Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


MICHELLE YEOH RANGKUL PELAKON WANITA TERBAIK DI OSCARS 95

Kemenangan Michelle Yeoh di Anugerah Akademi Oscar ke-95, membuktikan anak Malaysia mampu terbang jauh ke Hollywood.

VIU DAN ASTRO JALIN KERJASAMA STRATEGIK?

Alami pengalaman penontonan baharu melalui kerjasama strategik antara viu dan ASTRO yang mampu membuka lebih luas pasaran dalam bidang penyiaran dengan pelbagai rancangan terbaik seluruh Asia.

ASTRO RAIKAN RAMADAN DENGAN SAJIAN PELBAGAI RANCANGAN DAN PROGRAM MENARIK

Sempena bulan Ramadan penuh keberkatan, Astro tampil meraikan Ramadan dengan pelbagai karya tontonan khususnya buat pelanggan Astro.

ANTARA MITOS DAN FANTASI. HARUM MALAM SETARAF FILEM SERAM HOLLYWOOD?

Bukan sahaja sebagai sebuah karya seram tempatan yang berbeza, namun Harum Malam wajar diakui sebagai sebuah filem Malaysia bertaraf antarabangsa.

KONSERT 25 TAHUN LAH AHMAD HABIS TERJUAL

Walaupun baru diumumkan dan tidak sampai 24 jam, tiket bagi menyaksikan konsert 25 Tahun Lah Ahmad habis terjual.

Isnin, 29 Ogos 2022

TONTON PERKONGSIAN USHERA DAN GANESH BALA, PADA 29 OGOS 2022, JAM 9.00 MALAM

Sempena meraikan 65 tahun kemerdekaan Malaysia, FINAS dengan rasminya akan menayangkan 'Lensa Negaraku: Dunia Asmara ; Warisan Seni Berzaman'. Video dokumentari pendek berdurasi 13 minit itu  mendokumentasikan tentang kejayaan dua orang anak seni tempatan iaitu Ganesh Bala dan Ushera menerusi penerbitan manuskrip muzik Melayu bertajuk ‘The Malayan Songbook'. Buku yang menghimpunkan 20 manuskrip lagu-lagu Melayu lama ciptaan Tan Sri P. Ramlee, Ahmad Jaafar, Ahmad Wan Yet, Kamsani Saat, Yusof B dan Osman Ahmad itu merupakan kerja keras Ushera dan Ganesh Bala dalam menterjemahkan muzik dalam bentuk manuskrip bagi rujukan generasi seterusnya.

Diarahkan Amy Ikram, 'Dunia Asmara : Warisan Seni Berzaman' ini memaparkan suka duka Ushera dan Ganesh Bala dalam penerbitan buku 'The Malayan Songbook'. Pelbagai kisah, cerita dan pengalaman dikongsikan mereka menjadikan dokumentari ini sebagai video pendek biografi yang penting dan menarik, tentunya akan menyentuh hati penonton dan peminat muzik tanah air, khususnya mereka yang meminati genre melayu klasik dan muzik tradisi lama. 


Untuk makluman, Ushera merupakan penyanyi lagu-lagu melayu klasik manakala Ganesh Bala adalah komposer muda yang begitu kreatif dalam menterjemah muzik Melayu lama melalui lagu-lagu Melayu tradisi yang diberikan nafas baharu tanpa menjejaskan isi kandungan asal. Kesannya, 'Semalam di Malaya', merupakan album pertama Ushera  yang mendapat sentuhan Ganesh Bala sebagai komposer dan penggubah lagu. Album yang memuatkan 11 buah lagu melayu lama itu antara album klasik melayu yang diterbitkan dalam bentuk fizikal pada tahun 2016. 

Tonton perkongsian istimewa ini menerusi slot ‘Lensa Negaraku’ di saluran YouTube Finas Malaysia pada 29 Ogos 2022 (Isnin), jam 9.00 malam. 

Untuk menonton video penuh ini, sila klik di sini


OFFICIAL TEASER

Selasa, 23 Ogos 2022

3 KATEGORI BAHARU DIPERKENALKAN, FFM32 BAKAL DIADAKAN DI MELAKA?

Bertemakan 'Filem Kita, Citra Kita', Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) bakal melabuhkan tirainya. Memilih Bandaraya Melaka sebagai lokasi penganjuran, FFM32 dilihat berpotensi besar bagi membawa filem Malaysia ke pentas antarabangsa. Dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) akan memperkenalkan 3 kategori baharu, iaitu 'Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman, Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik dan Anugerah Filem Pendek Terbaik'. 

Pengerusi FFM32, Prof. Dr. Md Nasir Ibrahim yang juga Ketua Pegawai Eksekutif FINAS berkata penganjuran FFM32 kali ini sedikit berbeza dengan penganjuran festival filem sebelumnya. Ia bertujuan untuk mencari karya filem yang berkualiti dan mencapai tahap standard setanding karya filem antarabangsa. 

"Sudah sampai masanya industri hiburan dan perfileman tanah air mengantarabangsakan filem tempatan. Ia meraikan 30 tahun Sinema Malaysia dan dengan cara ini kita dapat mencapai tanda aras antara filem tempatan dengan filem antarabangsa secara relatif', ujarnya semasa mengumumkan FFM32 dalam satu acara sidang media di Royal Selangor petang selasa. 

Menariknya, FFM32 yang bakal berlangsung di bumi Melaka itu merupakan acara terbesar industri filem tempatan di mana edisi kali ini adalah yang kedua kali diadakan selepas pertama kali dianjurkan pada 6 Disember 1987 di Hotel Ramada Renaissance, Melaka melalui Pesta Filem Malaysia ke-7 yang berjaya menobatkan 'Rahsia' sebagai Filem Terbaik. 

klik poster untuk penyertaan

Bagi meraikan FFM32, pencalonan bagi 22 kategori dan 9 anugerah itu telah dibuka bermula hari ini sehingga 30 September depan. Syarat untuk sesebuah filem itu menyertai pertandingan ini adalah mesti telah ditayangkan di pawagam atau Astro First. 

Prof. Md Nasir Ibrahim ketika ditemui media menyifatkan FFM32 ini juga akan mengiktiraf penglibatan anak seni seperti pelakon yang telah banyak memberi sumbangan dalam konteks perkembangan industri filem negara melalui dua anugerah yang cukup berprestij iaitu, 'Anugerah Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman'

gambar replika Trofi FFM32 | Gambar : Ruffey Rahman | FINAS

Istimewanya festival kali ini adalah rekaan trofi FFM32 ini akan direka khas oleh Royal Selangor untuk diberikan kepada semua pemenang setiap kategori dan penerima anugerah. 

Isnin, 22 Ogos 2022

PELAKON HAIRI SAFWAN ANTARA TUJUH PENERIMA DANA KHAS FILEM PENDEK FINAS

Sebagai usaha dalam mencungkil bakat muda serta merancakkan ekonomi industri kreatif tempatan ke tahap seterusnya, Dana Khas Filem Pendek diwujudkan. Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) begitu komited dalam membawa serta memartabatkan industri hiburan dan perfileman tanah air. Tujuannya adalah memperkasa kemahiran dalam menghasilkan karya berkualiti dan diterima di peringkat antarabangsa.

Ekoran itu, tujuh karyawan muda tempatan menerima Dana Khas Filem Pendek.  Mereka ialah Mohd Hairi Safwan dengan karya bertajuk 'Qarin', Lim Han Loong (Family Gathering), Lee Shi Min (Dad's Suit), Syahnur Asyikin Kee Charles (Peace Land), Syazani Zikry Zainul Hakim (A Different View), Felix Elmer Peter John Remek (Pak, Aman Nak Pergi Sekolah) dan Lenathannimalai Srinivasan (Gogu and the Memories of 7 Trees).

Ketua Pegawai Eksekutif Finas Dr Md Nasir Ibrahim berkata dana di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) (Sektor Filem) itu bertujuan merancakkan ekonomi industri kreatif dalam negara dengan meningkatkan peluang pekerjaan komuniti dan karyawan muda melalui karya kreatif, di samping merangsang kreativiti penggiat menerusi eksplorasi idea dan karya.

"DKD merupakan usaha berterusan daripada Finas dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dalam memajukan sektor perfileman dan industri kreatif negara melalui penawaran suntikan dana kepada penggiat seni tanah air," katanya kepada media selepas majlis penyerahan surat setuju terima dana tersebut di bangunan Finas di sini malam ini.

Beliau berkata DKD (Sektor Filem) disasarkan kepada karyawan muda bagi menggalakkan penerbitan filem pendek berkualiti dan terbuka kepada semua genre yang mempunyai nilai komersial bagi penyertaan pertandingan atau festival dalam dan luar negara.

"Kita berharap penyaluran dana di bawah DKD ini membantu membina semula industri kreatif serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada penggiat seni tanah air yang terkesan pandemik COVID-19," katanya.


Jumaat, 19 Ogos 2022

'KONSERT NASYID LEGENDA', GABUNGKAN 8 ARTIS NASYID TERSOHOR TANAH AIR?


Dalam satu hantaran di media sosial,  kumpulan nasyid Inteam menerusi Inteam Records dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), akan menganjurkan 'Konsert Nasyid Legenda'. Konsert yang menampilkan Nazrey Johani, Rabbani, Hijjaz, Shahir Zawawi, Maliq Suhaimi, Ustaz Hasnul Diwani dan Inteam' itu memilih Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya sebagai lokasi utama penganjuran. 

Bakal berlangsung pada 29 Oktober 2022 jam 8.30 malam, 'Konsert Nasyid Legenda' ini boleh dikatakan sebagai sebuah persembahan pertemuan beberapa nama besar dalam industri nasyid tanah air. Cuma, apa yang menjadi persoalan penulis adalah, kenapa nama Raihan tidak tersenarai dalam konsert ini memandangkan Raihan antara kumpulan nasyid popular tahun 90-an selain Rabbani dan Hijjaz?. 

Nantikan info terkini dan berita selanjutnya mengenai konsert ini dari semasa ke semasa. 

Khamis, 18 Ogos 2022

PENGHARGAAN TERTINGGI KEPADA PENGHIBUR NO. 1 ASIA, PAMERAN WARISAN SUDIR GAMIT MEMORI TERSENDIRI.

Selepas kejayaan Pameran P. Ramlee dan Saloma: Aku, Dia Dan Lagu yang telah diadakan pada 14 April hingga 31 Julai 2022, Pusat membeli belah terkemuka negara, Fahrenheit 88, Kuala Lumpur sekali lagi menjemput Arkib Negara Malaysia untuk bekerjasama bagi menganjurkan pameran sempena bulan kemerdekaan. Sehubungan itu, Arkib Negara dan KAMURA  Enterprise mengambil inisiatif bagi mengadakan pameran sempena mengenang 30 tahun pemergian Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.  Pameran yang julung kali diadakan itu mempamerkan koleksi terpilih busana milik Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad serta barangan peribadi Allahyarham yang jarang-jarang dipamerkan kepada umum. Turut dipamerkan juga adalah koleksi peribadi milik peminat setia Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.

Majlis yang dihadiri beberapa tetamu kenamaan, ahli keluarga Dato' Sudirman Haji Arshad dan rakan media itu disempurnakan pelancarannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Menurut Jaafar Sidek bin Haji Abdul Rahman, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, ''Penganjuran Pameran Warisan Sudir: Tribute kepada Penghibur No. 1 Asia ini merupakan sebuah pameran khas yang mempamerkan pelbagai koleksi Dato' Sudirman Haji Arshad dari busana, gambar, album nyanyian sehinggalah kepada koleksi peminat penyanyi tersohor itu yang turut menghiasi Galeri Sudirman yang terletak di Tingkat 2, Fahnrenheit 88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Penampilan dan imej unik Allahyarham Dato' Sudirman ini memberi impak yang besar kepada peminatya dan terus segar dalam ingatan rakyat Malaysia  sekalipun setelah pemergian beliau". 


Menurut rekod, kerjaya seni Allahyarham Dato' Sudirman Haji Arshad bermula ketika beliau memenangi Pertandingan Bintang RTM 1976. Bakat yang ada dalam diri beliau telah menonjolkan beliau sebagai seorang penghibur berbakat yang hebat dan memukau dalam sejarah industri seni tanah air. Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad menyertai pertandingan Bintang RTM semasa beliau masih bergelar siswa. Peringkat akhir pertandingan tersebut telah diadakan di Dewan Pay Fong, Ayer Keroh, Melaka pada 11 Ogos 1976. Antara lagu yang dinyanyikan beliau ialah “Seruling Bamboo” dan “Big Spender In The Caberet”. 

Antara pencapaian tertinggi Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad dan tetap diingati sehingga ke hari ini adalah penganjuran Konsert Gergasi di Jalan Chow Kit yang berjaya menghimpunkan hampir 100,000 orang bagi menyaksikan persembahannya. Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad juga berjaya menaikkan nama negara apabila beliau berjaya merangkul Anugerah Penghibur No.1 Asia ketika menyertai sebuah pertandingan di Royal Albert Hall, London pada tahun 1989. Kejayaan ini adalah kebanggaan Malaysia dan telah menunjukkan bahawa anak Malaysia berupaya untuk mencipta nama di persada antarabangsa. Semasa hayatnya, Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad dikenali dengan pelbagai nama gelaran oleh peminatnya seperti “The Singing Lawyer”, “Seniman Rakyat” dan “Elvis Malaysia”. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 22 Februari 1992 ketika berusia 37 tahun akibat radang paru-paru.

Gambar: Penulis bersama Datin Rodziah Arshad, kakak kepada Dato' Sudirman Haji Arshad. 

Pameran Warisan Sudir: Tribute kepada Penghibur No.1 Asia ini telah bermula pada 12 Ogos 2022 hingga 30 September 2022. Memilih Fahnrenheit 88 sebagai lokasi penganjuran, pameran khas ini diharap dapat mengimbau kembali zaman kegemilangan Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad dalam kalangan peminat-peminatnya sekaligus dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya di kalangan generasi muda hari ini.

Isnin, 15 Ogos 2022

GANDINGAN HEBAT DUA NEGARA, PERJALANAN PERTAMA MENAMPILKAN DATO' AHMAD TARMIMI SIREGAR, MUZAKKI RAMDHAN DAN RANDY PANGALILA

 ‘Papar Kisah ‘Road Trip’ Datuk & Cucu, Tampilkan Gandingan Pelakon Hebat Dua Negara’

Filem yang bertemakan kekeluargaan agak jarang diterbitkan, meskipun naskhah bergenre sedemikian mampu menarik minat penonton jika dihasilkan dengan sebuah jalan cerita yang menarik. Istimewanya, ia merupakan langkah pertama buat syarikat produksi D’Ayu Pictures untuk menerbitkan sebuah filem kekeluargaan berjudul Perjalanan Pertama. Lebih menarik, filem berkenaan juga merupakan usahasama antara syarikatnya bersama Mahakarya Pictures yang merupakan syarikat produksi Indonesia.

Penerbit Eksekutif, Dato’ Rosmarayu Mokhtar berkata, ia merupakan naskhah sulung terbitan syarikatnya yang mengangkat kisah kekeluargaan tentang hubungan antara datuk dan cucu. “Apabila meneliti naskhah dan jalan cerita filem Perjalan Pertama ini, saya melihat ia sesuatu yang cukup menarik untuk diketengahkan. “Ia sebuah filem ‘road trip’ membabitkan datuk dan cucunya dan sepanjang perjalanan mereka itu, banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi,” ujarnya.

Rosmarayu berkata, Perjalanan Pertama tidak sekadar sebuah kisah penggembaraan semata-mata kerana apa yang ingin disampaikan kepada penonton adalah membabitkan hubungan kekeluargaan. Sementara itu, menjelaskan lebih lanjut mengenai filem berkenaan, beliau menjelaskan ia menelan kos produksi sebanyak RM1.75 juta serta menjalani penggambaran di Bukit Tinggi, Indonesia sekitar awal tahun 2020. Ujarnya, sebagai penerbit eksekutif, pihaknya selaku pelabur turut terbabit sejak awal lagi seperti pra produksi, skrip, penggambaran sehinggalah filem tersebut siap sepenuhnya.

Perjalanan Pertama sudah ditayangkan di Indonesia sejak 14 Julai lalu dan sambutan yang diterima penonton di sana cukup menggalakkan. “Menerusi penelitian kami di platform media sosial pula, ramai penonton yang memberikan pujian dan review positif serta suka dengan jalan ceritanya,” jelasnya. Diarahkan oleh pengarah Arief Malinmudo, Perjalanan Pertama mengandingkan dua pelakon hebat dua negara iaitu Dato Ahmad Tamimi Sirergar dan Muzakki Ramdhan.

Selain itu, ia turut menampilkan beberapa barisan pelakon popular lain seperti Adinda Thomas, Randy Pangalila, Gilang Dirga, Komo Ricky dan Angelica Petra. Sementara itu, Arief selaku pengarah mengakui filem Perjalanan Pertama sememangnya cukup istimewa buat dirinya. “Sudah tentu ia merupakan satu penghormatan buat diri saya untuk bekerjasama dengan seorang pelakon hebat Malaysia seperti Ahmad Tarmimi. “Apa yang boleh saya katakan, filem ini memang wajar untuk ditonton kerana jalannya itu sendiri, selain sinematografinya yang cukup memukau,” ujarnya. Ujar Arief, dia berharap agar filem ini bukan sahaja mendapat sambutan di Indonesia, malah akan diterima penonton-penonton di Malaysia apabila ditayangkan nanti.

Selepas Indonesia, Perjalanan Pertama akan ditayangkan pula di pawagam seluruh Malaysia pada 18 Ogos ini. Untuk info, filem ini juga sudah ditayangkan di World Premier Moslem Fim Festival Australia dan Asian Premier Jogja Asian Film Festival pada tahun 2021.

 

Dibintangi oleh Dato' Ahmad Tarmimi Siregar, Muzakki Ramdhan, Randy Pangalila, Adinda Thomas, Gilang Dirga, Komo Ricky dan Angelica Petra, Perjalanan Pertama ini mengisahkan tentang hidup seorang datuk dengan cucunya. Tan, seorang pekerja kedai cenderamata di sebuah kampung serta tinggal bersama cucunya, Yahya.  Pada masa sama, Yahya yang semakin membesar sering bertanya kepada datuknya tentang identiti ibu bapanya.  Ternyata, semua persoalan akhirnya terjawab ketika mereka menghadapi masalah sewaktu dalam perjalanan untuk menghantar sebuah lukisan yang juga merupakan mas kahwin untuk satu pasangan yang akan bernikah. Sebuah perjalanan yang akan mengubah seluruh hidup Yahya dan Tan.

trailer


Jumaat, 12 Ogos 2022

APAKAH AKAN TERJADI KEPADA KARYA-KARYA SENIMAN AGUNG, P.RAMLEE SELEPAS 50 TAHUN?!.

Apakah akan terjadi sekiranya semua hak cipta karya seniman agung P.Ramlee itu menjadi hak awam?. Bagaimanakah nasib anak seni yang lain?. Apakah nasib mereka akan turut musnah selepas 50 tahun pemergian mereka dalam industri muzik?. Pernyataan ini kadangkala menakutkan penggiat industri hiburan tanah air, apatah lagi memikirkan nasib yang bakal menimpa setelah mereka tiada lagi di dunia ini. Perkara sebegini perlu difikirkan kerajaan melalui agensi berkaitan supaya nasib karyawan seni tanah air terbela khususnya. 

Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) mencadangkan agar Akta Hak Cipta 1987 segera dipinda bagi melanjutkan jangka masa sedia ada sekurang-kurangnya 70 tahun. Langkah berkenaan boleh dilakukan kerajaan melalui MYIPO, di mana pindaan tersebut dapat melindungi sesebuah karya muzik khususnya P.Ramlee yang khabarnya akan memasuki genap 50 tahun menjelang 2023. 

Bagi menghuraikan beberapa persoalan yang bermain difikiran, wartawan Nadia Azam dari malaysiakini telah menulis artikel ini ; telah disiarkan di portal rasmi malaysiakini pada 27 Julai 2022 yang lalu. 

- Amy Ikram

Kini detik genting pinda akta demi lindungi karya P Ramlee, kata MACP
Oleh: Nadia Azam, malaysiakini

Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) mencadangkan Akta Hak Cipta 1987 segera dipinda bagi melanjutkan jangka masa sedia ada kepada sekurang-kurangnya 70 tahun. Kata MACP langkah berkenaan boleh dilakukan kerajaan menerusi MyIPO.

Dengan adanya pindaan tersebut kata MACP isu berhubung karya muzik Allahyarham P Ramlee dapat dilindungi dengan lebih lama atau ia akan memasuki domain awam. Apabila keadaan itu berlaku, kata badan berkenaan, karya seniman agung itu tidak lagi tertakluk kepada perlindungan hak cipta yang mewajibkan pembayaran royalti.

Dalam keadaan sekarang, perlindungan hak cipta ke atas karya muzik P Ramlee akan tamat pada tahun depan.Jurucakap MACP memberitahu Malaysiakini isu melanjutan tempoh perlindungan hak cipta tersebut tertakluk kepada pindaan Seksyen 17 Akta Hak Cipta 1987, serta kelulusan dasar kerajaan.

“Lagu-lagu Allahyarham P Ramlee masih lagi segar berkumandang di dalam dan luar negara. Ianya akan menjadi satu kerugian besar kepada negara, rakyat Malaysia serta waris-waris P Ramlee sendiri (jika tiada pindaan dibuat). “Pindaan perlu dibuat bagi menjaga kebajikan serta kesahihan perlindungan hak cipta karya P Ramlee.

“Jika tidak dilakukan, karya-karya tersebut tidak lagi tertakluk kepada lunas undang-undang dalam menjaga hak ekonomi serta sosial bagi pemilik karya P Ramlee yang ketika ini diwarisi kepada anak seniman itu, antaranya Sazali,” katanya.

Ada perbincangan berterusan

Sazali, 63, dan isterinya ialah penerima bantuan bulanan Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (RM500) namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kesihatan mereka. Untuk rekod, selepas P Ramlee meninggal dunia pada 29 Mei 1973, royalti daripada lagu-lagunya yang diuruskan MACP diperoleh isteri seniman serba boleh terbabit, Allahyarham Saloma.

Apabila Saloma meninggal dunia pada 25 April 1983 pula, royalti daripada MACP itu diberikan pula kepada Allahyarham Nasir P Ramlee. Dia kemudian membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris yang lain. Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak royalti itu masih diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali hingga mencapai tempoh 50 tahun selepas kematian P Ramlee.

Bermula dari 1973 hingga tahun ini, kontrak royalti tersebut sudah berlangsung selama 49 tahun dan bakal tamat tahun depan. Menurut MACP, peranan yang dimainkan oleh badan itu dalam menangani isu karya-karya P Ramlee kini adalah amat genting.

Justeru, katanya, kerajaan diharap prihatin dengan karya-karya P Ramlee yang lebih sinonim dengan simbolik sebagai aset budaya Malaysia. Sehubungan itu, MACP memaklumkan, perbincangan berterusan dilakukan bagi menyatakan perlunya melanjutkan tempoh perlindungan hak cipta sedia ada - dari 50 tahun ke 70 tahun - seperti dipraktikkan United Kingdom dan Singapura.

“Sebagaimana yang dimaklumkan terdahulu, kami masih dalam peringkat penyelidikan dan dokumentasi untuk memberi butir-butir yang kukuh bagi mendapat kelulusan untuk diusulkan kepada kerajaan. “Buat masa sekarang, semua proses yang kami lakukan menunjukkan tindak balas positif daripada ahli MACP dan pihak berkepentingan,” katanya.

Tambah badan itu, kebajikan ahli sentiasa menjadi tujuan utama serta asas pembangunan badan tersebut. “Kami sentiasa menyokong penuh cadangan ahli kami yang ingin melanjutkan tempoh perlindungan hak cipta.

“Selepas mengambil kira cadangan serta pandangan ahli serta awam, MACP terus menyokong penuh bagi usul melanjutkan tempoh perlindungan hak cipta atas dasar kebaikan yang akan terus dinikmati oleh ahli pewaris karya tersebut serta sumbangan kepada industri kreatif secara tidak langsung,” katanya.