Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Khamis, 18 Ogos 2022

PENGHARGAAN TERTINGGI KEPADA PENGHIBUR NO. 1 ASIA, PAMERAN WARISAN SUDIR GAMIT MEMORI TERSENDIRI.

Selepas kejayaan Pameran P. Ramlee dan Saloma: Aku, Dia Dan Lagu yang telah diadakan pada 14 April hingga 31 Julai 2022, Pusat membeli belah terkemuka negara, Fahrenheit 88, Kuala Lumpur sekali lagi menjemput Arkib Negara Malaysia untuk bekerjasama bagi menganjurkan pameran sempena bulan kemerdekaan. Sehubungan itu, Arkib Negara dan KAMURA  Enterprise mengambil inisiatif bagi mengadakan pameran sempena mengenang 30 tahun pemergian Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.  Pameran yang julung kali diadakan itu mempamerkan koleksi terpilih busana milik Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad serta barangan peribadi Allahyarham yang jarang-jarang dipamerkan kepada umum. Turut dipamerkan juga adalah koleksi peribadi milik peminat setia Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad.

Majlis yang dihadiri beberapa tetamu kenamaan, ahli keluarga Dato' Sudirman Haji Arshad dan rakan media itu disempurnakan pelancarannya oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Menurut Jaafar Sidek bin Haji Abdul Rahman, Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, ''Penganjuran Pameran Warisan Sudir: Tribute kepada Penghibur No. 1 Asia ini merupakan sebuah pameran khas yang mempamerkan pelbagai koleksi Dato' Sudirman Haji Arshad dari busana, gambar, album nyanyian sehinggalah kepada koleksi peminat penyanyi tersohor itu yang turut menghiasi Galeri Sudirman yang terletak di Tingkat 2, Fahnrenheit 88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Penampilan dan imej unik Allahyarham Dato' Sudirman ini memberi impak yang besar kepada peminatya dan terus segar dalam ingatan rakyat Malaysia  sekalipun setelah pemergian beliau". 


Menurut rekod, kerjaya seni Allahyarham Dato' Sudirman Haji Arshad bermula ketika beliau memenangi Pertandingan Bintang RTM 1976. Bakat yang ada dalam diri beliau telah menonjolkan beliau sebagai seorang penghibur berbakat yang hebat dan memukau dalam sejarah industri seni tanah air. Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad menyertai pertandingan Bintang RTM semasa beliau masih bergelar siswa. Peringkat akhir pertandingan tersebut telah diadakan di Dewan Pay Fong, Ayer Keroh, Melaka pada 11 Ogos 1976. Antara lagu yang dinyanyikan beliau ialah “Seruling Bamboo” dan “Big Spender In The Caberet”. 

Antara pencapaian tertinggi Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad dan tetap diingati sehingga ke hari ini adalah penganjuran Konsert Gergasi di Jalan Chow Kit yang berjaya menghimpunkan hampir 100,000 orang bagi menyaksikan persembahannya. Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad juga berjaya menaikkan nama negara apabila beliau berjaya merangkul Anugerah Penghibur No.1 Asia ketika menyertai sebuah pertandingan di Royal Albert Hall, London pada tahun 1989. Kejayaan ini adalah kebanggaan Malaysia dan telah menunjukkan bahawa anak Malaysia berupaya untuk mencipta nama di persada antarabangsa. Semasa hayatnya, Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad dikenali dengan pelbagai nama gelaran oleh peminatnya seperti “The Singing Lawyer”, “Seniman Rakyat” dan “Elvis Malaysia”. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 22 Februari 1992 ketika berusia 37 tahun akibat radang paru-paru.

Gambar: Penulis bersama Datin Rodziah Arshad, kakak kepada Dato' Sudirman Haji Arshad. 

Pameran Warisan Sudir: Tribute kepada Penghibur No.1 Asia ini telah bermula pada 12 Ogos 2022 hingga 30 September 2022. Memilih Fahnrenheit 88 sebagai lokasi penganjuran, pameran khas ini diharap dapat mengimbau kembali zaman kegemilangan Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad dalam kalangan peminat-peminatnya sekaligus dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia khususnya di kalangan generasi muda hari ini.

0 comments :