Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Selasa, 9 April 2019

APA HALA TUJU INDUSTRI PERFILEMAN MALAYSIA?


Walaupun baru tiga minggu memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) , Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 45; boleh dikatakan mempunyai banyak perancangan dalam pembangunan industri kreatif negara. Idham yang dikenali sebelum ini sebagai seorang pelakon, pengarah dan penerbit, kini merupakan individu terpenting dalam industri perfileman tempatan. 

Malaysia, harus beruntung mempunyai Finas, kerana industri kreatif yang berpaksikan kearah penerbitan dan penghasilan filem-filem cereka ini mendapat perhatian kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM). Pelbagai dana disalurkan kerajaan melalui Finas kepada penggiat filem tempatan, dan seharusnya peluang ini digunakan secara 'baik' bagi mewujudkan karya yang benar-benar berkualiti bagi menembusi pasaran bukan sahaja tempatan malahan antarabangsa. Keinginan kita untuk melihat filem tempatan berada di pawagam luar negara mungkin dilihat agak 'mustahil', namun sekiranya para penggiat dan karyawan industri tanah air bersatu hati tanpa ada rasa prejudis antara satu sama lain melalui kerjasama bagi menerbitkan dan menghasilkan karya yang 'bersifat global' ini mungkin akan menjadi realiti. Namun, karya bagaimanakah yang boleh dihasilkan?. 




Festival Filem Malaysia (FFM) yang berakhir 30 Mac 2019 yang lalu boleh dianggap medan untuk para karyawan menonjolkan kreativiti dan kualiti mereka dalam mengetengahkan 'nilai filem' dalam sesebuah karya. Penonton dan peminat filem tanah air zaman kini, sudah mula 'terbuka' dalam menilai serta memahami sesuatu naskhah, namun harus diingat 'filem Malaysia' harus mengekalkan nilai ketimuran yang tinggi budi pekertinya melalui jalan cerita yang diketengahkan, agar Malaysia dipandang sebagai hab perfileman serantau yang disegani. Penganjuran Anugerah Akademi atau signifikannya Academy Awards / Oscar yang diadakan setiap tahun menjelangnya bulan Februari, adalah pesta filem peringkat antarabangsa yang mengiktiraf karya dan karyawan di seluruh dunia melalui filem-filem yang bertanding. Penyertaan Redha arahan Tunku Mona Riza dalam kategori Filem Bahasa Asing Terbaik di Anugerah Akademi ke 89 pada 2017 misalnya, boleh dianggap rentetan kepada percubaan karyawan tempatan kita untuk menembusi sinema dunia melalui Oscar. Namun, untuk menempatkan diri antara lima yang terbaik di anugerah ini mungkin akan menjadi realiti sekiranya kita tahu formula bagaimanakah untuk membawa dan menghasilkan karya bersifat 'internasional'. Mungkin juga, FFM boleh menjadikan Academy Awards ini sebagai inspirasi dalam penghasilan naskhah yang sehebatnya. 

Dalam membicarakan tentang hala tuju industri perfileman Malaysia, kita jangan lupa untuk menidakkan kepentingan krew belakang tabir, tenaga produksi sokongan, misalnya kerjaya sebagai 'penulis skrip' umpamanya dan juga promosi bagi penayangan sesebuah filem di pawagam. Kesemua elemen ini adalah tonggak kepada kejayaan sesebuah produksi. Namun dalam industri masa kini, 'pelakon ataupun selebriti' selalu diutamakan bahkan dipuja segenap pelusuk, sehingga bayaran mereka lebih mahal dari harga sebuah skrip. Apakah kita yang berada dalam industri ini, yang bekerja makan gaji umpamanya (dibayar gaji murah untuk kepentingan orang lain?) dianggap 'melacurkan diri' bagi mencari sesuap rezeki walaupun ada ketikanya terpaksa menahan lapar kerana bayaran tidak cukup atau tidak sepatutnya. Perkara sebegini harus dilihat oleh mereka yang berkepentingan tinggi dalam industri perfileman dan hiburan tanah air. Jangan kerana 'memuja bintang, awan di langit di biar tidak, burung terbang di dahan tinggi, lari bertempiaran bersorak keriuhan'.

Filem tanpa promosi umpama menabur umpan tanpa isinya. Cerita yang baik tanpa ada usaha untuk diketengahkan agar diketahui umum juga menjadi masalah kepada kita pembikin dan karyawan tanah air. Soal bajet penerbitan, promosi dan sebagainya harus difikirkan bersama agar karyawan yang mendokong kepada pembangunan industri kreatif dan filem tanah air ini juga mendapat hasilnya sekaligus industri hiburan dan perfileman tempatan mampu berdiri gah dan sehebat filem-filem luar dalam konteks 'sinema dunia'. Moga Ahmad Idham kita dapat membawa Sinema Malaysia setaraf yang sepatutnya. Tapi ingat, jangan gentar dengan kata cacian mereka yang 'menghasut' tetapi hasutan dan kejian mereka ini harus dilihat sebagai potensi diri dalam membawa serta memartabatkan industri filem Malaysia ke persada dunia.

Edisi Penuh Selamat Malam Malaysia



Untuk  mengupas segala permasalahan yang membelenggu industri hiburan dan perfileman tanah air, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada sabtu lepas, 6 April 2019 membawakan 'Selamat Malam Malaysia'. Program yang disiarkan secara langsung jam 11 malam menerusi Saluran digital MyFreeview milik RTM ini membawakan Ahmad Idham, Muz Amer dan Shuhaimi Zulkefli. 

0 comments :