Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Khamis, 11 Jun 2020

DI SEBALIK CERITA: COMOLOT & PLU A STORY!. DESIRES HAS NO BOUNDARIES ?


13 tahun yang lepas iaitu pada tahun 2007, ketika saya menghasilkan filem pendek 'comolot', menampilkan Remy Ishak dan Ben Quariel ; saya dikecam dan dituduh cuba mengangkat kehidupan golongan LGBT ke satu tahap yang tinggi sehingga isu ini mendapat perhatian dan diperdepatkan di Parlimen. Waktu itu agak kontroversi malahan saya diminta untuk memohon maaf atas keterlanjuran yang telah berlaku. Padahal, mereka tidak melihat kenapa saya menghasilkan karya sedemikian walaupun ia sebuah cerita berdurasi 8 minit yang telah berjaya melonjakkan nama Remy Ishak sebagai pelakon filem yang cukup berpengaruh sehingga ke hari ini. 

Penghasilkan 'comolot' adalah kerana saya cukup mengkagumi karya Osman Ali menerusi filem eksperimental 'Bukak Api'. Dengan bantuan pelakon Mislina Mustaffa waktu itu, saya berjaya membawa Remy Ishak bagi menggantikan Arja Lee yang menarik diri pada saat akhir untuk memegang peranan sebagai lelaki homoseksual berpasangan dengan Ben Quariel dalam filem comolot. Penyertaan Remy Ishak adalah penampilan pertamanya dalam bidang lakonan sebelum ia dikenali hebat sebagai pelakon selepas itu. 'Comolot' mengisahkan kecurangan seorang lelaki bernama Danial yang menjalinkan hubungan songsang dengan Aiman, seorang lelaki ;  sedangkan pada masa yang sama Danial mahu menikahi Juwita, seorang wanita. Apakah pernikahan mereka berlaku atas dasar cinta atau keluarga?. Kenapa saya menggagalkan perkahwinan yang dirancang dengan memberi laluan kepada cinta sejenis Aiman dan Danial menerusi tagline 'desires has no boundaries?'. Tidak perlulah saya menghuraikan secara terperinci kenapa dan mengapa!. Cukuplah ia sebuah cerita yang telah berlaku dan mungkin menjadi pengajaran kepada kita agar bersikap jujur dengan apa yang terjadi, dan saya tidak sanggup membiarkan perkahwinan Juwita (lakonan Mia Sara) dengan seorang lelaki yang tidak jujur dengan kehidupannya. Adakah anda diluar sana jujur dengan apa yang anda lakukan dalam hidup ini?.




Berbalik kepada isu filem 'PLU A Story', saya melihat penerbitan naskhah ini adalah wajar; bukan menyokong tetapi sekadar berpandangan bahawa cerita sebegini bagaikan 'hot & crispy'. Shahrulezad seorang sutradara yang cukup di kagumi menerusi rantaian drama hitnya seperti 'Nur, Kerana Cintaku Saerah, Syurgamu Ramadan, Ramadan Yang Hilang', dan banyak lagi. Kemungkinan naskhah terbaharunya itu tidak digemari atau menganggu, tapi saya percaya 'PLU A Story' mempunyai kekuatan yang tersendiri sekiranya ia dihasilkan dengan penuh teliti, jujur dan tidak mengikut trend penerbitan menerusi medium digital yang semakin laris ketika ini. Jika kita lihat menerusi aspek penerbitan dan siaran secara digital, menerusi medium Netflix, Viu, Iflix dan sebagainya. Penontonan karya secara digital cukup digemari masyarakat moden walaupun penontonan secara wayang gambar di pawagam masih relevan, juga langganan di beberapa stesen televisyen berbayar masih lagi diakui sebagai platform  tontonan visual secara logik dan popular. Mungkin medium digital lebih bersifat terbuka bagi filem ini kerana penontonannya lebih besar walaupun jaringannya agak kompleks tapi menghiburkan!.

Keberanian seseorang pengkarya dalam menterjemahkan sesuatu naskhah bukan bermakna ia menyokong sentimen sesuatu isu yang terjadi, tetapi ia sebagai gambaran tentang kerakusan hidup kita sebagai manusia yang tidak pernah puas dalam membuat keputusan. Hubungan sejenis dalam kelompok masyarakat hari ini bukan lagi isu baharu malahan ia telah berakar umbi dalam institusi kekeluargaan walaupun golongan ini rata-ratanya sudah mendirikan rumah tangga, dan beranak pinak. Tetapi kenapa dan mengapa hal ini masih terjadi?. Kita tidak seharusnya menyalahkan sesebuah karya yang kita tonton sekiranya naskhah itu terlalu jujur dalam menyampaikan sesuatu. Cuma apa yang perlu kita tahu adalah 'apakah kita sudah cukup sempurna sebagai seorang manusia yang tidak pernah melakukan kesalahan mahupun kecurangan sesama pasangan kita walaupun kita menjeling memandang kesalahan orang lain sedangkan diri kita lebih teruk dari apa yang kita tonton'!.

Buka minda, tepuk dada tanya selera.

0 comments :