Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


BELAGU BUKTI KEMAMPUAN SENI DAYANG

Persembahan Dayang diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) membuktikan kemampuan Dayang membawakan seleksi lagu klasik melayu tampak elegan dan mewah.

NABIL AHMAD, DOUGLAS LIM, DR J.RAM TAMPIL DALAM FAMILY FUED MALAYSIA BERMULA 27 MAC INI

Alami pengalaman penontonan baharu melalui Family Feud Malaysia di Astro yang diadaptasikan dari sebuah program tv terkenal luar negara.

ASTRO RAIKAN RAMADAN DENGAN SAJIAN PELBAGAI RANCANGAN DAN PROGRAM MENARIK

Sempena bulan Ramadan penuh keberkatan, Astro tampil meraikan Ramadan dengan pelbagai karya tontonan khususnya buat pelanggan Astro.

ANTARA MITOS DAN FANTASI. HARUM MALAM SETARAF FILEM SERAM HOLLYWOOD?

Bukan sahaja sebagai sebuah karya seram tempatan yang berbeza, namun Harum Malam wajar diakui sebagai sebuah filem Malaysia bertaraf antarabangsa.

VIU DAN ASTRO JALIN KERJASAMA STRATEGIK?

Alami pengalaman penontonan baharu melalui kerjasama strategik antara viu dan ASTRO yang mampu membuka lebih luas pasaran dalam bidang penyiaran dengan pelbagai rancangan terbaik seluruh Asia.

Rabu, 8 Disember 2021

PENYERTAAN RASMI ANUGERAH AKADEMI OSCAR KE 94 / 94th ACADEMY AWARDS OSCAR BAGI KATEGORI FILEM BERBAHASA ASING TERBAIK / INTERNATIONAL FEATURE FILM

 

Jika Malaysia bergantung harap dengan Prebet Sapu ke Oscar, tetapi bagi Indonesia, Thailand, Jepun, dan Singapura pula, mereka menyasarkan karya sehebat Yuni, The Medium, Drive My Car dan Precious Is The Night pula akan mengharumkan negara ke Anugerah Akademi ke 94 yang bakal diadakan pada Mac 2022. Dalam satu kenyataan terbaharu yang dikeluarkan oleh The Academy Oscar, sebanyak 93 buah negara di dunia telah menghantar karya filem mereka ke festival ini. Namun, hanya karya yang layak dipertandingkan tersebut mestilah mematuhi syarat Oscar di mana filem tersebut telah ditayangkan. 

Menurutnya lagi, kebanyakkan filem yang dihantar menerusi kategori 'International Feature Film' atau 'Filem Berbahasa Asing Terbaik', antaranya merupakan filem-filem dari luar Amerika yang menggunakan 50% bukan berbahasa Inggeris. Pengumuman rasmi bagi 15 buah filem terpilih ini akan diumumkan pada Selasa, 21 Disember 2021. 

Malam anugerah Oscar ini akan diadakan pada Ahad, 27hb Mac 2022, di Dolby® Theatre at Hollywood & Highland® in Hollywood dan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran ABC dan rangkaian televisyen terpilih tempatan. 

Untuk Senarai Penuh Penyertaan Anugerah Akademi Oscar / 94th Academy Awards Oscar , sila klik di sini. 

Prebet Sapu / Hail, Driver! [Malaysia] Trailer

Yuni [Indonesia] Trailer

The Medium [Thailand] Trailer 

Drive My Car [Japan] Trailer

Precious Is The Night [Singapore] Trailer

Ahad, 5 Disember 2021

IBU BAPA DIBENARKAN MEMBAWA ANAK KE PAWAGAM BERMULA 4 DISEMBER 2021

 Sebelum ini, kanak-kanak di bawah umur tidak dibenarkan masuk, namun dalam kemaskini terkini MKN mengenai SOP Pawagam telah membenarkan kanak-kanak bawah umur 12 tahun masuk ke pawagam dengan syarat ibu bapa yang mengiringi mestilah telah menerima vaksin lengkap. Perkara ini turut dimaklumkan oleh pengusaha pawagam terkemuka tanah air, Golden Screen Cinemas (GSC) melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengurus Perhubungan Awam dan Jenama GSC, Sharmine Ishak. Menurutnya, "Selepas pengumuman prosedur operasi standard (SOP) dikuatkuasa, kami mula menerima kedatangan kanak-kanak bersama ibu bapa atau penjaga pada 4 Disember lalu. Dalam hal ini, GSC amat komited dengan kehadiran penonton terutamanya kanak-kanak, kerana panggung wayang adalah medium terbaik buat seisi keluarga untuk berhibur disamping mereka boleh menonton karya filem di layar besar antaranya Encanto, Ghostbusters: Afterlife, Spider-Man: No Way HomE, dan The Matrix Resurrection". 

Namun begitu, mereka harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tersebut dengan memakai pelitup muka dan sentiasa mengenakan cecair pensanitasi kuman / hand santizer. Terdahulu, sebagai sokongan terhadap SOP ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah menerbitkan video pesanan khidmat awam mengenai SOP Di Pawagam arahan Amy Ikram , di mana ia dibintangi oleh Erra Fazira, Bell Ngasri, D'Boy Hamdan, Joey Daud, Douglas Lim, Sangeeta, Haleeda Mazlin, Norlia Ghani, dan adik Nik Hadiff. 

Selain itu, makanan dan minuman juga khabarnya boleh dibeli di luar kaunter pawagam kerana sebelum ini hanya mereka yang membuat pembelian online sahaja dibenarkan. 


Di Pawagam

Sabtu, 4 Disember 2021

FILEM 'PREBET SAPU' WAKILI MALAYSIA DI ANUGERAH OSCARS KE 94!

'Prebet Sapu' arahan Muzammer Rahman, telah dipilih oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi (Oscars) ke-94 dijangka berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 27 Mac depan. Finas dalam kenyataan memaklumkan filem terbitan Le Mediator Studio, Kristal Azmir Sdn Bhd dan Konda Kondi Studio itu dihantar untuk bertanding bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik. Pemilihannya ke anugerah tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem Finas terdiri daripada para penggiat industri filem tempatan bertaraf profesional dan berpengalaman. 

Pemilihan ini dibuat secara terperinci berdasarkan kriteria perfileman seperti 'pengarahan, penceritaan, sinematografi, lakon layar, lakonan, adunan bunyi, skor muzik, penataan seni dan suntingan filem'. Fillem arahan sulung Muzammer menampilkan Amerul Affendi dan Mei Fen Lim sebagai teraju utama itu juga turut dibintangi oleh  Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Jay Iswazir, Anas Ridzuan, Roslan Madun dan ramai lagi. Dalam satu kenyataan, Finas berkata selain Oscars, filem yang dihasilkan dalam konsep hitam putih ini juga telah mewakili Malaysia ke pelbagai festival filem antarabangsa termasuklah Udine Far East Film Festival, Itali; Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF) Indonesia; Toronto Reel Asian Film Festival, Kanada; Asian Film Festival Barcelona; Sepanyol dan Innovative International Film Festival di India.

Prebet Sapu mengisahkan kehidupan anak muda yang mencari makan di Kuala Lumpur sebagai pemandu prebet sapu itu akan mula menjengah pawagam seluruh Malaysia bermula 16 Disember 2021. Muz Amer dalam satu temubual baru-baru ini berharap filem pertama arahannya itu dapat diterima penonton tempatan dan peminat filem tanah air. 
Prebet Sapu akan datang 16 Disember 2021


Jumaat, 3 Disember 2021

MALAM CITRA SINEMA PERTARUHKAN 28 KATEGORI FILEM TEMPATAN DI FFM31!

klik sini utk akses masuk ke laman rasmi FFM31

Walaupun tertangguh hampir setahun lamanya, Festival Filem Malaysia ke 31 (FFM31) akhirnya memilih 10 Disember 2021 sebagai Malam Kemuncak FFM31. Memilih tema 'Citra Sinema', FFM31 kali ini menawarkan Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000.00 berserta trofi bagi karya tempatan yang diangkat sebagai Filem Terbaik, namun ia perlu mematuhi garis panduan ditetapkan dalam tatacara permohonan DKD bagi sektor industri kreatif. Usaha baik ini dilakukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi meraikan sinema dalam mengiktiraf kecemerlangan karyawan industri perfileman tempatan. 

Sebanyak 28 kategori filem dipertandingkan iatu Filem Box Office, Skor Muzik Asal Terbaik, Poster Terbaik, Kesan Khas Visual Terbaik, Tatarias Terbaik, Rekaan Busana Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Anugerah Khas Juri 1, Anugerah Khas Juri 2, Anugerah Khas Juri 3, Lagu Tema Terbaik, Sinematografi Terbaik, Anugerah Khas Penggiat Belakang Tabir dan Penyunting Terbaik.  Kategori lain yang turut dipertandingkan juga adalah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Pelakon Harapan Wanita, Pelakon Harapan Lelaki, Anugerah Karyawan Sepanjang Zaman, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pengarah Harapan, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik. 

Antara filem tempatan yang dipertandingkan kali ini adalah Sangkar, Ratu Kala Jengking, Tiada Tajuk, Roh, Rock 4 - Rockers Never Dai, Pusaka, Geran, KL Vampires, Mimaland, Salina, Balapan Hidup Infeksi Zombie, Bulan dan Pria TerhebatAda Apa Dengan Dosa serta Ejen Ali dan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal

Pematuhan SOP yang amat ketat menjadikan Malam Kemuncak FFM31 dianjurkan dalam budaya norma baharu. Memilih Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai lokasi utama penganjuran, FFM31 bakal disiarkan di TV2 RTM bermula jam 9.00 malam dan menariknya acara karpet merah pula bakal dipancarkan secara digital menerusi platform sosial media Youtube FINAS Malaysia

Sebagai merancakkan lagi Festival Filem Malaysia ke 31 (FFM31) ini, beberapa pengisian program turut diadakan antaranya tayangan serta apresiasi filem di beberapa lokasi pawagam antaranya di TGV KLCC, Kuala Lumpur, GSC 1Borneo, Kota Kinabalu, Sabah dan GSC CityOne, Kuching, Sarawak. Selain itu, FINAS juga turut menyediakan program-program webinar dengan pengisian dan panel-panel yang hebat dari dalam dan luar negara beserta program Jelajah Sinema dengan calon-calon pemenang kategori FFM31 bagi mempromosikan FFM31,” ujar Zakaria Abdul Hamid, Pengerusi FINAS pada majlis sidang media FFM31 di Hotel Royal Chulan The Curve, pada 1 Disember 2021. 

Pengisian FFM31 bagi Tayangan dan Diskusi Filem-Filem Tempatan

Bermula 3 Dec - 9 Dec 2021






Khamis, 2 Disember 2021

FESTIVAL FILEM KOREA 2021 KEMBALI MEWARNAI GSC MID VALLEY, KUALA LUMPUR BERMULA 2 HINGGA 5 DISEMBER 2021.


Sempena meraikan karya sinema dari negara Korea, Kedutaan Republik Korea dengan bangganya mengumumkan Festival Filem Korea (KFF) 2021 yang akan dianjurkan mulai 2 hingga 5 Disember 2021 di GSC Mid Valley Megamall.  

Filem-filem yang dipersembahkan untuk edisi kali ini adalah merangkumi pelbagai genre serta mengetengahkan kepelbagaian budaya perfileman Korea. Apa yang membezakan festival kali ini berbanding sebelumnya adalah semua filem telah dipilih secara terperinci oleh Kedutaan Korea daripada beberapa genre. 'Minari, Seobok dan The Hypnosis' adalah tiga buah filem mewakili Korea yang ditayangkan di festival ini di GSC Mid Valley Megammall, Kuala Lumpur.


"Minari (2020)" yang telah memenangi salah sebuah kategori Academy Awards daripada enam pencalonan, April lalu. Filem bergenre drama ini telah menarik jutaan penonton di Korea berkisarkan kehidupan sebuah keluarga Korea-Amerika yang berpindah ke sebuah ladang di Arkansas dalam usaha mereka mengejar impian Amerika tersendiri. Kedatangan nenek mereka yang licik, bermulut lantang tetapi penyayang telah mengubah kediaman keluarga ini. Minari memperlihatkan keteguhan keluarga ini walaupun pelbagai drama dan cabaran harus diharungi dalam kehidupan serba baharu di kawasan pergunungan rendah ini.




Filem kedua bertajuk "Seobok (2021)" ialah filem yang menggabungkan genre aksi, sains fiksyen dan thriller. Ki Heon (Gong Yoo), bekas ejen perisikan yang sakit ditugaskan untuk mengangkut Seo Bok (Bo-gum), klon seorang manusia yang pertama. Disebabkan klon ini memiliki kunci kepada kehidupan abadi, semua orang mengejarnya untuk merebut kunci tersebut. Untuk mengelakkan mereka yang berniat jahat berjaya mendapatkan kunci tersebut, Ki Heon yang sedang bertarung nyawa dengan kesakitannya akan melakukan apa saja untuk melindungi klon tersebut. 

Filem terakhir iaitu "The Hypnosis (2021)" ialah filem bergenre seram dan thriller. Ianya mengisahkan tentang Do-hyun (David LEE), seorang pelajar jurusan Bahasa Inggeris yang menikmati kehidupan kolej. Pada satu hari, Profesor YEO (SEO Yi-sook) meminta Do-hyun untuk membantu seorang pelajar baharu berpindah yang sedang menjalani rawatan psikologi. Berikutan itu, Do-hyun menemui Profesor CHOI (SON Byung-ho) dan menjalani hipnosis. Selepas bangun daripada sesi hipnosis, Do-hyun mula didatangi bayangan memori yang tidak diketahui. Pada masa yang sama, rakan-rakannya juga mengalami beberapa peristiwa dan halusinasi yang pelik.

Penggemar filem boleh menonton ketiga-tiga filem ini di GSC Mid Valley mulai 2 hingga

5 Disember 2021.Selain Festival Filem Korea, Kedutaan juga menyediakan beberapa aktiviti tambahan yang merangkumi permainan tradisional Korea dan Malaysia kepada orang ramai, terutamanya kepada mereka yang datang menonton filem-filem KFF ini. 



Semua tayangan filem ini ditayangkan secara percuma dan terbuka kepada orang ramai. Untuk menebus tiket percuma beserta set bertih jagung dan minuman GSC secara percuma, sila ke kaunter e-bayaran GSC melalui aplikasi mudah alih atau laman web, atau ke e-kiosk GSC di GSC Mid Valley untuk memilih filem KFF pilihan anda. 

Penebusan bermula pada 29 November mulai jam 12 tengah hari dan ke atas dan ianya berdasarkan “siapa cepat, dia dapat” sehingga semua tiket habis ditebus. 

Untuk jadual dan butiran lengkap semua filem tersebut, sila log masuk ke www.facebook.com/koremy.eng dan www.gsc.com.my

Rabu, 1 Disember 2021

ALFIE PALERMO KETENGAHKAN KISAH 'FEMALE CON ARTIST' MENERUSI DUKUN DIVA AKAN DATANG 6 DISEMBER 2021 DI ASTRO CITRA!.

Astro terus konsisten dalam menampilkan drama-drama premium terbaik menerusi jenama Astro Originals dan lebih uniknya, penonton dapat menikmati konten yang berbeza dari sudut genre, olahan jalan cerita yang diinspirasikan dari pendedahan isu-isu sebenar yang sememangnya berlaku di Malaysia, dan yang paling utama, dibawakan kepada penonton dengan kualiti terhebat setanding naskhah filem-filem di layar perak. Bermula dengan kehadiran Kampong Pisang Bersiri-Siri, iaitu drama pertama daripada francais filem komedi nombor 1, Kampong Pisang; seterusnya Projek: Anchor SPM, drama bergenre ‘coming of age’ yang mendapat sambutan hangat dan dinobatkan anugerah Drama Bersiri Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2021; diikuti pula dengan I-Tanggang, drama pertama di Malaysia yang mengetengahkan isu realiti penderitaan mental Munchausen Syndrome by Proxy.

Jenama Astro Originals telah meletakkan satu tanda aras dan definisi baru bagi nilai kualiti drama tempatan dalam kalangan penonton. Demi memastikan penonton berterusan disajikan dengan kandungan yang berkualiti, jenama Astro Originals kini bakal mempersembahkan DUKUN DIVA, sebuah drama tempatan pertama yang mengangkat kisah ‘female con artist’ dan 'anti-heroes'.  Sekali lagi, rantaian siri di bawah jenama Astro Originals tampil dengan seribu kelainan apabila Dukun Diva ini hadir sarat dengan elemen drama, komedi, suspen, aksi dan penyiasatan. Ia bakal menemui penonton mulai 6 Disember, 2021 setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108. Antara kekuatan lain adalah apabila watak utama diterajui oleh golongan wanita yang berdepan dengan cabaran kehidupan, lebih-lebih lagi di bandar pada masa kini. Pelakon berbakat besar, Nadia Aqilah yang memang tidak disangkal lagi kekuatannya dalam bidang lakonan, membawakan watak Che Yah iaitu seorang artis ‘tak menjadi’ di era 90an, menggunakan bakatnya dengan menyamar menjadi dukun. Sementara itu, watak Lola digerakkan dengan baik oleh pelakon muda, Eyka Farhana, iaitu anak saudara kepada Che Yah yang bermasalah dan turut bersubahat menjadi dukun. Kedua-dua watak ini mencipta pelbagai kepercayaan dan pantang larang atas rujukan media sosial buat seorang jutawan kosmetik terkenal, Dato’ DD lakonan Emelda Rosemila. 

Selain itu, Dukun Diva turut menggabungkan barisan pelakon senior dan baru bagi mewarnai setiap karakter, seperti Tony Eusoff yang dilihat pertama kali membawa watak suami takut isteri serta ‘scammer’ dalam urusan jual beli tanah; kemudian pelakon baru berbakat besar Siti Khadijah Halim sebagai Baby Riena, Kahoe Hon sebagai Daniel, serta pelakon handal Adlin Aman Ramlie sebagai Dato’ Saddiq dan Aloy Paradoks sebagai Sarjan Anep yang merupakan kesinambungan watak daripada filem pecah panggung 2019, Pusaka. Drama premium bersiri ini turut dihiasi dengan penampilan istimewa, antaranya pelakon terkenal daripada pelbagai latar seperti Che Puan Juliana Evans, Douglas Lim, Aziz M Osman, Sanjana Suri, Anas Ridzuan, Mat London, Fadhli Masoot dan Dee Al Hadi. Dukun Diva telah mendapat sentuhan kreatif oleh pengarah muda yang namanya semakin meningkat naik dalam kalangan penonton sejak mengarahkan telemovie seperti Shiba Shiba Doo, Cerai dan Rompak Raya, Ariff Zulkarnain di mana hasil sentuhannya nampak segar dan berkualiti dari segi olahan penceritaan dan sebagainya. 

Sebelum ini Ariff merupakan Penolong Pengarah untuk filem Sangkar. Dukun Diva bukan sahaja menonjolkan kualiti produksi dan sinematografi memukau, tetapi turut dilengkapkan dengan jalan cerita yang segar. Drama siri 8 episod ini merupakan idea asal oleh pemenang anugerah Skrip Terbaik di Anugerah Internasional Motivational Film Festival Bridge of Arts (IMFF), Rusia pada tahun 2016 dan Lakon Layar Terbaik di Anugerah Lawak Warna 2015, Alfie Palermo.  

Dukun Diva memperlihatkan transformasi kandungan berkualiti filem berterusan di bawah jenama Astro Originals. Mewakili Astro, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Astro akan memperhebatkan lagi fokus ke arah kandungan berkualiti dengan menerokai pelbagai lagi konten segar yang menawarkan kelainan dan menarik untuk dipersembahkan kepada penonton Malaysia. Menjadi hasrat kami agar Astro Orginals akan terus memainkan peranan yang lebih besar menjangkaui nilai hiburan dan dilihat sebagai jenama yang dapat mempersembahkan kandungan setanding drama-drama premium luar negara. Dalam mengutamakan penonton Malaysia meliputi semua lapisan masyarakat, kali ini Dukun Diva lebih memfokuskan konteks “Malaysian', dari sudut skrip, jalan cerita, idea, pelakon, sinematografi agar drama ini dapat memenuhi selera semua penonton tidak mengira latar. Kami yakin jika karya tempatan berjaya diterima oleh segenap masyarakat, ia juga mampu mempelopori pasaran luar. Ini kerana kita sering dihidangkan dengan budaya luar menerusi drama mereka, dan sudah tiba masanya untuk drama kita pula mempamerkan budaya dan keistimewaan Malaysia serta mengikuti peredaran semasa dalam bentuk santai buat penonton dalam dan luar negara.” “Ini adalah julung kali Astro Originals mempertaruhkan bakat-bakat kreatif tanah air seperti Alfie Palermo, Pengarah Ariff Zulkarnain, serta pelakon-pelakon hebat, Nadiah Aqilah, Eyka Farhana, Emelda Rosemila, Adlin Aman Ramlie dan bakat baru Siti Khadijah Halim, Kahoe Hon. Uniknya, Dukun Diva meletakkan subjek 'anti-heroes' wanita yang mana ia jarang dipersembahkan dalam drama siri tempatan. Banyak mesej positif yang cuba disampaikan untuk tatapan penonton. Di samping itu, jenama Dukun Diva telah menarik perhatian produk tempatan untuk bekerjasama bagi menghasilkan produk eksklusif edisi Dukun Diva dari pengusaha lilin beraroma, Lampu Cherita, dan pembekal coklat tempatan jenama Love18C,”– tambah Raja Jastina Raja Arshad. 

Penerbit, Penulis Skrip & Cerita Asal Dukun Diva, Alfie Palermo berkongsi rasa teruja apabila karya Dukun Diva bersedia untuk menemui penonton Disember ini. “Masyarakat kita umumnya amat sinonim dengan perkataan ‘Dukun’. Ada segelintir pihak yang menyalahgunakan ilmu dukun tersebut. Menyedari hakikat itu, ia memberi inspirasi buat saya menghasilkan Dukun Diva; dua wanita yang mempunyai impian dan cita-cita, telah menjadi dukun palsu untuk menipu seorang jutawan kosmetik bersama keluarganya demi wang. Mungkin di luar negara banyak mengetengahkan subjek watak wanita sebagai ‘con artist’, tetapi ia tidak pernah lagi dihasilkan di Malaysia. Jadi, Dukun Diva membawa subjek tersebut serta mengetengahkan golongan wanita. Kami yakin dengan menggabungkan moden setting dan elemen lokal, ia mampu memberikan pengalaman baru kepada penonton dan memartabatkan warisan tempatan seperti baju tradisional kebaya, dukun ke serantau melalui drama kita.”


“Terima kasih kepada Astro kerana meletakkan kepercayaan kepada saya untuk mempersembahkan idea ini kepada penonton. Secara peribadi Dukun Diva cukup istimewa di hati saya. Che Yah sanggup mengetepikan impiannya untuk menjadi pelakon terkenal demi insan tersayang. Saya harap Dukun Diva mampu mengingatkan penonton bahawa kegembiraan tidak semestinya boleh dikecapi menerusi impian semata-mata, tetapi kehadiran insan yang kita sayang, terutamanya ‘keluarga’ adalah pelengkap kebahagiaan sebenar. Sementara itu, watak Lola di tonjol sebagai suka memberontak dan di label ‘pelik’. Memahami perasaan individu yang dianggap ‘berbeza’ ini, saya ingin sampaikan kepada mereka di luar sana bahawa mereka tidak keseorangan. Saya harap penonton terhibur dengan drama siri ini, seperti mana kami teruja menghasilkannya,”
jelas Alfie Palermo lagi. 

Dukun Diva mengisahkan tentang Rubiah Samsudin atau dengan gelaran popularnya Che Yah gagal menjadi pelakon terkenal dan kini bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam. Hakikat tersebut menyebabkan Che Yah sangat malu untuk pulang menemui keluarganya di kampung. Satu hari, Che Yah menerima panggilan daripada hospital memaklumkan kakaknya, Aishah sedang nazak. Di sini bermulanya perubahan dalam hidup Che Yah bila mengetahui dia bakal menjaga anak saudaranya, Lola seorang remaja yang bermasalah. Ketegangan mula berlaku di antara Che Yah dan Lola. Dalam pada masa yang sama mereka telah didatangi didatangi oleh Abang Long yang mengugut untuk membunuh Che Yah jika tidak membayar hutangnya. Mereka terpaksa mencari jalan bagi menyelesaikan hutang Che Yah serta menyelamatkan nyawa mereka. Lola mendapat idea. Jadi apakah yang mereka lakukan? ...‘They Put The Sham In Shaman’. 

Episod pertama Dukun Diva akan ditayangkan secara serentak di saluran Astro Citra dan Astro Ria pada jam 9.00mlm, 6 Disember ini. Manakala untuk minggu-minggu seterusnya, saksikan siri drama premium 8 episod ini setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, eksklusif di Astro Citra.

Untuk menonton trailer penuh Dukun Diva, sila klik di sini. 

DUKUN DIVA Official Trailer


Rabu, 1 September 2021

33 FILEM MELAYU KLASIK CATHAY - KERIS WARNAI ASTRO BERMULA SEPTEMBER 2021.


Astro bekerjasama dengan I.E. Entertainment yang berpengkalan di Singapura dalam membawakan 33 buah filem terbaik Melayu Klasik daripada penerbit filem-filem Melayu terkemuka era terdahulu iaitu, Cathay-Keris Films.

Filem-filem ini akan ditayangkan di Astro Citra dan Astro Prima serta platform penstriman OTT, Astro Go dan On Demand bermula September 2021. Selepas lebih sedekad, ini merupakan kali pertama karya-karya tersebut akan ditayangkan di Astro.


Menurut Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata, “Pihak kami rasa amat berbesar hati dan teruja dapat bekerjasama bersama Cathay-Keris Films menerusi syarikat pengedarnya di rantau Asia, I.E. Entertainment Pte. Ltd. dalam membawakan 33 filem melayu klasik terbaik untuk dipersembahkan kepada penonton Malaysia dan Brunei menerusi platform Astro. Menariknya, kesemua filem tersebut akan ditayangkan semula setelah lebih 10 tahun tidak dipertontonkan di mana-mana platform televisyen berbayar Malaysia. Kami percaya nilai hiburan di dalam 33 filem ini pasti akan mengubati rindu penonton dengan karya-karya yang pernah mengecapi kegemilangan suatu ketika dahulu serta dalam pada yang sama memperkenalkan kepada generasi baru kepada filem melayu klasik. Lebih istimewa, filemfilem ini juga adalah sebagai tanda penghargaan buat barisan penerbit serta produksi gergasi, dan nama-nama besar yang pernah mewarnai industri perfileman melayu seperti Nordin Ahmad, Latifah Omar, Hajah Umi Kalsom, Mat Sentul dan ramai lagi. Kami harap inisiatif ini mampu membuatkan karya-karya seni tempatan sentiasa dihargai dan tidak lapuk ditelan zaman.”



Indra Suharjono, Pengasas Bersama I.E. Entertainment berkata, "Saya rasa amat gembira dengan usaha Astro dalam mempersembahkan Filem Klasik Melayu di Malaysia dan Brunei menerusi platform Astro. Kami percaya Astro adalah rakan kerjasama terbaik dalam mengembalikan nostalgia filem klasik Melayu daripada arkib CathayKeris Films kepada penonton muda yang akan menontonnya buat pertama kali sekali gus melihat bagaimana pembikinan filem yang telah berkembang selama bertahun-tahun. Ini adalah cara yang baik untuk mengenali filem, era, dialek, trend fesyen, gaya, dan proses pembikinan karya Melayu."

Kesemua 33 buah filem tersebut adalah antara filem hebat yang pernah ditayangkan pada tahun 1950an sehingga 1960an. Antaranya adalah Pontianak Gua Musang, Sumpah Pontianak, Jula Juli Bintang Tiga, Tunang Pak Dukun, Dang Anom, dan Chuchu Datuk Merah yang menampilkan sentuhan gubahan muzik oleh komposer Singapura yang terkenal dengan menghasilkan lagu kebangsaan negara tersebut, Zubir Said.

Filem-filem ini juga mengangkat kisah dan jalan cerita yang amat dekat dengan masyarakat Melayu Malaysia dan Singapura seperti mengetengahkan tradisi dan muzik, serta mencerminkan nilai sosial ketika di era itu. Dengan mengembalikan filem-filem ini, sekali gus ia mampu mengekalkan nilai budaya dan seni masyarakat Melayu di rantau ini dan merangkumi warisan Malaysia dan Singapura.

Kerjasama dalam mendapatkan hak pelesenan eksklusif ini melibatkan pihak pengedar eksklusif Cathay Keris, I.E. Entertainment yang diterajui oleh pasangan adik beradik Indra Suharjono dan Erlina Suharjono yang berpengalaman luas dalam bidang media dan industri seni di peringkat Asia.



Antara 33 seleksi filem melayu klasik terbitan Cathay-Keris Films tersebut adalah :-

1958: Sumpah Pontianak, Selendang Delima, Satay
1959: Korban Fitnah, Jula Juli Bintang Tiga, Bawang Puteh Bawang Merah
1960 : Tunang Pak Dukun, Pak Pandir Modern, 
1961 : Jalak Lenteng, Lela Satria, Puteri Gunong Ledang, Siti Zubaidah, Sri Mersing, Sultan Mahmood Mangkat Di Julang, Yatim Mustapha
1962: Badang, Chelorong Cheloreng, Dang Anom, Jula Juli Bintang Tujuh, Laila Majnun
1963 : Chuchu Datuk Merah, Masok Angin Keluar Asap, Gila Talak
1964 : Ayer Mata Duyong, Pontianak Gua Musang
1965: Kaseh Ibu, Ikan Emas
1966 : Dua Kali Lima, Gurindam Jiwa
1967 : Dosa Wanita, Mat Bond
1969 : Keranda Berdarah
1971 : Mat Magic

Ahad, 23 Mei 2021

FRAGMEN: BUSANA KLASIK AIDILFITRI

Salikin Sidek antara figura tersohor dalam industri fesyen tempatan yang banyak menghasilkan rekaan tradisi khususnya bagi masyarakat melayu. Sempena Aidilfitri, saya berkesempatan menemubual Salikin menerusi slot Fragmen bagi produksi youtube Finas Malaysia. Dalam sesi rakaman yang berlangsung selama 5 jam itu, Salikin Sidek berkongsi sesuatu yang menarik mengenai 'kepentingan busana tradisi' yang lebih menjurus kepada rekaan, jahitan, dan jenis fabrik yang digunakan. Menurut Salikin, kualiti dari segi rekaan bukan sahaja dapat dilihat dari segi jenis fabrik yang digunapakai, tetapi ia bergantung kepada bagaimana sesuatu rekaan itu dijahit malahan kepuasan pelanggan adalah jaminan utama Salikin dalam memastikan setiap rekaan yang dihasilkan menepati citarasa malahan beliau antara pereka busana tersohor yang seringkali mendapat perhatian beberapa tetamu eksklusif dan selebriti tanah air. 

Jenama Salikin seringkali dikatakan agak mahal bagi sesetengah golongan, dan ada yang beranggapan hanya golongan ' have-have' sahaja boleh menggayakannya. Tetapi bagi saya, mahal atau murah bukan ukuran tetapi kualiti sesuatu pakaian haruslah dititiberatkan oleh setiap pereka. Sekiranya ia murah sekalipun tetapi ia tidak tahan lama, amat merugikan kita sebagai pembeli. Terpulang bagi kita sebagai pengguna samada mahukan yang mahal atau murah. Ia bergantung kepada nilai poket dan bajet yang dimiliki. Tepuk dada tanya selera.


Sebagai pereka busana, Salikin Sidek yang berkecimpung hampir 40 tahun dalam industri fesyen sejak 1982 boleh dianggap sebagai masterpiece dalam dunia fesyen tempatan, malahan setiap karya  dihasilkannya adalah legasi kepada masa depan yang mungkin akan menjadi karya agung sepanjang zaman. Walaupun kita mempunyai ramai pereka fesyen atau busana baharu, tetapi jenama Salikin Sidek adalah masih relevan kepada peminat fesyen tanah air.

oleh: Amy Ikram. 
amyikram.blog@gmail.com

Tonton Temubual Salikin Sidek
mengenai BUSANA KLASIK AIDILFITRI



Sabtu, 1 Mei 2021

OJA RAKAM 28 LAGU RAYA BARU ISI MASA TERLUANG PKP!


"Sesudah tamat rancangan Gegar Vaganza, saya terus kembali ke studio ; merakam kembali pelbagai kerja-kerja tertunggak dan juga kerja-kerja baru. Sudah lebih 10 tahun rutin saya siang malam dalam studio “ Ujar Oja atau nama sebenarnya Daninaz Huza Daud , 42 tahun memulakan bicara.

 Penyanyi yang memulakan kariernya seawal umur 10 tahun dan terbit dengan album pertama sejak tahun 1992 ini mengakui kerja-kerja studio adalah terapi jiwanya dan memang tidak boleh dipisahkan sama sekali , terutamanya instrumen gitarnya.     

 "Apabila menyedari PKP terus di sambung , tanpa berfikir panjang saya dan rakan-rakan terus mengumpul material lagu-lagu bersesuaian dengan tema raya , sedar- sedar 28 lagu baru terkumpul. Saya terus mulakan langkah menyusun, merakam , menyanyi hinggalah proses adunan , semuanya di lakukan secara kendiri di studio kami Tunable Record yang terletak di Danau Kota’ Ujar beliau lagi menceritakan kronologi penghasilan album ini yang turut mendapat sentuhan komposer lain seperti Norule, Amad, Am, Ismazarra dan lain-lain teman terdekat.



" Kini terbitlah secara rasmi album " Oja Nostalgia Raya 2021 " dengan 28 track lagu baru serta album bonus Mesra Raya yang diterbitkan oleh Tunable Record pada tahun 2017 yang menampilkan 13 lagu , maknanya semuanya ada 41 lagu raya yang dijual dalam format peranti Thumbdrive istimewa yang dikeluarkan dalam kuantiti terhad 500 salinan dengan harga  paling ekonomi iaitu hanya RM 50 ringgit sahaja"

Ketika ditanya mengapa lagu-lagu raya di fokuskan,  beliau menyatakan raya merupakan diantara anugerah terindah yang harus diraikan semua orang dan ianya pasti mengembirakan. " Dikala kanak-kanak,  saban tahun kita menanti raya dan pastinya pengisian aktiviti sepanjang raya amat-amat menyenangkan. Ianya nostalgia yang harus di kenang biarpun tahun ini kita beraya dengan serba sederhana akibat kekangan PKP. Album ini diterbitkan dalam pelbagai genre , banyak juga lagu-lagu rancak berentak asli dan moden, jadi tidaklah sedih sangat. “ ujarnya tertawa.

Menurut penerbit album ini , Saudara Norule, album ini juga akan diunjurkan kepada pihak The Malaysia Book of Records dalam masa terdekat bagi pengiktirafan penghasilan “Lagu Raya Baru Terbanyak”  yang dirakam dalam satu album yang dinyanyikan oleh seorang penyanyi  atau apa-apa kategori bersesuaian sebagai kenangan kerja keras kami selama 6 minggu menyiapkan album ini.


“Kami juga baru menyiapkan muzik video pertama untuk album ini bagi lagu “ Oja Nostalgia Raya "(https://www.youtube.com/watch?v=NTvcvjLfHoQ&t=5s ) pada 27 hb April yang menampilkan suasana beraya di kampung. Tahun ni tak boleh balik kampung, jadi ini cara kami berimaginasi untuk terus mengembirakan para peminat dan diri kami sendiri.  

Jadi apa lagi, bagi yang ingin mendapatkan Album Kad Thumbdrive Terhad bertandatangan  “Oja Nostalgia Raya” yang menampilkan 28 lagu + ( tambahan Bonus 13 Lagu )  dengan harga ekonomi RM 50,  boleh menghubungi laman Facebook tunablerecord atau hubungi 0194144188 ( Norule Fikri ). Ianya himpunan lagu-lagu raya yang bakal menceriakan anda semua.