yang baharu ini, saya berharap industri filem dan hiburan tanah air kita mampu melangkah lebih tinggi dan maju hendaknya.

Jadi, apa pendapat kalian?.


0 comments :