Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Isnin, 13 April 2020

PARA PENEROKA SINEMA KITA


Saya mengandaikan Sinema Malaysia adalah sebuah hutan. Kalau mahu lebih spesifik, ianya hutan tropika. Atau kita boleh letak ianya adalah hutan simpan. Yang penting, ianya hutan yang dalamnya ada khazanah penting. Dan barangkali di hutan ini juga ada gunung. Semenjak filem pertama dibikin di sini pada tahun 1933, para pembikin filem telah meneroka hutan ini. Jalannya dibuka oleh adik beradik Shaw dengan membawa pembikin dari India - B.S Rajhan, BN Rao, L. Krishnan, Phani Majumdar dan lain-lain. Kemudian pembikin filem kita mula menunjukkan kearifan dalam memahami hutan ini.
P.Ramlee tahu benar bahawa kritikan kepada masyarakat perlu menghiburkan. Dan dengan segala bakat, beliau menjadi perintis di hutan ini. Kemudian Hussein Haniff membawa kita melihat bagaimana sebuah cerita boleh dilihat dari sudut berlainan. M. Amin pula menunjukkan di balik hitam putih, ada kelabu. Di bahagian lain, Zain Hussin pula datang dengan kaca mata Inggeris tetapi berkompas adat budaya Melayu lalu membawa kita bersiar-siar dengan dokumentarinya. Mereka ini adalah peneroka yang menunjukkan hutan kita tak kalah hebatnya dengan hutan di benua lain. Barangkali mereka telah pun menemui jalan ke puncak gunung dalam hutan ini.
Kemudian pada 80an, setelah beberapa tahun hutan sepi tanpa peneroka, Rahim Razali pulang dari luar negara lalu bercerita tentang pentingnya jati diri dalam dunia moden. Kemudian diikuti Othman Hafsham bercerita dengan seram dan humornya di samping Nasir Jani dengan semangat rebelnya. Mansor Puteh boleh melukis pokok di hutan ini dan menamakannya sepohon pohon. U-Wei Haji Saari kemudian datang berlari dengan buku sastera di tangannya lalu menanam benih di hutan ini sambil membawa kita berfikir tentang jauh Amerika Syarikat dengan Pahang, tapi ada lelaki yang berkongsi masalah sama, lalu sambung berlari menuju jalan ke puncak. Adman Salleh pula membawa cermin untuk kita melihat pertembungan Melayu dengan dunia moden. Dengar cerita, Anuar Nor Arai juga sempat ada kebun kecil di hutan ini.
Begitu juga Shuhaimi Baba dan Mahadi J. Murad yang juga menuntut di luar negara, lalu pulang dan membawa kita ke tebing sungai untuk melihat diri pembikin filem dan juga sejarah. Di satu bahagian hutan ini pula, Aziz M Osman yang bertopi Batman yang diberi Steven Spielberg melalui mimpi dengan penuh semangat membuka ruang fiksyen sains untuk kita. Erma Fatima mengingatkan kita bahawa hutan tanpa wanita adalah dunia huru-hara. Kita kemudian memasuki tahun 2000, yang ada di antara kita percaya dunia akan reset semula. Dalam fasa ini, beberapa pembikin filem datang berkumpulan untuk membawa kita ke lembah digital hutan ini. James Lee, Amir Muhammad, Ho Yuhang, Tan Chui Mui, Liew Seng Tat, Woo Ming Jin, Azharr Rudin mencipta gelombang lalu membuka ruang untuk penonton antarabangsa melihat hutan kita. Usaha ini kemudiannya disempurnakan oleh Yasmin Ahmad dengan penuh nostalgia dan harmoni.


Kita kemudian ada beberapa pembikin yang datang bawa harapan lalu pergi. Tapi bukan bagi Dain Said. Dia menerangkan hutan ini penuh dengan magis dan unsur surrealis. Walaupun nampak macam setuju, pasangan suami-isteri Fariza dan Effendee menyatakan kisah masyarakat juga ada tempat di sini. Saya tak pasti di mana nak letak Afdlin Shauki, tapi beliau juga menarik. Kalau ikutkan populariti, saya kira Mamat Khalidlah peneroka sinema moden yang paling popular. Berbekalkan pengalaman hidupnya di kampung dan bermain muzik, dia berjaya membuka sarang di hutan ini. Lalu kita lihat Nam Ron dan Al Jafree yang lama menimba pengalaman di dunia pentas, lalu menterjemahkan pengalaman itu mengikut cara masing-masing dalam meneroka sinema kita pada akhir-akhir ini.
Kalau ikutkan apa yang ditulis ini, nampak meriah. Macam hutan, sudah jadi taman tema. Namun hakikatnya hutan ini luas, dan sentiasa ada ruang untuk penerokaan baru. Mungkin dengan kemeriahan nama-nama tadi, hanya sepuluh atau dua puluh peratus sahaja hutan ini diterokai. Maka saya gembira dan meraikan mana-mana pembikin muda yang punya semangat untuk meneroka ini. Shanjhey Kumar Perumal, Nik Amir Nik Mustapha, Razaisyam Rashid, Edmund Yeo, Shamyl Othman, Amanda Nell , Tan Seng Kiat, Shobaan, Haran Kaveri, Quek Shio Chuan, Syafiq Yusof, Nadiah Hamzah, Zahir Omar, Emir Ezwan, Areel Abu Bakar, Kroll Azri, Kye Fariz, Feisal Aizuddin dan Imran Sheik; ada di antara mereka telah melihat jalan ke puncak, ada yang telah membuat denainya sendiri, atau ada yang sekadar cuba nasib masuk ke hutan ini. Tapi setakat ini, mereka datang dengan membawa harapan.
Saya percaya seperti hutan, sinema kita juga banyak hal yang masih belum diterokai. Maka saya rasa kita patut raikan sebarang usaha baru dalam meneroka hutan ini. Mereka yang membawa idea baru. Mereka yang ingin menanam benih untuk kebaikan masa depan. Mereka yang ingin meraikan hutan ini tanpa niat untuk menjarahnya. Mereka yang menunjukkan bahawa pentingnya hutan ini kepada kita. Mereka yang ingin membuktikan bahawa hutan ini wujud dan tak kalah dengan hutan benua lain. Serta mereka yang mengingatkan kita bahawa hutan tak perlukan kita, tapi kita perlukan hutan ini. Kita raikan.
***
Saya terinspirasi menulis ini setelah membaca esei-esei Wan Nor Azriq sepanjang PKP ini.

oleh Muzzamer Rahman 

Info: Muzzamer Rahman merupakan seorang penulis dan pembikin filem bebas, di mana filem pertama arahannya bertajuk 'Takut Ke Tak', sebuah kisah kisam seram thriller akan menemui penonton tempatan pertengahan tahun 2020. 

0 comments :