Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


BELAGU BUKTI KEMAMPUAN SENI DAYANG

Persembahan Dayang diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) membuktikan kemampuan Dayang membawakan seleksi lagu klasik melayu tampak elegan dan mewah.

NABIL AHMAD, DOUGLAS LIM, DR J.RAM TAMPIL DALAM FAMILY FUED MALAYSIA BERMULA 27 MAC INI

Alami pengalaman penontonan baharu melalui Family Feud Malaysia di Astro yang diadaptasikan dari sebuah program tv terkenal luar negara.

ASTRO RAIKAN RAMADAN DENGAN SAJIAN PELBAGAI RANCANGAN DAN PROGRAM MENARIK

Sempena bulan Ramadan penuh keberkatan, Astro tampil meraikan Ramadan dengan pelbagai karya tontonan khususnya buat pelanggan Astro.

ANTARA MITOS DAN FANTASI. HARUM MALAM SETARAF FILEM SERAM HOLLYWOOD?

Bukan sahaja sebagai sebuah karya seram tempatan yang berbeza, namun Harum Malam wajar diakui sebagai sebuah filem Malaysia bertaraf antarabangsa.

VIU DAN ASTRO JALIN KERJASAMA STRATEGIK?

Alami pengalaman penontonan baharu melalui kerjasama strategik antara viu dan ASTRO yang mampu membuka lebih luas pasaran dalam bidang penyiaran dengan pelbagai rancangan terbaik seluruh Asia.

Isnin, 14 November 2022

IMBAS KEMBALI FFM: PESTA FILEM MALAYSIA KE-7 (1987)

Memenangi lapan anugerah di FFM7 termasuk Filem Terbaik, 'Rahsia' arahan Othman Hafsham mengungguli carta teratas di Pesta Filem Malaysia ke-7. Filem yang menampilkan Noor Kumalasari dan Shukery Hashim sebagai teraju utama itu dilihat memberi saingan buat 'Mawar Merah', arahan Rosnani Jamil yang berjaya memenangi tiga anugerah di FFM7 antaranya Pelakon Lelaki Terbaik (Mustaffa Noor), Lakon Layar Terbaik (Rosnani Jamil), dan Cerita Terbaik (Husni Latiff).

Di festival ini, Fauziah Ahmad Daud sekali lagi diangkat selakon Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Puteri arahan Rahim Razali, setelah berjaya memperoleh anugerah yang sama buat pertama kali pada tahun 1986 di FFM6. Ini menjadikan kali kedua, beliau menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam sejarah penganjuran FFM buat kali yang ke-7. 

Imbas Kembali Pesta Filem Malaysia ke-7. FFM7 telah diadakan pada 6 Disember 1987 di Hotel Ramada Renaissance, Melaka. 


IMBAS KEMBALI FESTIVAL FILEM MALAYSIA: PESTA FILEM MALAYSIA KE-7

Pengarah Terbaik
Othman Hafsham (Rahsia)

Filem Terbaik
Rahsia (Cinematic)

Pelakon Lelaki Terbaik 
Mustaffa Noor (Mawar Merah)

Pelakon Wanita Terbaik
Fauziah Ahmad Daud (Puteri)

Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik 
Ahmad Tamimi Siregar (Puteri)

Pelakon Wanita Pembantu Terbaik
Erma Fatima (Puteri)

Lakon Layar Terbaik
Rosnani Jamil (Mawar Merah)

Penulis Cerita Terbaik
Husni Latiff (Mawar Merah)

Jurugambar Terbaik
Zainal Othman (Rahsia)

Penyunting Terbaik
Elias Maidin (Rahsia)

Muzik Terbaik
Adnan Abu Hassan
Susan Goh 
(Rahsia)

Penataan Bunyi/Suara Terbaik
Zebereen Kemal (Rahsia)
Kamal Mustaffa (Rahsia)

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
Fazriddeen Fadzil (Rahsia)


Pelakon Komedi Terbaik
Yusof Hamid / Os (Mr Os)

Bintang Harapan Lelaki
Sabri Fadzil (Sayang)

Bintang Harapan Wanita
Raja Ema (Mawar Merah)

Anugerah Juri
Rahim Razali kerana Pengiktirafan Khas (Puteri)
Wira Angkasa kerana subjek Khusus
Bayangan Cinta Kerana Usahasama
Ali Setan Kerana Pencapaian Box Office

Anugerah Khas Juri
S.Kadarisman
Kasmah Booty

Kritikan Filem Terbaik
Nazeri Nong Samah
"Sehebat Mana Pencintaan Ogy dan Eman Manan Dalam Puteri"
(Puteri)

Khamis, 10 November 2022

FARID KAMIL DAN ACHA SEPTRIASA MEMBINTANGI FILEM KISAH ANWAR IBRAHIM?

Ketika Malaysia berdepan dengan gelombang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebuah filem yang memperkatakan mengenai susuk pesona tokoh politik terkenal, Datuk Seri Dr. Anwar Ibrahim dan isterinya Dato' Seri Dr Wan Azizah menjadi perbualan segelintir warganet dan peminat filem. Pelakon berkaliber dari Malaysia, Farid Kamil dan Bintang terkenal Indonesia, Acha Septriasa diberi kepercayaan bagi menggalas peranan utama dengan memegang watak penting kedua-dua tokoh negara itu.

Farid Kamil yang memegang peranan sebagai Anwar Ibrahim dan Acha Septriasa sebagai Wan Azizah itu adalah untuk filem bertajuk 'Anwar'. Filem terbitan produksi seberang dari Indonesia itu merupakan karya filem arahan pengarah terkenal Indonesia, Viva Westi. 'Anwar', yang mengisahkan perjuangan Anwar di tahun-tahun terakhir sebelum dipecat dari kerajaan itu juga turut menampilkan Hasnul Rahmat (sebagai Mahathir Mohamad), Piet Pagau dan Dewi Irawan. 

Ketika bercakap dalam satu kenyataan, pelakon Farid Kamil, 41, berkata dia menerima watak itu atas permintaan ibunya sendiri, setelah diberikan skrip kepada ibunya untuk dibaca. ''Memang, ibu saya adalah orang pertama yang membaca naskah skrip Anwar ini, dan atas inisiatif bagi menghargai pengorbanan Datuk Seri Dr. Anwar dan membantu beliau, saya galas peranan ini dengan hati terbuka. Namun tetap juga gementar memandangkan tokoh yang digambarkan dalam filem ini orangnya masih hidup", ujar Farid optimis mengatakan 'Anwar' adalah projek filem terbaik dari Indonesia, memandangkan Viva Westi adalah pengarah hebat dari negara jiran itu yang banyak memenangi anugerah perfileman di Indonesia. Bagi menghidupkan watak itu, Farid menjelaskan dia ada berjumpa dengan Datuk Seri Dr. Anwar Ibrahim bagi melihat sendiri personaliti Anwar Ibrahim secara dekat supaya watak yang dibawanya berjaya direalisasikan. 

Acha yang memegang watak sebagai isteri Anwar, Dato' Seri Dr Wan Azizah itu, teruja ketika namanya diumumkan sebagai pelakon utama, namun berharap peminat filem dapat menerima naskhah ini kerana ia menyelitkan elemen kasih sayang antara dua figura hebat itu. "Anwar dan Azizah adalah pasangan yang secocok, namun kasih sayang antara mereka sebagai suami isteri memberikan isnpirasi buat kita", ujar Acha yang pernah membintangi filem Heart, Kartini, Aku Cinta Kamu dan banyak lagi. 

Diterbitkan oleh produksi Bianglala Entertainment, 'Anwar', sebuah filem Indonesia arahan Viva Westi yang kini dalam proses akhir penggambaran. 

Rabu, 9 November 2022

TIKET KONSERT NEW BOYZ SEJARAH MUNGKIN BERULANG LARIS TERJUAL?

Pernah mencipta fenomena luar biasa pada awal kemunculannya pada tahun 1998, sehingga mencipta rekod  jualan album melebihi 100 ribu unit, kumpulan muzik New Boyz pernah menggegarkan industri muzik suatu ketika dahulu. Dikenali menerusi lagu 'Sejarah Mungkin Berulang, Meraung, Norkia, Hanya Tinggal Sejarah' dan banyak lagi, kumpulan yang dianggotai 6 orang anak muda itu terdiri daripada Tomok, Jay, Zimi, Syuk, Along, Yazid' dan kemasukan Zack, Rizz, dan Ristoe kemudiannya berjaya meletakkan New Boyz sebagai sebuah kumpulan muzik remaja yang popular ketika itu.

Sebagai menghargai peminat yang selama ini setia dengan mereka, Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 38,  dalam satu kenyataan mengumumkan penganjuran 'Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang' akan diadakan pada 10 dan 11 Februari 2023. Memilih lokasi di Theatre PJ Pac, Bandar Utama, Selangor konsert yang julung kali itu bakal menyaksikan Tomok dan New Boyz bakal beraksi setelah hampir 20 tahun tidak muncul di pentas persembahan.

Tomok yang merupakan Bintang Gegar Vaganza Musim ke-9 itu turut teruja menantikan konsert yang bakal mereka persembahkan itu. Walaupun baru beberapa jam mengumumkan konsert tersebut, penjualan tiket secara dalam talian yang bermula Isnin lepas terjual hampir 1,500 unit dan penambahan hari seperti yang dimohon oleh segelintir peminat akan dipertimbangkan. 

Walaupun sedikit bimbang akan penganjuran konsert itu, namun Tomok optimis mengatakan mereka telah membuat persiapan rapi walaupun detik konsert berbaki lagi dua bulan. Namun, bagi mereka yang rindukan saat-saat dan detik era tahun 1990-an hingga 2000 menerusi lagu-lagu tangkap leleh nyanyian New Boyz, mungkin tidak sabar untuk menyaksikan persembahan eksklusif mereka ini. Menghasilkan 6 buah album studio antaranya, Sejarah Mungkin Berulang (1999), Akur (2000), Wirama (2001), Inspirasi (2002), Bermulanya Satu Evolusi (2005), dan Semula Padaku (2007), New Boyz antara kumpulan muzik di Malaysia yang pernah dibenci gara-gara vokalisnya Tomok yang pernah digilai peminat remaja wanita setiap kali membuat persembahan. 

Konsert New Boyz Sejarah Mungkin Berulang yang bakal berlangsung pada Februari 2023 nanti adalah persembahan pembukaan New Boyz dalam kalendar seni mereka menjelang abad ke-23. 

Selasa, 8 November 2022

ANIMASI TEMPATAN MECHAMATO ANTARA 100 KARYA ANIME TERBAIK DUNIA.

Siri animasi 3D 'Mechamato' yang diterbitkan studio animasi tempatan Monsta, diundi pada kedudukan ke-11 dalam kalangan 100 karya anime terbaik untuk Festival Anugerah Anime Tokyo 2023. Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Razak berkata beliau terkejut dengan berita itu kerana siri berkenaan hanya dimasukkan dalam undian beberapa hari lalu.  

"Memasuki pasaran adalah satu perkara, tetapi untuk berada dalam 10 terbaik di negara seperti Jepun dan menjadi sohor kini ia sangat hebat. Pencapaian ini menunjukkan bakat kami di sini mempunyai potensi untuk memasuki pasaran global," katanya pada pelancaran rasmi poster dan treler 'Mechamato Movie' hari ini. Siri animasi itu disiarkan di 65 negara dan filemnya 'Mechamato Movie' akan ditayangkan di pawagam tempatan pada 8 Disember ini.

Ia mengisahkan seorang budak lelaki bernama Amato dan rakan robotnya Mechabot, paparan asal siri ini, iaitu ketika Amato kali pertama bertemu Mechabot yang terhempas di bumi bersama robot jahat lain.

Isnin, 7 November 2022

IMBAS KEMBALI FFM: PESTA FILEM MALAYSIA KE-6 (1986)

Dianjurkan buat pertama kalinya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Pesta Filem Malaysia ke-6 (PFM6, 1986) berjaya mengangkat Azmil Mustapha sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Fauziah Ahmad Daud sebagai Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Ali Setan. Filem ke-7 arahan Jins Shamsuddin ini berjaya memenangi empat anugerah di PFM6, antaranya Pelakon Lelaki Terbaik (Azmil Mustapha), Pelakon Wanita Terbaik (Fauziah Ahmad Daud), Penyunting Filem Terbaik (Johari Ibrahim) dan Muzik Terbaik (Adnan Abu Hassan). Rahim Razali yang muncul dengan filem Tsu Feh Sofiaj pada tahun 1981 berjaya memenangi Skrip Terbaik dan Pengarah Terbaik sekaligus filem ini diangkat sebagai Filem Terbaik dan Jurukamera Terbaik (Nuri Harmaini)di Pesta Filem Malaysia ke-6 (PFM6, 1986).

PFM6 yang diadakan pada 14 Disember 1986 juga menyenaraikan karya seperti Jasmin 2, Hantu Siang, dan Roda-Roda dalam Top 5 PFM6, 1986 bersama-sama karya Tsu Feh Sofiah dan Ali Setan. Di pesta filem ini, Datuk Mahmud Jun dan Seniwati Normadiah memenangi Pelakon Veteran Lelaki dan Pelakon Veteran Wanita. 

Imbas Kembali Pesta Filem Malaysia ke-6, PFM6 telah diadakan pada 14 Disember 1986 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. 


IMBAS KEMBALI FESTIVAL FILEM MALAYSIA : PESTA FILEM MALAYSIA KE-6


Pengarah Terbaik
Rahim Razali (Tsu Feh Sofiah)

Filem Terbaik
Tsu Feh Sofiah (Angkatan Seniman Abad XX Sdn Bhd)


Pelakon Lelaki Terbaik
Azmil Mustapha (Ali Setan)

Pelakon Wanita Terbaik
Fauziah Ahmad Daud (Ali Setan)

Jurukamera Terbaik
Nuri Harmaini (Tsu Feh Sofiah)

Penyunting Terbaik 
Johari Ibrahim (Tsu Feh Sofiah)

Lakon Layar Terbaik
Kamarul Ariffin (Jasmin 2)

Skrip Terbaik
Rahim Razali (Tsu Feh Sofiah)

Pelakon Wanita Pembantu Terbaik
Ummiyah Haji Umar (Jasmin 2)

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
Mohd Hazliluddin (Roda-Roda)

Pengarah Seni Terbaik
A.Ainul (Jasmin 2)

Muzik Terbaik
Adnan Abu Hassan (Ali Setan)

Pengadun Bunyi Terbaik 
Peter Lim / Zulkifli Salleh (Jasmin 2)

Pelakon Veteran Lelaki
Mahmud Jun

Pelakon Veteran Wanita
Normadiah

Pengkritik Filem Terbaik
Ku Seman Ku Hussein

Anugerah Jemaah Panel Juri (Media Cipta)
Pyan Habib (Tsu Feh Sofiah)
Haji Arshad (Tsu Feh Sofiah)
Hantu Siang (Filem Komedi)

Lagu Terbaik
Ali Setan (Lagu Debu Di Hati)

Anugerah P.Ramlee
Jins Shamsudin

Ahad, 6 November 2022

FESTIVAL FILEM AMERIKA LATIN YANG KE-20 TEMUI PEMINAT FILEM TANAH AIR.

Festival Filem Amerika Latin (LAFF) yang dinanti-nantikan akan memulakan tayangannya bulan ini dengan tujuh filem Amerika Latin dan Caribbean. Filem-filem itu akan ditayangkan di Golden Screen Cinemas (GSC) One Utama dari 17-20 Nov dan GSC Gurney Plaza Pulau Pinang dari 24-27 Nov. Festival filem edisi ke-20 itu bertujuan memaparkan warisan budaya negara Amerika Latin dan Caribbean yang kaya, sambil mengetengahkan industri kreatif yang terbaik sekali gus menjangkau khalayak yang lebih luas di Malaysia.

“Kami berbesar hati untuk membuka tirai festival itu dengan filem Argentina ‘The Weasels’ Tale’ karya pengarah filem yang memenangi Oscar Juan Jose Campanella. "Selain itu, kami juga gembira dapat menunjukkan kepada masyarakat Malaysia mengenai kualiti filem kami serta nuansa budaya kami yang kaya,” kata Duta Argentina ke Malaysia dan Dekan Kedutaan Amerika Latin dan Caribbean di Malaysia Manuel Balaguer Salas dalam satu kenyataan. Beliau berkata pemilihan filem untuk festival filem tahun ini membuktikan bahawa bakat, kreativiti dan semangat merupakan bahan terbaik untuk menghasilkan filem yang hebat.

LAFF edisi ke-20 di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang meliputi filem komedi sehinggalah thriller dan animasi mesra keluarga yang memberi peluang kepada penonton untuk menikmati gambaran budaya, aspek sosial dan bahasa yang berbeza di negara Amerika Latin dan Caribbean. Festival ini dianjurkan Kedutaan Argentina, Brazil, Chile, Colombia, Cuba, Mexico dan Peru ke Malaysia. Kesemua filem itu ditayangkan secara percuma dan mematuhi peraturan SOP ditetapkan Kerajaan Malaysia.

Bagi GSC 1 Utama, tiket percuma boleh diambil sejam sebelum waktu tayangan manakala sistem e-tiket akan digunakan untuk tayangan di GSC Gurney Plaza Pulau Pinang. Jadual tayangan, sinopsis dan butiran lanjut boleh didapati di www.gsc.com.my dan www.facebook.com/LatinAmericanFilmFestivalInMalaysia.

- Bernama

Sabtu, 5 November 2022

MALAM KEMUNCAK ANUGERAH SERI ANGKASA 2022, BERI PENGHORMATAN TERTINGGI BUAT SENIWATI LEGENDA HAJAH FAUZIAH NAWI

Ketika dimaklumkan penganjur, Fauziah Nawi akan dinobatkan Anugerah Seri Angkasa 2022 bagi kategori Khas Juri - Anugerah Tokoh Seri Angkasa, 7 hari sebelum Malam Kemuncak, saya tidak terkejut kerana beliau sememangnya seorang anak seni yang cukup layak diberikan penghargaan sebegitu. Bagi menimbulkan bibit-bibit kenangan yang romantis, saya ditugaskan untuk menyiapkan video khas berdurasi 2 minit untuk ditayangkan pada Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022.

Peranan digalas dengan menghubungi Datuk Ahmad Tamimi Siregar untuk rakaman suara latar. Ketika itu beliau berada nun jauh dari kesibukan kota, luar KL atas urusan penggambaran filem arahannya . Namun atas tanggung jawab yang cukup jitu, beliau bersetuju untuk terlibat dalam projek ini dengan membuat rakaman suara latar secara mobile. Namun sesi temubual dengan Seniwati Tersohor Fauziah Dato' Ahmad Daud, Pengarah filem dan drama terkenal, Rashid Sibir, Penerbit sensasi penuh kontroversi Haji Md Fadzil Teh, dan pelakon berkaliber, Syafie Naswip berjaya dilakukan di Studio Digital Mixstage, Finas Hulu Kelang. Semuanya berjalan dengan lancar walaupun sedikit berdebar jika video ini tidak diterima, tapi Alhamdulillah, berjaya ditayangkan pada malam kemuncak tersebut.

Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 yang diumumkan pada Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 pada 30 Oktober lalu merupakan momen indah buat seniwati legenda, Hajah Fauziah Nawi. Berbekalkan pengalaman hampir 5 dekad di dalam industri penyiaran tanah air, figura tersohor yang telah menyentuh hati jutaan penonton dan peminat filem menerusi ratusan karya termasuk drama itu telah menerima wang tunai RM10,000 serta sebuah kereta. Pemberian hadiah khas ini adalah sebagai menghargai sumbangan beliau dalam industri seni tanah air hampir 50 tahun, di mana ia disampaikan oleh Tan Seri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama dua hari itu menyaksikan kegemilangan pelbagai kategori dalam anugerah yang dipertandingkan. Anugerah Seri Angkasa ini adalah rentetan dari nama asalnya, Anugerah RTM yang dicetuskan Kementerian Penerangan pada tahun 1972 yang memberi pengiktirafan kepada penggiat industri radio dan televisyen terbitan RTM, namun pada tahun 2004, penyertaan dibuka untuk semua stesen televisyen swasta seperti Astro,  Media Prima dan sebagainya.


Tonton perkongsian pengarah drama dan filem terkenal Rashid Sibir, primadona filem terkenal Fauziah Dato'  Ahmad Daud, penerbit sensasi Hj Md Fadzil Teh dan pelakon berkaliber Syafie Naswip mengenai figura hebat Fauziah Nawi


Senarai Pemenang Anugerah Seri Angkasa 2022


Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 - Hajah Fauziah Nawi
Anugerah Khas Juri - Halaqah (episod 7) : Bencana Muahasabahkah kita? 

Ketegori TV
  • Drama TV Terbaik - Pencipta Pegang Waktu (TV3)
  • Drama Bersiri TV Terbaik – Dukun Diva (Astro Citra) 
  • Pengarah Drama TV Terbaik - Zainorhisyam Samudin (Pencipta Pegang Waktu) (TV3)
  • Skrip Drama Radio Terbaik - Syikin Zauzi (Akhirnya Bahagia Meluruh) (NASIONALfm)
  • Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik - Eman Manan (Satu Kampung Dua Orang) (Astro Citra)
  • Pelakon Wanita Drama TV Terbaik - Khatijah Tan (Rabak) (TV3)
  • Pelakon Pembantu Lelaki TV Terbaik – Hilal Azman (Amanat) (TV3)
  • Pelakon Pembantu Wanita TV Terbaik – Nabila Huda (Jeti) (TV3)
  • Pelakon Kanak-Kanak TV Terbaik – Phua Chandler (Howdy My Friends) (Astro Xiao Tai Yang)
  • Pelakon Komedi TV Terbaik – Noorkhiriah (Madu) (TV Okey) 
  • Dokumentari TV Terbaik - Social Playlist (Astro AEC)
  • Majalah TV Terbaik - Majalah 3 (Predator Darat) (TV3)
  • Bicarawara TV Terbaik – Lambaian Tidak Kesampaian (TV3)
  • Hiburan Muzikal TV Terbaik - Gegar Vaganza 7 (Astro Ria)
  • Komedi TV Terbaik - Sepahtu Reunion Live 2020 (Astro Warna)
  • Rancangan Agama TV Terbaik – Al Qariah (TV Al Hijrah) 
  • Rancangan Sukan TV Terbaik – Aksi (Episod 1) (TV1) 
  • Rancangan Kanak-Kanak TV Terbaik – Ustaz Kartun Dan Robojim (TV Al-Hijrah)
  • Animasi Tempatan TV Terbaik – The Five Elves: A New World (Astro Xiao Tai Yang)
  • Candawara (Gameshow) TV Terbaik – Panggung Memori (Astro Warna) 
  • Rancangan Realiti TV Terbaik – Hijrahkan Laguku (TV Al Hijrah)
  • Promo TV Terbaik – Lagu Cinta Kita 3 (TV3)
  • Pesanan Khidmat Awam (PSA) & Kapsul TV Terbaik - PSA Pencegahan Bunuh Diri (Berita RTM)
  • Montaj TV Terbaik – Fatkhul Aarif Hilaluddin (Berita Perdana) (RTM) 
  • Pengacara TV Terbaik - Fedtri Yahya (Jejak Rasul) (TV3)
  • Pengulas TV Terbaik – Rasdi Jumaat  (Laporan Harian Sukan Olimpik Tokyo 2020) (TV Okey)
  • Buletin TV Terbaik - Berita Perdana Edisi Khas Belanjawan 2021 (Yunus Mohd Noor) (Berita RTM)
  • Liputan Berita TV Terbaik – Faris Izzat Shahrudin & Andy Reza Rohadian (RTM) 
  • Laporan Khas Berita TV Terbaik – Kajang Bypas: Lebih Raya Atau Pusara (Mohammad Hilmi Hj. Ab Malik) (Astro Awani) 
  • Penyampai Berita TV Terbaik - Norliza Mohd Zain (Buletin Utama TV3)
  • Wartawan TV Terbaik - Mas Zharif Zhafri Abdul Azid (ICU Seluruh Negara Melebihi Kapasiti) (TV9)
  • Suntingan Rancangan TV Terbaik - Izhar Masuri (Capa Rengat Gulai Rawo) (TV1 RTM)
  • Penataan Cahaya TV Terbaik - Junaimeramfizal Rahmat (Berdua) (TV1)
  • Audio Rancangan TV Terbaik - Anugerah Meletop ERA 2020 (Astro Ria)
  • Pengimbangan Muzik TV Terbaik - Mohd Hawary Hanapiah (Berdua) (TV1)
  • Set TV Terbaik – Mohamad Izwan Munshid (Halaqah 2020) (TV3)
  • Tatarias TV Terbaik – Azri Haji Seman (Yang tersembunyi) (TV Okey)
  • Grafik TV Terbaik – Muhammad Aqil Aiman (Imbauan 2020) (TV9)
  • Kesan Khas TV Terbaik – Tuan Nazraififie Abdul Rahman (Halaqah 2021) (TV3) 

Kategori Radio
  • Drama Radio Terbaik - Anugerah Terindah (Salam FM)
  • Skrip Drama Radio Terbaik - Syikin Zauzi (Akhirnya Bahagia Meluruh) (NASIONALfm)
  • Pelakon Lelaki Drama Radio Terbaik - Beto Kusyairy (Anugerah Terindah) (Salam FM)
  • Pelakon Wanita Drama Radio Terbaik - Lisdawati (Akhirnya Bahagia Meluruh) (NASIONALfm)
  • Pelakon Pembantu Lelaki Radio Terbaik - SoFi Jikan (Nasional FM)
  • Pelakon Pembantu Wanita Drama Radio Terbaik – Kuna Muzani (Drama Prihatin Tandanya Sayang) (Selangor FM) 
  • Majalah Radio Terbaik – Untukmu Malaysia (Nasional FM)
  • Dokumentari Radio Terbaik – Cabaran Pendidikan Norma Baharu (Nasional FM) 
  • Bicarawara Radio Terbaik – Mukjizat Terangung (Salam FM) 
  • Hiburan Radio Terbaik - Raya Extravaganza (TRAXXfm)
  • Rancangan Interaktif Radio Terbaik – Dondang Sayang Warisan (Melaka FM)
  • Rancangan Agama Radio Terbaik – Tanyalah Ustaz Suffan (Sandakan FM)
  • Pesanan Khidmat Awam (PSA) & Kapsul Radio Terbaik - Sketsa Banjir dan Pindah (SABAHfm)
  • Promo Radio Terbaik – Promo Pentas (Best FM)
  • Penyampai Radio Lelaki Terbaik - Mohd Azlan Omar (Ruangan Pilihan Pendengar: Mestika Klasik) (Radio Klasik)
  • Penyampai Radio Wanita Terbaik - Azlina Kamarudin (Getaran Pagi) (NEGERIfm)
  • Pengulas Radio Terbaik – Rosdi Omar (Nasional FM) 
  • Penyampai Berita Radio Terbaik – Tan Xin Rui (988) 
  • Buletin Radio Terbaik – Utama Waktu Ini (Bernama Radio) 
  • Liputan Berita Radio Terbaik – Lintas Langsung Tinjauan Pasca Banjir Sungai Telemong (Bernama Radio) 
  • Pengimbangan Audio Radio (Studio) Terbaik - Dokumentari Hijrah: Cahaya Sejernih Mata Air (IKIM FM)
  • Pengimbangan Audio Radio (Lokasi) Terbaik - Lintas Langsung Tinjauan Pasca Banjir Sungai Telemong (BERNAMA Radio)

Kategori Media Sosial
  • Drama Pendek Menerusi YouTube Rasmi Terbaik – Kampung Malar Deepavali (Astro Gempak)
  • Sketsa Pendek Menerusi YouTube Rasmi Terbaik – Syawal Pertama (Asyik FM)
  • Video Klip Hiburan Menerusi Youtube Rasmi Terbaik - Sentiasa Di Sini (Astro Gempak)
  • Pesanan Khidmat Masyarakat Menerusi YouTube Rasmi Terbaik – YouTube Buletin TV3 
  • Drama Bersiri Menerusi Youtube Rasmi Terbaik - Bunga Secret Garden (Astro Gempak) 

Jumaat, 4 November 2022

KONSERT 25 TAHUN LAH AHMAD HABIS TERJUAL?

Walaupun baru diumumkan dan tidak sampai 24 jam, tiket bagi menyaksikan konsert 25 Tahun Lah Ahmad habis terjual. Konsert julung kali penyanyi Lah Ahmad yang bakal berlangsung pada 28 Januari 2023 itu khabarnya akan diadakan di Stage 1 Theatre, PJPAC 1 Utama E, Petaling Jaya, Selangor. 

Ketika berucap dalam satu sidang media bagi mengumumkan konsert tersebut, Lah Ahmad teruja menantikan sambutan peminat terhadap konsert ini. Lah yang merupakan bekas anggota kumpulan V.E akan tampil menghiburkan peminat menerusi 20 buah lagu sepanjang karier penglibatannya sebagai penyanyi. 

Menariknya konsert ini juga akan membawa penonton menyelami suka duka perjalanan hidup seorang anak seni bernama Abdullah bin Ahmad. Menerusinya juga, 'Jatuh', yang merupakan album keempat beliau selepas 'Jalan Untuk Kembali, Sempurna & Terbaik dan Selamat Datang Cinta' akan dilancarkan pada malam konsert tersebut. 

Tiket konsert berharga dari RM120 hingga RM330 yang dijual menerusi OneTix khabarnya sudah habis terjual. 





Khamis, 3 November 2022

23rd EUROPEAN FILM FESTIVAL IN MALAYSIA OFFICIALLY LAUNCHED

The 23rd European Film Festival (EUFF) was officially launched yesterday, ready to entice all movie buffs with 17 films from 20 European countries over the next two weeks.

The opening ceremony was held at Golden Screen Cinemas (GSC) at Mid Valley, Kuala Lumpur. Ms Koh Mei Lee, Chief Executive Officer of Golden Screen Cinemas (GSC) welcomed the guests. The festival was officially opened by Mr. Timo Goosmann, Deputy Head of Delegation on behalf of the Delegation of the European Union to Malaysia. 

Life imitates art,” said Ms. Koh Mei Lee in her welcoming speech. She talked about learning the core values for the survival of humankind from cinema, “The everyday stories of the human strength, resilience, and of love – be it filial love or romantic love, stories of family bonds, the dramas on screens mirrors life itself. It reminds us to be humble, kind, and considerate to each other and celebrate every day as it comes.

Mr. Timo Goosmann, Deputy Head of Mission, Delegation of the European Union to Malaysia said that “through EUFF, we put culture at the centre of our relationship between the EU and Malaysia that connects our own shared experiences and interests through the cinema.”

He further added, “The motto of the European Union is ‘In varietate concordia’, which translates to ‘united in diversity’. As Malaysia is a multicultural and multilingual country itself, I hope the European Film Festival can serve as a bridge between our continents to connect the people of Malaysia with Europe, not only offering entertainment, but also creating a deeper understanding of the cultural diversity Europe offers.”

In solidarity with Ukraine, director Zaza Buadze’s Mother of Apostles opened the 23rd EUFF in Malaysia. This year’s festival will screen 17 features and documentaries from 20 European countries between 3 – 16 November in Kuala Lumpur and Penang. 

The launch event also featured a Polish-Ukrainian exhibition entitled ‘Mom, I don’t want war’ from the Embassy of the Republic of Poland. Historical drawings of Polish children from 1946, which are a record of their experiences during World War II and contemporary drawings of Ukrainian children, related to the war currently taking place in Ukraine, were presented. 

The EUFF will take place at selected GSC outlets in Kuala Lumpur (GSC MidValley, GSC MyTown, and GSC 1Utama) from 3 – 13 November followed by Penang (GSC Gurney Plaza) from 10 – 16 November. 

Tickets are sold at RM9.50, and can be purchased via GSC E-payment at www.gsc.com.my, GSC Mobile Apps or at participating GSC outlets. For movie details, screening schedules, and more information on the European Film Festival, visit www.euff.com.my or www.gsc.com.my


Rabu, 2 November 2022

KOLABORACI - THREE TO ROCK GABUNGKAN ROCKER LEGENDA 3 BUAH NEGARA AKAN DATANG 25 NOVEMBER INI

'Satu malam, satu pentas dan tiga negara', merupakan intipati utama yang dipersembahkan dalam Konsert Kolaboraci - Three To Rock yang bakal berlangsung di SMESCO Convention Hall, Jakarta, Indonesia. Konsert hebat anjuran Aci Gold itu memilih 25 November 2022 sebagai tarikh keramat, di mana gabungan rockers dari Indonesia, Malaysia dan Singapura bakal mencetuskan fenomena dalam industri muzik Asia apabila konsert yang menampilkan legenda rock itu berkongsi pentas dalam satu persembahan. 

Indonesia menampilkan band rock popular dan berpengalaman iaitu BIP yang dianggotai Pay Burman (gitar), Bongky Marcel (bass), Indra Q (keyboard) dan Ipank Lazuardi (penyanyi). BIP boleh diiktiraf sebagai antara band rock legenda Indonesia kerana Pay, Bongky dan Indra adalah bekas anggota band rock nombor satu Indonesia iaitu Slank. Mereka menghasilkan lima album dengan Slank bersama Kaka (penyanyi) dan BimBim (dram) sebelum berundur pada 1996 dan menubuhkan BIP. Selain itu, ‘mewakili’ Indonesia ialah Pindad Rock Star, Erik & The Gotune yang dianggotai Iwan Xaverius (bekas anggota Edane) dan Jhon Barhaend.

Rockers Malaysia pula dibarisi pemain gitar legenda, Man Kidal (Search / Lefthanded), Lola (dram - XPDC) dan Cliff Umar (penyanyi - Project Pistol), manakala Singapura menampilkan Yazid (penyanyi, bass - Lovehunters). Selaku penganjur, Aci Gold berharap mereka  dapat menyumbangkan sesuatu dalam industri muzik Indonesia. 

“Kami mahu menjadikan Konsert Kolaboraci ini sebagai pentas buat pemuzik dan band serta menjadi destinasi hiburan muzik yang dinantikan masyarakat Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain menampilkan band rock, penyanyi dan pemuzik berpengalaman serta popular dari tiga negara, Konsert Kolaboraci juga sebagai salah satu destinasi hiburan yang dinantikan penonton. Ia juga sebagai pentas harapan buat penggiat muzik, peminat dan golongan peniaga yang sebelum ini terkesan akibat penularan Covid-19.

Pandemik Covid-19 sudah beransur pulih. Namun dalam masa sama, kita masih perlu berjaga-jaga dan mematuhi protokol kesihatan. Bagaimanapun, industri muzik dan hiburan tetap perlu diteruskan. Muzik tidak hanya hidup untuk penggiat seni saja, tetapi muzik adalah kehidupan bagi manusia. Muzik adalah cara kita melepas rindu,” katanya.

Menurutnya lagi, dalam usaha membina satu komuniti di Asia Tenggara, Aci Gold juga bekerjasama dengan koperasi tempatan, MyUBI yang mempunyai 3,000 ahli akan menjayakan Konsert Kolaboraci di Malaysia. Kedua-dua entiti ini bekerjasama dalam pelbagai bidang perniagaan di Timur Tengah yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.  

Sementara itu, pemain bass BIP, Bongky berkata, BIP sangat teruja dapat mengadakan persembahan di konsert ini selepas sekian lama tidak terbabit dengan sebarang konsert. 

Sudah lama kami tidak membuat persembahan. Saya pun sudah lupa. Rasanya sudah tiga tahun kami tidak membuat persembahan,” katanya.

Menurut Bongky, konsert ini bakal memberi semangat baru buat industri muzik Indonesia yang terhenti selama dua tahun akibat Covid-19. Tiket pra-jualan berharga RM303 (VIP), RM152 (Tribune) dan RM75 (Festival) boleh dibeli secara dalam talian di laman web www.kolaboraci.online.

Tidak ketinggalan, peminat di luar Jakarta khususnya dari Malaysia dan Singapura juga boleh menonton konsert ini secara dalam talian atau streaming pada hari yang sama.

Untuk tontonan streaming, tiket berharga RM15 juga boleh dibeli di laman web www.kolaboraci.online.

Selasa, 1 November 2022

KONSERT GARIS MASA RAIHAN DITUNDA KE TAHUN 2023


Penundaan Konsert Garis Masa Raihan yang dijadualkan berlangsung 26 November ini langsung tiada kena mengena dengan Nazrey Johani, vokalis asal kumpulan Raihan. Konsert solo Raihan itu khabarnya akan ditunda ke tahun depan di mana tarikh baharu iaitu 18 Februari 2023 akan dipilih sempena sambutan Israk dan Mikraj. Menurut Che Amran Idris atau Che Am dalam satu kenyataan media berkata, "Perbincangan telah dibuat dengan beberapa pihak penganjur, dan sebulat suara kami memutuskan Konsert Garis Masa ini akan ditunda atas beberapa sebab antaranya, Pilihan Raya Umum ke-15 dan keadaan cuaca yang tidak menentu. Penjualan tiket atas talian akan dihentikan sementara dan akan dibuka semula pada 7 November ini. 

"Bagi anda yang ingin menukar perancangan, tuntutan pemulangan wang boleh dibuat dengan menghantar permohonan menerusi cs.raihangarismasa@gmail.com". Dalam konsert yang bakal berlangsung nanti, beberapa seleksi lagu popular Raihan akan dipersembahkan antaranya Puji-Pujian, Iman Mutiara, Sesungguhnya, Thank You Allah, 25 Rasul, Syukur dan banyak lagi.

Ketika diajukan tentang bekas anggota Raihan, Nazrey Johani yang membuat keputusan untuk berjumpa Raihan dalam masa terdekat, Che Am bagaimanapun enggan menggulas kenyataan tersebut dan berharap pihak media tidak akan menjadikan cerita ini sebagai satu yang sensasi. Walaupun memilih untuk menunda konsert ini, Che Am selalu jurucakap Raihan optimis mengatakan ia peluang yang baik untuk kami membuat persiapan rapi bahkan konsert ini nanti adalah yang terbaik bagi peminat setia kami. 

Penjualan tiket Konsert Garis Masa ini boleh dibeli menerusi laman www.ticket2U.com.my

Isnin, 31 Oktober 2022

IMBAS KEMBALI FFM: PESTA FILEM MALAYSIA KE-5 (1984)

Pada tahun 1984, 'Matinya Seorang Patriot' lakonan Eman Manan, Noorkumalasari, Saadiah, Azmil Mustapha, S.Roomai Noor, Zulkifli Zain, Mustapha Maarof, Suhaina Yahya, Azmi Mohamad, Yusof Wahab, Dr Sam dan A.V Bapat dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Pesta Filem Malaysia ke-5, 1984. Filem arahan Rahim Razali itu juga memenangi Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Eman Manan), Lakon Layar Terbaik (Rahim Razali), Jurukamera Terbaik (Zainal Othman), Penyunting Filem Terbaik (Meor Hashim Manap) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (S.Roomai Noor).

Filem yang berunsur Patriotik itu memberi saingan kepada filem Jasmin (Jamil Sulong), Azura (Deddy M.Borhan), Di Ambang Kasih (M.Amin) dan Komplot (Ahmad Mahmood). PFM5, 1984 yang diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu berjaya menobatkan Eman Manan dan Rosnani Jamil sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik menerusi karya Matinya Seorang Patriot (Eman Manan) dan Jasmin (Rosnani Jamil).

Pada tahun yang sama, filem Azura arahan Deddy M.Borhan memenangi Lagu Terbaik, ciptaan M.Nasir, manakala Filem Jasmin memenangi Pengarah Seni Terbaik (A.Ainul), dan Pengadun Bunyi Terbaik (Peter Lim & Zulkifli Salleh). Filem Di Ambang Kasih arahan M.Amin memenangi Pelakon Wanita Pembantu Terbaik (Rosnah Mohd Noor), dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Dino M.Borhan) serta filem Komplot arahan Ahmad Mahmood pula memenangi Pelakon Harapan melalui lakonan A.Rahman Aminuddin. PFM5 yang dianjurkan pada tahun 1984 menerima 13 buah penyertaan filem yang bertanding mengikut kategori masing-masing.

Imbas Kembali Pesta Filem Malaysia ke-5. PFM5 telah diadakan pada 15 Disember 1984 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. 


IMBAS KEMBALI FESTIVAL FILEM MALAYSIA : PESTA FILEM MALAYSIA KE-5

Filem Terbaik
Matinya Seorang Patriot (ZSA Film Production)

Pengarah Terbaik
Rahim Razali (Matinya Seorang Patriot)

Pelakon Lelaki Terbaik
Eman Manan (Matinya Seorang Patriot)



Pelakon Wanita Terbaik
Rosnani Jamil (Jasmin)

Lakon Layar Terbaik
Rahim Razali (Matinya Seorang Patriot)

Jurukamera Terbaik
Zainal Othman (Matinya Seorang Patriot)

Hadiah Khas Juri
Sabah Film Production

Penyunting Filem Terbaik
Meor Hashim Manap (Matinya Seorang Patriot)

Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik
S.Roomai Noor

Pelakon Wanita Pembantu Terbaik
Rosnah Mohd Noor (Di Ambang Kasih)

Pengadun Bunyi Terbaik
Peter Lim & Zulkifli Salleh (Jasmin)

Pengarah Seni Terbaik
A.Ainul (Jasmin)

Muzik Terbaik
M.Nasir (Azura - Azura)

Pengolahan Kisah Masyarakat
Azura

Pengolahan Tema Sejarah
Jasmin

Pelakon Harapan
A.Rahman Aminuddin

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
Dino M.Borhan (Di Ambang Kasih)

Ahad, 30 Oktober 2022

KONSERT NASYID LEGENDA CATAT SEJARAH TERSENDIRI SELEPAS 30 TAHUN, GAMIT NOSTALGIA KEGEMILANGAN INDUSTRI NASYID TANAH AIR.

Bagi mereka yang membesar dengan lagu-lagu nasyid dendangan Al Jawaher, Ahmadi Hassan, El Suraya, Orkes Sinar Murni, Al Mizan, The Zikr, Nadamurni, sehinggalah munculnya nama Raihan, Rabbani, Hijjaz, Inteam, Akhil Havy, dan ramai lagi, mungkin saat ini tidak akan dilepaskan kerana Konsert Nasyid Legenda yang berakhir 29 Oktober, malam tadi menyaksikan kebangkitan semula industri nasyid dalam arena seni muzik dan hiburan tanah air. 

Konsert yang julung kali diadakan itu telah berlangsung gilang-gemilang di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya di mana Inteam Records sebagai penganjur utama dengan sokongan Dana Kandungan Digital dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM). Membawa slogan 'Kembali Bersinar', Konsert Nasyid Legenda yang telah berlangsung malam tadi adalah 'tribute' bagi mengenang jasa penasyid-penasyid tanah air sejak tahun 70-an sehinggalah ke Zaman Nasyid Kontemporari dengan penampilan barisan artis-artis nasyid popular tanah air antaranya,  Hijjaz, Rabbani, Nazrey Johani, Ustaz Akhil Havy, Ustaz Hasnul, Ustaz Amal dan Kumpulan Inteam. Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu juga menampilkan penyanyi Shahir Zawawi, Ustaz Raja Suhaimi dan Kumpulan Aydan, yang merupakan artis nasyid pelapis di bawah Rabbani.

Ketika ditemui media selepas persembahan, Asri Ubaidillah dari Rabbani berkata, "Alhamdulillah, konsert ini berjalan lancar seperti yang dirancang dan kami berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakannya khususnya Inteam Records selaku penganjur, Badan Islam MBPJ dan K-KOMM serta seluruh penaja dan tidak lupa semua yang hadir memberi sokongan". 

Namun bagi Azadan Rabbani pula menyifatkan penganjuran konsert ini adalah suatu yang istimewa di mana ia menyajikan segmen 'tribute', kepada vokalis asal Rabbani, Almarhum Ustaz Asri Ibrahim. Menurut Azadan, "Ini adalah saat yang paling menyentuh hati kami di mana Ilham dari Kumpulan Aydan yang merupakan anak Almarhum, turut tampil membuat persembahan menerusi lagu Munajat, bagi memaparkan simbolik perjuangan  Almarhum dalam bidang nasyid seterusnya mewakili generasi baharu hari ini". 

Menurut Munif dari Kumpulan Hijjaz pula optimis mengatakan Konsert Nasyid Legenda ini adalah sebuah persembahan penuh nostalgia di mana ia dianjurkan di lokasi sama yang pernah mereka mengadakan persembahan 30 tahun yang lalu menerusi Konsert Bila Nur Melimpah Di Hati yang pernah diadakan pada tahun 1993. Ini satu pengalaman yang cukup berharga dan tidak akan dilupakan serta menjadi sejarah abadi yang akan kekal sepanjang zaman. 

Bercakap mengenai sambutan peminat menerusi jualan tiket bagi menyaksikan konsert ini, Hazamin dari Inteam Records pula berkata, "Alhamdulillah, tiket konsert ini habis terjual pada minggu akhir sebelum ia dilaksanakan. Disebabkan ramai peminat yang terlepas membeli tiket, kami mengambil keputusan untuk mengadakan siaran tayangan tertunda konsert ini pada 5 November 2022 menerusi platform video dengan harga tontonan sehari adalah RM25, di mana setiap RM5 jualan tiket tersebut akan disumbangkan kepada kempen musim sejuk Pelarian Syria yang dibawakan khas ini oleh Pertubuhan Peduli Insan Malaysia".



Tambah Hazamin lagi, ramai peminat mencadangkan agar konsert ini dibawa ke seluruh Malaysia melalui siri jelajah, namun Inteam akur sekiranya ada penaja yang sudi merealisasikan impian ini, mungkin satu hari nanti ia akan dilakukan. Konsert Nasyid Legenda yang diadakan malam tadi juga menyenaraikan 25 buah lagu nasyid malar segar yang pernah popular suatu ketika dahulu. Antara lagu yang dinyanyikan dalam konsert ini adalah 'Perjalanan 2, Jangan Menghina, Kembara Di Tanah Gersang, Bila Nur Melimpah Di Hati, Pahlawan Agana, Munajat, Mana Milik Kita, Handzalah, Puji-Pujian' dan banyak lagi.

Menariknya konsert ini adalah menerusi segmen yang dianjurkan. Terbahagi kepada 4 segmen utama merangkumi segmen nasyid tahun 70-an, 80-an, 90-an sehinggalah kepada segmen tribute pahlawan nasyid dan nasyid kontemporari penghujung tahun 90-an hingga 2000. Sebahagian dari hasil jualan tiket Konsert ini akan disumbangkan  ke tabung kebajikan Badan Islam MBPJ dan Persatuan Kebajikan Sahabat Nadamurni. 

Selain persembahan nasyid yang diiringi pemuzik iringan, penonton turut disajikan dengan deklamasi puisi oleh pemuisi terkenal, Ustaz Dinie Juri dan juga lakonan sketsa. Bagi anda yang terlepas untuk menyaksikan konsert ini pada 29 Oktober lalu, jangan kecewa kerana tayangan tertunda sambil beramal boleh didapati dari laman facebook Peduli Insan atau klik tonton di sini. 

Sabtu, 29 Oktober 2022

KONSERT NASYID LEGENDA MALAM INI BOLEH DITONTON ATAS TALIAN?

Debaran menantikan Konsert Nasyid Legenda malam ini, menyaksikan kolaborasi hebat beberapa penyanyi nasyid tanah air, antaranya Rabbani, Hijjaz, Akhil Havy, Inteam, Shahir Nawawi, Ustaz Hasnul, Maliq Suhaimi, Ustaz Amal, Dinie Juri serta penampilan hebat Ustaz Nazrey Johani.

Konsert terbesar yang menghimpunkan legasi hebat seni muzik nasyid tanah air ini bakal berlangsung pada 29 Oktober 2022, 8.30 malam itu di Dewan Sivik MBPJ. Menariknya konsert yang julung kali diadakan ini juga boleh ditonton melalui platform atas talian Pertubuhan Peduli Insan Malaysia yang akan menayangkan keseluruhan konsert ini menerusi rakaman siaran tertunda bermula pada 5 November 2022. 

Peminat muzik khususnya nasyid yang tidak berpeluang menonton konsert ini secara langsung pada 29 Oktober malam ini, boleh melayari di sini dalam siaran tertunda. Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Inteam Records menerusi sosial media di Facebook, berharap mereka yang tidak berkesempatan menyaksikan secara langsung malam ini, usah kecewa kerana pihak kami akan menyiarkan keseluruhan konsert ini dengan hanya langganan RM25 sahaja pada 5hb November 2022. Setiap dari RM5 akan disumbangkan ke tabung yang memerlukan.

 Menurutnya lagi, jualan tiket Konsert Nasyid Legenda ini sudah 100% habis terjual.

Jumaat, 28 Oktober 2022

ANUGERAH SERI ANGKASA 2022 : 55 PENCALONAN , 28 KATEGORI

ACARA berprestij Anugerah Seri Angkasa (ASA 2022) anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) kini kembali mewarnai industri hiburan tempatan.Rangkaian Televisyen Media Prima mendapat 55 pencalonan menerusi 28 kategori anugerah dan ini termasuk lima kategori anugerah digital yang baru diperkenalkan selari dengan peredaran zaman digital.

Antara anugerah yang tercalon adalah Drama TV Terbaik, Pengarah Drama TV Terbaik, Dokumentari TV Terbaik, Majalah TV Terbaik, Skrip Drama TV Terbaik, Sketsa Pendek Menerusi YouTube Rasmi Terbaik, Video Klip Hiburan Menerusi YouTube Rasmi Terbaik dan Drama Bersiri Menerusi YouTube Rasmi Terbaik.

Drama "Pencipta Pegang Waktu" mendapat pencalonan terbanyak dengan tujuh pencalonan dalam kategori Drama TV Terbaik, Pengarah Drama TV Terbaik, Skrip Drama TV Terbaik, Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Drama TV Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Drama TV Terbaik dan Pelakon Kanak-Kanak TV Terbaik.