Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Selasa, 23 Ogos 2022

3 KATEGORI BAHARU DIPERKENALKAN, FFM32 BAKAL DIADAKAN DI MELAKA?

Bertemakan 'Filem Kita, Citra Kita', Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) bakal melabuhkan tirainya. Memilih Bandaraya Melaka sebagai lokasi penganjuran, FFM32 dilihat berpotensi besar bagi membawa filem Malaysia ke pentas antarabangsa. Dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) akan memperkenalkan 3 kategori baharu, iaitu 'Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman, Anugerah Filem Antarabangsa Terbaik dan Anugerah Filem Pendek Terbaik'. 

Pengerusi FFM32, Prof. Dr. Md Nasir Ibrahim yang juga Ketua Pegawai Eksekutif FINAS berkata penganjuran FFM32 kali ini sedikit berbeza dengan penganjuran festival filem sebelumnya. Ia bertujuan untuk mencari karya filem yang berkualiti dan mencapai tahap standard setanding karya filem antarabangsa. 

"Sudah sampai masanya industri hiburan dan perfileman tanah air mengantarabangsakan filem tempatan. Ia meraikan 30 tahun Sinema Malaysia dan dengan cara ini kita dapat mencapai tanda aras antara filem tempatan dengan filem antarabangsa secara relatif', ujarnya semasa mengumumkan FFM32 dalam satu acara sidang media di Royal Selangor petang selasa. 

Menariknya, FFM32 yang bakal berlangsung di bumi Melaka itu merupakan acara terbesar industri filem tempatan di mana edisi kali ini adalah yang kedua kali diadakan selepas pertama kali dianjurkan pada 6 Disember 1987 di Hotel Ramada Renaissance, Melaka melalui Pesta Filem Malaysia ke-7 yang berjaya menobatkan 'Rahsia' sebagai Filem Terbaik. 

klik poster untuk penyertaan

Bagi meraikan FFM32, pencalonan bagi 22 kategori dan 9 anugerah itu telah dibuka bermula hari ini sehingga 30 September depan. Syarat untuk sesebuah filem itu menyertai pertandingan ini adalah mesti telah ditayangkan di pawagam atau Astro First. 

Prof. Md Nasir Ibrahim ketika ditemui media menyifatkan FFM32 ini juga akan mengiktiraf penglibatan anak seni seperti pelakon yang telah banyak memberi sumbangan dalam konteks perkembangan industri filem negara melalui dua anugerah yang cukup berprestij iaitu, 'Anugerah Seniman dan Seniwati Sepanjang Zaman'

gambar replika Trofi FFM32 | Gambar : Ruffey Rahman | FINAS

Istimewanya festival kali ini adalah rekaan trofi FFM32 ini akan direka khas oleh Royal Selangor untuk diberikan kepada semua pemenang setiap kategori dan penerima anugerah. 

0 comments :