Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


BELAGU BUKTI KEMAMPUAN SENI DAYANG

Persembahan Dayang diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) membuktikan kemampuan Dayang membawakan seleksi lagu klasik melayu tampak elegan dan mewah.

NABIL AHMAD, DOUGLAS LIM, DR J.RAM TAMPIL DALAM FAMILY FUED MALAYSIA BERMULA 27 MAC INI

Alami pengalaman penontonan baharu melalui Family Feud Malaysia di Astro yang diadaptasikan dari sebuah program tv terkenal luar negara.

ASTRO RAIKAN RAMADAN DENGAN SAJIAN PELBAGAI RANCANGAN DAN PROGRAM MENARIK

Sempena bulan Ramadan penuh keberkatan, Astro tampil meraikan Ramadan dengan pelbagai karya tontonan khususnya buat pelanggan Astro.

ANTARA MITOS DAN FANTASI. HARUM MALAM SETARAF FILEM SERAM HOLLYWOOD?

Bukan sahaja sebagai sebuah karya seram tempatan yang berbeza, namun Harum Malam wajar diakui sebagai sebuah filem Malaysia bertaraf antarabangsa.

VIU DAN ASTRO JALIN KERJASAMA STRATEGIK?

Alami pengalaman penontonan baharu melalui kerjasama strategik antara viu dan ASTRO yang mampu membuka lebih luas pasaran dalam bidang penyiaran dengan pelbagai rancangan terbaik seluruh Asia.

Jumaat, 30 September 2022

‘DON’T LOOK AT THE DEMON’ ANTARA FILEM SERAM MALAYSIA PERTAMA MEMASUKI PASARAN AMERIKA & DEBUT DI LEBIH 250 PAWAGAM DI AMERIKA UTARA, BERMULA 6 OKTOBER 2022

YB Datuk Zahidi Zainul Abidin, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) meraikan tayangan global ‘Don’t Look at the Demon’ sebuah filem seram tempatan yang unik menampilkan pelakon-pelakon Hollywood yang akan kepawagam di lebih 20 negara. ‘Don’t Look at the Demon’ juga merupakan filem Malaysia pertama yang ditayangkan di Amerika Syarikat, sekali gus membuka jalan untuk kejayaan antarabangsa dalam produksi tempatan masa hadapan.

Filem ini mengikuti kisah sekumpulan penyiasat paranormal Amerika yang telah mengembara ke Bukit Fraser, Malaysia, untuk menyiasat kejadian ghaib di sebuah rumah yang dibina pada awal 1970-an. Apa yang lebih mengejutkan, kru mendapat lebih daripada yang ditawarkan sekiranya mereka berjaya membongkar rahsia gelap tentang rumah yang penuh dengan larangan ritual Thai kuno.

Selebriti Hollywood, Fiona Dourif (terkenal dengan peranannya dalam francais Chucky & BBC America's Dirk Gently, The Blacklist, Christopher Nolan's Tenet, dll.), Harris Dickinson (terkenal dengan wataknya dalam Maleficent: Mistress of Evil, The King's Man, Triangle of Sadness ; pemenang Palme d'Or 2022, dsb.) antara personaliti terkenal lain yang turut menghidupkan filem itu dengan persembahan bertaraf dunia yang pasti memukau sesiapa yang menontonnya.

Berdasarkan peristiwa sebenar, pengarah dan penerbit filem 'Don't Look at the Demon', Brando Lee telah melakukan banyak perkara untuk meneliti dan memahami proses ritual purba untuk menggambarkan representasi yang paling tepat dari segi budaya bagi ‘hantu’ tersebut.

Beberapa perundingan telah dibuat dengan sami Thai yang sangat berpengalaman dalam eksorsisme untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang prosedur dan ‘senjata’ yang digunakan untuk menghalau roh-roh itu. Penambahan bintang Hollywood membolehkan filem itu boleh dikaitkan dengan sebahagian besar orang di dunia dan menjana minat global dalam pendekatan uniknya untuk menggambarkan perspektif Amerika tentang cerita rakyat tradisional Asia.

Sememangnya, filem ini telah memikat penonton dari seluruh dunia dan akan ditayangkan di lebih 20 negara termasuk - Vietnam, Thailand, Filipina, Singapura, Mongolia, Kemboja, Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Poland, dan beberapa negara lain. Selain itu, filem ini juga menetapkan penanda aras untuk produksi tempatan kerana ia membuat debut di Amerika, menjadikannya filem Malaysia pertama yang pernah ditayangkan di pawagam Amerika, dan lebih menakjubkan, ianya akan ditayangkan di lebih daripada 250 pawagam di rantau Amerika Utara.

YB Datuk Zahidi Zainul Abidin, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) berkata, “Filem ini memberi peluang kepada orang dari negara lain untuk mempelajari dan memahami budaya, tradisi dan tarikan pelancong di Malaysia, yang seterusnya boleh menyumbang kepada peningkatan sektor pelancongan. Memandangkan kami telah memasuki pasaran Amerika, kami boleh berusaha untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dengan menyasarkan untuk memperoleh anugerah seperti Oscar, Emmy, dan sebagainya, dalam masa terdekat.”

Brando Lee, Pengarah dan Penerbit 'Don't Look at the Demon' berkata, "Dengan keluaran global 'Don't Look at the Demon' saya berharap dapat memberi inspirasi kepada pengeluar tempatan untuk mencapai bintang dan terus maju untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa. Penerbitan filem ini bukan sahaja kejayaan saya, tetapi ia adalah kejayaan kita semua di Malaysia, dan saya amat berbangga untuk menetapkan penanda aras ini dan membawa kebanggaan kepada negara kita. ‘Don’t Look at the Demon’ selama-lamanya akan menjadi lambang untuk mengingatkan Malaysia bahawa tiada matlamat yang terlalu besar jika anda menetapkan fikiran anda kepadanya.”

Menariknya, filem ini mendapat sentuhan penulis skrip terkenal Malaysia, Alfie Palermo. Alfie yang banyak menulis karya drama dan filem antaranya Juvana, Sembunyi:Amukan Azazil, Gengster Wars, Projek Pop, Incredible Tales Series, Dollah Superstar, Gila Baby, Pekak, Jejak Wariors, Juvana 2, J Revolusi, Mandatori, Polis Evo 2, Pusaka, Black (Malaysia series), Projek: Anchor SPM, J2: J Retribusi, Dukun Diva, The Medium dan One Cent Thief ini merupakan penulis nashah 'Don't Look At The Demon' yang akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 6 Oktober 2022. 




Khamis, 29 September 2022

'KALAU TIDAK ADA KOMPOSER, TAKKAN ADA LAGU : JADI MANAKAH KUALITI MUZIK PADA HARI INI?, KOMPOSER DAN PENCIPTA LAGU TERSOHOR, S.ATAN

MUZIK DAN LAGU : DARI KACA MATA S.ATAN

Bagaimana muzik dan lagu dicipta?. Kenapa rakaman muzik pada zaman dahulu berbeza dengan hari ini dan mengapa komposer hari ini tidak sama dengan kehebatan komposer era terdahulu?.Persoalan sedemikian bukan asing bagi komposer, pencipta lagu dan penggubah muzik tersohor, S. Atan. 

Hashim Said atau  S.Atan antara tokoh muzik ternama yang banyak menghasilkan kira-kira 1,000 buah lagu dan kebanyakkan karya yang dihasilkannya melatari pelbagai zaman. Datuk Jamal Abdillah, Sudirman Arshad, Azlina Aziz, Datuk Sharifah Aini, Herman Tino, Carefree, Jay Jay dan Dato' Sri Siti Nurhaliza antara ratusan penyanyi tempatan yang pernah mendapat khidmat S.Atan sebagai pencipta lagu. Kredibiliti S.Atan mencipta melodi lagu terbukti apabila banyak lagu ciptaannya menjadi begitu popular, bahkan diminati pelbagai lapisan masyarakat. 

'Penghayatan lirik yang sempurna  dibantu proses rakaman secara manual di dalam studio dengan disiplin masa', adalah teras utama kejayaan S.Atan sebagai pengkarya sejati industri seni dan muzik tanah air. Menurutnya, disiplin adalah kejayaan utama seseorang penyanyi disamping bakat dimiliki, namun jangan dilupai bahawa nilai seni sesebuah karya muzik adalah terletak pada hati seseorang pengkarya. Jika karya mereka dekat dengan hati, maka karya muzik tersebut mampu bertahan sepanjang zaman.


Ketika ditanya mengenai legasi muzik hari ini, S.Atan optimis mengatakan generasi muzik kini perlu banyak belajar dari mereka yang sememangnya berpengalaman luas sebagai komposer, penulis lirik, pencipta dan penggubah muzik. Rakaman dahulu tidak sama dengan hari ini, kerana dahulu kita merakam sesebuah lagu menggunakan muzik secara langsung. Muzik dirakam dengan teliti melalui gabungan antara pemuzik, komposer, penulis lirik dan penyanyi. Ini memakan masa terlalu lama, namun jika dibandingkan dengan zaman kini ia sudah berubah kerana kebanyakkan dari anak muda kita khususnya komposer baharu hanya mencipta lagu menggunakan komputer. Jadi, dimanakah nilai dan kualiti sesebuah muzik itu?. Bukan semua begitu, namun ada segelinitir yang masih mengekalkan elemen asal penerbitan sesebuah muzik dan lagu. 

Walaupun kita berdepan dengan kemajuan teknologi sehingga memaksa dunia muzik beralih kepada platform digital, namun bagi S.Atan beliau tidak teruja dengan perubahan itu dan menurutnya , 'Adakah perubahan itu mampu bertahan lama? dan bayangkan apa akan terjadi kepada anda (pengkarya muzik), jika karya yang anda hasilkan itu untuk digital tanpa ada album fizikal?. Katakanlah satu hari nanti digital ini akan hilang dan lenyap, apakah anda layak digelar pengkarya muzik?', tegas S.Atan menutup bicara bersama penulis yang juga penerbit program Fragmen ini di Studio Digital Mixstage, FINAS.

Tonton perkongsian menarik komposer, pencipta lagu dan penggubah muzik tersohor S.Atan mengenai 'Muzik Dan Lagu' menerusi Episod 3 Muzik Satu Legasi yang telah disiarkan di YouTube Finas Malaysia baru-baru ini. 

Tonton juga perkongsian Datuk Habsah Hassan, Dato' DJ Dave dan ramai lagi dalam episod sebelumnya. Klik di sini


Selasa, 27 September 2022

3 JANDA MELAWAN DUNIA KINI DI NETFLIX

 

Walaupun tidak sepopular filem-filem lain, bagi saya, '3 Janda Melawan Dunia' adalah filem Malaysia yang terbaik pernah saya tonton. Filem pertama arahan Hyrul Anuar itu merupakan karya filem yang selayaknya diletakkan sebagai 'filem kelas pertama', memandangkan penceritaan filem ini cukup mudah, penuh makna, menghiburkan dan penuh warna-warni. 

Berkisarkan tentang bagaimana tiga orang janda cuba berusaha mencari duit bagi mendapatkan tiket untuk menonton sebuah konsert terakhir penyanyi lelaki kegilaan ramai bernama Aiman Zalini. Kemunculan watak Aiman, dilakonkan oleh Norman Hakim berjaya meletakkan naskhah ke-20 lakonannya di dalam industri filem tanah air. Walaupun sedikit skeptikal dengan lakonan beliau, tapi saya percaya Norman berjaya membawakan watak Aiman Zalini yang dikatakan tribute kepada penyanyi lelaki Anuar Zain. Pelbagai suka duka berlaku sehinggakan terjadi suatu perkara yang tidak diingini. 

Tiga Janda Melawan Dunia boleh dikatakan sebuah filem muzikal yang acuannya seperti menonton filem-filem iklan komersial, memandangkan keseluruhan shot, sinematografi dan penggunaan warna dalam filem ini membuktikan filem terbitan Multimedia Entertainment, Directors Think Tank, Astro, Six Fun Media dengan kerjasama Golden Screen Cinemas ini diterbitkan pasukan kreatif berpengalaman luas di dalam bidang filem dan hiburan tanah air. 

Diarahkan Hyrul Anuar, graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Malaysia (ASWARA), 'Tiga Janda Melawan Dunia' kini boleh ditonton di platform streaming OTT Popular, Netflix. Peminat filem tanah air, harus meletakkan filem ini dalam seleksi wajib tonton, memandangkan ia bukan calang-calang filem. Ia filem kita tapi wajahnya berbeza.

Membariskan pelakon handalan tanah air diantaranya, Normah Damanhuri, Raja Azura, Khadijah Tan, Rosnah Mat Aris, Norman Hakim dan ramai lagi, '3 Janda Melawan Dunia', kini boleh ditonton di Netflix. 

Info Hiburan: Filem ini dikatakan skripnya ditulis untuk Anuar Zain, tetapi diatas sebab-sebab tertentu, watak Aiman Zalini itu diberikan kepada Norman Hakim. Benarkah?. Tepuk Dada Tanya Selera. 


Isnin, 26 September 2022

KABIR BHATIA & AJAMI HASHIM MENGGANAS DALAM 'TALBIS IBLIS', AKAN DATANG 20 OKTOBER 2022 INI.


Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31, Kabir Bhatia kembali dengan sentuhan terbaru menerusi filem genre seram Talbis Iblis, terbitan oleh gabungan penerbit hebat tanah air, Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures (M), A Next Start Production dan MM2 Entertainment bermula 20 Oktober ini di seluruh pawagam Malaysia. Terdahulu, karya ini menjadi filem kedua dari Malaysia yang mengadakan Tayangan Perdana Dunia dan di senarai pendek  di Far East Film Festival  Ke-24 di Udine, Itali pada April lalu. Selain itu, filem ini turut mengadakan tayangan perdana di Bucheon International Fantastic Film Festival 2022 ke-26 dan Neuchâtel International Fantastic Film Festival 2022 ke-21. 


'Talbis Iblis’ yang membawa maksud tipu daya serta perangkap yang di buat oleh iblis untuk menyesatkan manusia, cukup tepat menggambarkan tentang subjek utama yang diangkat dalam filem ini. Ia mengisahkan tentang seorang gadis, Hajar yang dihantar ke satu tempat jauh dari ibu kota bagi melahirkan bayinya secara rahsia. Seorang bidan, Mak Ju telah menjaga Hajar sebelum dan selepas bersalin, namun hakikatnya mempunyai agenda tersendiri. 



Sidang Media Filem Talbis Iblis telah diadakan baru-baru ini bagi melancarkan treler, poster dan memperkenalkan barisan pelakon secara rasmi. Setiap adegan babak telah dijayakan oleh para pelakon hebat tempatan seperti Azira Shafinaz, Nasha Aziz, Zul Ariffin, Amir Nafis, Jay Iswazir, Sherie Merlis, Izzy Reef, Daniella Sya, Zaftfarrel Mikhael Felton dan Putri Syahadah Nurjannah. Ini juga merupakan kemunculan semula di layar perak oleh pelakon popular dan pemenang Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke 17 menerusi filem seram thriller saspens, Trauma (2004) iaitu Nasha Aziz. 

Menurut Penerbit Eksekutif Filem & Wakil Infinitus Gold Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, “Filem Talbis Iblis mempunyai kekuatan tersendiri dengan menggabungkan semua aspek seperti pengarah yang hebat, pelakon yang cemerlang dan cerita yang berbeza. Seperti umum tahu, penonton tempatan sering dihidangkan dengan pelbagai filem seram dari barat, termasuklah dari negara Thailand, Indonesia dan Jepun. Jadi kami sebagai penerbit ingin mempersembahkan sesuatu yang unik dengan mengangkat budaya serta kepercayaan Melayu, termasuklah isu sosial yang amat dekat dengan masyarakat kita, di samping menonjolkan adegan serta makhluk seram ke dalam filem khusus buat peminat naskhah seram di luar sana.” 


Penerbit Eksekutif & Wakil Jazzy Pictures (M) Sdn Bhd, Joanne Goh menyatakan, “Penglibatan Jazzy Pictures (M) dalam filem Talbis Iblis selaku penerbit merupakan satu pengalaman baik buat kami kerana berpeluang bekerjasama dengan tenaga kreatif, para pelakon serta kru produksi yang hebat. Tambah mengujakan filem ini telah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa sebelum tayangan rasminya di Malaysia. Justeru, kami harap ia mampu menjadi pemangkin buat karya-karya tempatan lain untuk dipamerkan kepada dunia. Kami juga menjanjikan filem ini mampu memberi kepuasan kepada penonton semasa menontonnya di layar perak kelak.”

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad mengulas tentang kerjasama menghasilkan filem ini, ia memberi ruang buat Astro Shaw untuk mengukuhkan lagi hubungan baik dengan penerbit-penerbit tempatan dengan bergabung idea untuk menghasilkan sebuah karya yang mantap. “Industri filem tempatan dilihat dalam prestasi dan momentum positif sekarang ini. Kehadiran Talbis Iblis pada Oktober hadapan adalah masa yang tepat untuk memeriahkan lagi pawagam dengan menawarkan genre berbeza berbanding filem-filem yang sedia ada di layar perak sekarang kepada penonton. Menariknya, Talbis Iblis membawakan subjek cerita yang amat dekat dengan penonton Malaysia serta diarahkan oleh pengarah cukup berkaliber yang sentiasa berjaya menyentuh perasaan penontonnya menerusi sentuhan magisnya. Jadi, nantikan kehadiran filem ini yang mampu memberikan nilai tontonan berbeza kepada penonton.”


A Next Star Production Sdn Bhd, Megan Fong berkata, “Kami rasa amat teruja filem Talbis Iblis kini bersedia untuk temui penonton tidak lama lagi. Meskipun proses pos produksi filem ini dilakukan ketika dalam fasa pandemik Covid-19, namun ia berjaya disempurnakan. Ia membuktikan gabungan usaha sama bakat-bakat kreatif tempatan mampu menghasilkan sebuah karya terbaik untuk industri filem Malaysia.”

General Manager of MM2 Entertainment, Cik Angelin Ong berkata “Menerusi filem seram Talbis Iblis, penonton Malaysia dapat menyaksikan sebuah lagi filem yang mampu menyentuh perasaan dengan elemen seram, drama, berdebar, sedih dan banyak lagi. Kami rasa berbesar hati berpeluang bekerjasama sekali lagi dengan pasukan yang jayakan filem Sangkar dan Kabir Bhatia.”


OST bagi filem Talbis Iblis bertajuk ‘Harapan Penyambung Mimpi’ nyanyian Indah Ruhaila, hasil lirik oleh Habsah Hassan dan komposer Heidi Moru dan Lo Shi Seng.

Menariknya, filem ini skrip dan lakon layarnya ditulis oleh penulis blog terkenal, Ajami Hashim. Nantikan filem seram Talbis Iblis di pawagam seluruh tanah air bermula 20 Oktober depan. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak. 


untuk menonton trailer filem ini, sila klik poster dibawah:-



Ahad, 25 September 2022

MALAM AMAL NOSTALGIA LAGENDA IMBAU KENANGAN 4 BINTANG LEGENDA SENI SUARA TANAH AIR

Walaupun kita masih belum menang, namun pandemik Covid-19 harus dilihat dari sudut positif. Penganjuran acara hiburan samada tayangan filem mahupun konsert secara kecil-kecilan sehinggalah besar-besaran menjadi titik tolak kepada usaha pelbagai produksi dalam dan luar negara bagi menterjemahkan seni dalam konteks visual mahupun persembahan. 

Sebagai alternatif bagi membawa seni muzik ke satu tahap yang lebih baik, Persatuan Karyawan Malaysia dan NERV Global pada 22 September lepas telah menandatangani perjanjian memorandum kerjasama antara dua pihak bagi menganjurkan 'Malam Amal Nostalgia Lagenda'. Bakal berlangsung pada 15 Oktober 2022 di Kelab Golf Diraja Perak, Malam Amal Nostalgia Lagenda tersebut akan menampilkan beberapa bintang hebat seni suara tanah air, antaranya Zur Eda, Fredo Flybaits, Shuib Freedom, Jay Jay Carefree dan penampilan istimewa Iqa Nasra Mentor 5 serta Datin Maylene Yong. 



Majlis amal yang dijangka akan dihadiri oleh 600 hadirin di mana manjoritinya merupakan para usahawan tempatan, syarikat GLC dan agensi penyokong industri keusahawanan negara ini juga mampu menarik minat mereka dalam memberi peluang kepada para artis legenda ini untuk mengadakan persembahan di majlis-majlis korporat dan sosial anjuran organisasi dan rangkaian niaga mereka. 

Ketika berucap semasa menandatangi MOU tersebut, Dato' Freddie Fernandez, Presiden Karyawan menyifatkan pemilihan 4 bintang legenda tersebut untuk beraksi di Malam Amal Nostalgia Lagenda itu adalah kerana mereka merupakan idola sepanjang zaman yang mampu memberikan inspirasi menerusi kehebatan suara, keasyikan melodi dan keindahan lirik yang membekas di dalam hati sanubari para pendengar sehingga kini. 

Menarik dan istimewanya malam amal tersebut nanti adalah dengan kehadiran eksklusif Duli Yang Amat Mulia Raja Di Hilir Perak dan Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak. Disamping itu, malam amal tersebut nanti juga akan menampilkan 'penganugerahan khas' kepada beberapa penerima Anugerah United Entrepreneurs Awards (UEA) berdasarkan rekod kecemerlangan dalam menyokong ekosistem keusahawanan nasional. Pemilihan penerima anugerah berprestij tinggi ini dilaksanakan oleh Panel Penasihat yang dianggotai oleh empat Presiden NGO Keusahawanan dan dipengerusikan oleh seorang Profesor Kepimpinan, Perniagaan Keluarga, Inovasi dan Keusahawanan yang juga merupakan Pengarah Akademi Keusahawanan institusi pengajian tinggi tempatan yang tersohor.


Malam Amal Nostalgia Lagenda yang akan berlangsung 15 Oktober depan, mengalu-alukan kedatangan peminat muzik dan para usahawan tempatan, di mana jualan bagi tiket masuk adalah secara meja tempat duduk di mana harga jualan bermula dari RM2,000 sehinggalah mencecah RM10,000 bagi kedudukan 12 meja hingga satu meja eksklusif. Bagi yang berminat, anda bolehlah menghubungi Talian Hotline di 016 867 1277. 

                                                                 Disiarkan pada: 25 September 2022 @ 2.22 pagi


Ahad, 18 September 2022

BUKAN SEKADAR KONTROVERSI, FILEM MAT KILAU TERJAH PASARAN ANTARABANGSA DI NETFLIX.

Apabila saya dimaklumkan mengenai filem Mat Kilau yang akan ditayangkan di Netflix, langsung saya tidak terkejut memandangkan karya ini memang selayaknya ditayangkan di platform atas talian tersebut. 'Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan', merupakan filem ke-11 arahan Syamsul Yusof yang mengutip hampir RM100 juta di pawagam. Filem terbitan Studio Kembara itu memecah tradisi perfileman apabila berjaya menembusi tembok keselesaan filem tempatan sedia ada dengan penayangan hampir 3 bulan lamanya di semua pawagam seluruh Malaysia, kesannya filem yang menampilkan Dato' Ady Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As'ari, Ali Karimie, Khir Rahman, Datuk Rahim Razali, Datuk Jalaluddin Hassan, Yayan Ruhian dan ramai lagi itu terpilih untuk tayangan di Indonesia bermula 31 Ogos 2022. 

Walaupun berjaya mengatasi kutipan beberapa filem antarabangsa, namun filem Mat Kilau yang telah ditayangkan di Netflix bermula 16 September lalu, dikecam warganet apabila masing-masing memberikan persepsi negatif mengatakan karya Syamsul itu mempunyai 90% masalah teknikal. Namun persoalannya, adakah yang memberikan komen itu sudah menonton filem ini dipawagam?. 

Dalam satu kenyataan di instagram miliknya, pengarah filem Mat Kilau yang juga merupakan anak kepada penerbit filem tersohor, Syamsul Yusof optimis mengatakan komen dari penonton tersebut adalah asam garam industri hiburan dan perfileman tanah air. "Saya bersyukur, karya saya masih lagi diterima, dan terima kasih buat mereka yang menontonnya", ujar Syamsul membidas beberapa kenyataan negatif berhubung kontroversi penayangan filem tersebut di Netflix.

'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan', kini ditayangkan di Netflix. Peminat filem tanah air jangan lepaskan peluang menonton filem ini. 


Isnin, 12 September 2022

ABANG LONG FADIL 3 RAIH KUTIPAN RM10 JUTA DALAM 4 HARI TAYANGAN DI PAWAGAM

Filem komedi aksi, Abang Long Fadil 3 yang ditayangkan di pawagam secara rasmi sejak 8 September lalu, telah berjaya meraih kutipan RM10 juta setakat jam 12 tengah hari ini. Sambutan baik ini membuktikan penonton masih meletakkan kepercayaan pada karya-karya tempatan dan sekali gus memperlihatkan industri filem Malaysia kembali meriah. 

Wakil Penerbit Abang Long Fadil 3 dan merangkap Pengarah Skop Productions, Datuk Yusof Haslam berkata, “Syukur Alhamdulillah atas sambutan memberangsangkan filem Abang Long Fadil 3. Sebagai penerbit, tentunya keutamaan kami mempersembahkan naskhah yang dihasilkan ini mampu diterima serta memberi nilai hiburan kepada penonton. Sejak ditayangkan, kami telah menerima pelbagai reaksi daripada penonton selepas menyaksikan Abang Long Fadil 3 dan kami amat berterima kasih kepada semua atas sokongan terhadap filem ini.”

kredit gambar: Gempak

Filem Abang Long Fadil 3 menyaksikan Fadil kembali dengan misi terbaru yang lebih berprofiltinggi. Fadil perlu menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han, namun dalam pada yang sama Fadil diburu oleh King Cobra atas dendam dahulu. 

Saksikan filem daripada francais komedi aksi no 1 Malaysia, Abang Long Fadil 3, kini di pawagam seluruh Malaysia, Brunei, Singapura. Gunakan #AbangLongFadil3 dan #ALF3 di platform media sosial bagi berkongsi reaksi anda mengenai filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak. 

Khamis, 8 September 2022

BERTEMAKAN INDUSTRI MUZIK POP 60-AN, SIMPOSIUM MUZIK IPOH BERMULA 21 OKT HINGGA 23 OKT 2022.

Simposium Muzik Ipoh yang akan berlangsung selama tiga hari di sekitar Ipoh bermula 21 hingga 23 Okt ini bakal mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi di Ipoh selain dapat mengetengahkan industri muzik kepada generasi muda.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed berkata program tersebut merupakan edisi keempat bertemakan Pop 1960-an: Emulasi, Revolusi dan Legasi.

“Program ini antara lain bagi mengumpul input dan pelbagai perspektif mengenai bidang muzik melalui pembentangan makalah oleh panelis jemputan dari dalam negara dan negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia bagi membuka perbincangan dan wacana mengenai kepentingan, pengaruh dan kesan gerakan seni muzik ke atas masyarakat khususnya generasi muda.

“Selain simposium sebagai program utama, terdapat program menarik seperti forum, bengkel, pameran dan sebuah konsert khas yang bakal dijayakan oleh para seniman ternama dari dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program tersebut di People Of Remarkable Talents (PORT) di Ipoh hari ini.

Dalam perkembangan lain, Nolee Ashilin menasihati orang ramai agar tidak mengunjungi tempat percutian dan perkelahan jika cuaca buruk bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini susulan kematian seorang remaja lelaki di Air Terjun Bukit Berangkai, Kampar dua hari lepas. 

“Di kawasan air terjun tersebut terdapat papan tanda amaran bagi mengelak berlakunya kejadian lemas selain dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada,” tambahnya.

Dilapor pada 6 Sept lepas, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun lemas sewaktu mandi di air terjun Bukit Berangkai, Kampar pada kira-kira jam 11.15 pagi dan hasil pemeriksaan oleh pihak polis daerah Kampar mendapati kawasan kejadian merupakan kawasan berisiko dan kerap berlaku kematian.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Simposium ini, sila klik di sini

- Bernama

Rabu, 7 September 2022

KONSERT JELAJAH RAMLI SARIP 2022 CINTA DI SEBALIK MUSIM AKAN DATANG OKTOBER 2022 INI...

PAPA ROCK JELAJAH LAPAN LOKASI DEMI ALBUM RASA MULAI OKTOBER 2022 

Set Komemoratif Emas Ramli Sarip turut diperkenalkan sempena penganjuran Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022 Cinta Di Sebalik Musim. Album RASA iaitu album solo yang dihasilkan penyanyi rock legenda, Datuk Ramli Sarip muncul ketika aktiviti seni terhenti ekoran pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Meskipun berdepan dengan kesukaran untuk mempromosikan buah tangan terbaharunya itu namun Ramli tidak pernah putus asa dan terus memanjat doa supaya album yang disifatkan sebagai cukup istimewa itu dapat disampaikan kepada penggemar setianya. Ternyata doa penyanyi yang mendapat jolokan Papa Rock ini dijawab Tuhan apabila peluang untuk mempromosikan album itu datang dengan pakej yang lebih besar iaitu menerusi penganjuran Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022 Cinta Di Sebalik Musim bermula Oktober depan. 

Sebanyak lapan lokasi sudah dikenal pasti iaitu Johor Bahru (7 Oktober), Melaka (14 Oktober), Kuala Lumpur (29 Oktober), Sabah (12 November), Sarawak (20 November) dan Kelantan (25 & 26 November). Berkongsi keterujaan mengenai konsert yang bakal dijayakannya itu, Ramli memaklumkan beliau juga tidak keseorangan apabila persembahannya itu nanti turut ditemani artis undangan iaitu Datuk Nash dan Man Keedal (KL) Dayang Nurfaizah (Sabah) dan Kamrulbahrin Husin (Kelantan). 

“Kadang-kadang ada penganjur yang mahukan artis jemputan untuk menyerikan lagi konsert saya itu dan perkara itu tak jadi masalah buat saya. Dan tak salah rasanya untuk mereka sama-sama meraikan dan secara tidak langsung dapat juga saya berkongsi rezeki dengan mereka. Kehadiran mereka ini juga dapat menambah warna dalam konsert itu. Lagipun mereka yang diundang ini masing-masing mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Nash dan Man Keedal sudah sebati dengan muzik saya kerana saya pernah mencipta lagu untuk mereka. Dayang pula sejak dari dulu lagi saya sudah nampak ciri-ciri kemelayuan dalam dirinya dan kita pun pernah bekerjasama. Di Kelantan, saya mengundang penyanyi tradisional iaitu Kamrulbahrin yang boleh menerapkan elemen budaya seperti wayang kulit dalam persembahan,” katanya. Mengulas konsep persembahan, penyanyi kelahiran Singapura ini menjanjikan kelainan dalam setiap lokasi yang bakal disinggahinya. 

“Tak semua tempat persembahannya sama. Apa yang boleh saya beritahu, persamaannya hanyalah 70 peratus sahaja manakala 30 peratus lagi bergantung kepada situasi. Selera penonton berbeza-beza kerana ada yang suka muzik yang keras, ada yang lebih menyukai tradisional dan tak kurang pula yang gemar genre puisi. Walau apapun yang mereka suka, terasnya sudah tentu muzik rock, Budaya pop perlu ada,” ujar penyanyi lagu Perjalanan Hidup ini. 

Sempena penganjuran Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022- Cinta Disebalik Musim dan juga sebagai apresiasi terhadap bekas vokalis kumpulan Sweet Charity itu, pihak Silver Gold Collector Club Official Empire (SGCC) & NINOX IDEA akan berkolaborasi bersama RASA KARYA untuk menghasilkan set komemoratif emas Ramli Sarip Set komemoratif emas Ramli Sarip ini akan didatangkan dengan satu unit bar emas seberat 0.5 gram (ketulenan 999.9) dan akan disertakan sekali dengan album Rasa dalam bentuk edisi tehad. 

Untuk peminat Ramli Sarip, jangan lepaskan peluang untuk memilikinya kerana edisi ini hanya ada 500 set sahaja. Maklumat lanjut mengenai Set Komemoratif Emas Ramli Sarip ini boleh didapati di seluruh saluran media sosial rasmi Ramli Sarip. Sebagai penghargaan kepada peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan, mereka yang membeli cakera padat (CD) dan vinyl album rasa mendapat diskaun menarik hanya dengan menunjukkan tiket konsert di kaunter merchandising. Tiket untuk menyaksikan konsert boleh didapati dengan melayari laman web www.ilassotickets.com

Album Rasa Datuk Ramli Sarip dlm bentuk vinyl dan CD

Selasa, 6 September 2022

JAPANESE FILM FESTIVAL 2022 OFFICIALLY LAUNCHED!

The second Japanese Film Festival in 2022 was officially launched yesterday, ready to entice all film lovers and new audiences alike with the best of Japanese cinema. The Opening Ceremony was successfully held at GSC Mid Valley graced by the presence of Ms. Koh Mei Lee, Chief Executive Officer, Golden Screen Cinemas, H. E. Mr. TAKAHASHI Katsuhiko, Ambassador of Japan to Malaysia, and officiated by YBhg. Datuk Hajah Saraya binti Arbi, Secretary General, Ministry of Tourism, Arts and Culture (MOTAC).

“This year is the 35th Anniversary for GSC. It has been very challenging for GSC over the past two years due to cinema lockdowns. Although the road ahead is still tough, we are encouraged by the strong support of our movie fans and film festival partners,” shared Ms. Koh Mei Lee in her speech. She also shared that GSC International Screens will be turning 23 years old this year, and under this umbrella, they were able to collaborate and promote cultural awareness via the international movies specially brought in by the various embassies here in Malaysia.

“Films have very strong impact and potential to reach a big audience, which makes film an important and unique art form. Therefore, films have become a powerful tool for storytelling and a creative platform to express emotions, culture, history and futuristic ideas across people of diverse origins and social backgrounds,” said YBhg. Datuk Hajah Saraya binti Arbi. She hopes that this Japanese Film Festival will continue to be a window for Malaysians to further understand Japanese customs, culture and social development.

“By watching films you can get a lot of information and insight about people, culture, places and can even learn a new language. By watching the Japanese films during this festival, I hope you will be motivated to know more about the Japanese values, culture and way of life, and be enticed to visit Japan,” said the Ambassador of Japan to Malaysia, H. E. Mr. Takahashi Katsuhiko.

He further added, “the 40th anniversary of the Look East Policy is a good opportunity to shed light on the past achievements and reflect on the bilateral relations for the future. In addition, I would like to take this opportunity to open up prospects for how Japan and Malaysia should learn from each other for the coming decades.”

The Japanese Film Festival 2022 will be held at participating GSC cinemas in the Klang Valley (GSC Mid Valley, GSC 1 Utama and GSC NU Sentral) from 8 to 14 September followed by Penang (GSC Gurney Plaza) from 15 to 18 September and Johor Bahru (GSC Paradigm Mall JB) from 22 to 25 September. JFF will then be touring East Malaysia to Kuching (GSC CityONE Megamall and GSC The Spring) and Kota Kinabalu (GSC Suria Sabah) from 6 to 9 October.

All films are presented in Japanese with English subtitles. Tickets will be sold at RM 9.50 except for “Just Remembering” which will be sold at prevailing ticket pricing.

For more information, visit www.jfkl.org.my and www.gsc.com.my.

Isnin, 5 September 2022

CIKGU VS HANTU, AGAK SANTAI TAPI....

Mempertaruhkan elemen komedi seram, Cikgu Vs Hantu antara karya terbaharu Liyana Jasmay yang bakal menemui penonton dan peminat filem tanah air bermula 8 September 2022. Memilih Astro First sebagai platform tayangan, Cikgu VS Hantu antara karya komedi seram Liyana Jasmay yang pertama arahannya selepas drama The Gadis dan Life Lila. Berkisarkan kisah kematian misteri di sebuah sekolah, Cikgu Vs Hantu antara karya Liyana yang mengajak penonton untuk mengimbau kenangan yang sememangnya wujud di persekitaran kita, lebih lebih lagi ia sebuah kisah misteri yang menyeramkan.

Mengisahkan tentang permusuhan antara Cikgu Daud dan Cikgu Samad dalam merebut untuk menjadi cikgu terbaik. Namun, persaingan tersebut telah merapatkan hubungan mereka tanpa sedar apabila muncul hantu Cikgu Syima dan Ismail. Kematian Cikgu Syima dan Ismail di sekolah mereka meninggalkan tanda tanya siapakah yang membunuh mereka. Persoalan demi persoalan terungkai dalam Cikgu Vs Hantu antara karya seram tempatan yang agak ringan dan santai. 

Namun, apa yang mengecewakan sedikit dalam cerita ini adalah penampilan Dato' Afdlin Shauki dan Che Puan Juliana Evans yang dirasakan tidak sesuai dengan karektor yang ditampilkan. Afdlin yang terkenal dengan lakonan dan pengarahannya menerusi filem-filem hebat seperti Buli, Buli Balik, Papadom, Setem dan banyak lagi seumpamanya; tidak wajar menggalas peranan sebagai Cikgu Daud walaupun Afdlin menegaskan bahawa penampilannya dalam Cikgu Vs Hantu adalah sekadar menghargai persahabatannya dengan Liyana Jasmay. Begitu juga dengan keterlibatan pelakon Juliana Evans yang dirasakan tidak menjadi walaupun lakonannya dalam filem ini bersifat santai, namun Liyana selaku pengarah filem ini wajar memilih pelakon bukan berdasarkan persahabatan yang terjalin, tetapi kesesuaian karektor yang dibina bahkan boleh menjadi lebih baik sekiranya diberikan kepada pelakon lain. 

Walaupun begitu, filem ini cukup menghiburkan dan menampilkan beberapa pelakon lain, antaranya Khir Rahman, Shuk Sahar, Zahiril Adzim, Fathil Dani, Mohd Fadhli Masoot, Muhamad Muntazar Ghani dan penampilan cukup istimewa dari Syafiq Kyle. 

Bagi peminat karya komedi seram yang bersifat santai, filem ini mungkin sesuai untuk anda. Saksikan di pawagam rumah anda melalui Astro First bermula 8 September 2022. 

Ulasan keseluruhan: 3/5

Ahad, 4 September 2022

FAHAM DULU MAKNA FILEM DAN WAYANG!

Pengarah dan pengkritik filem terkenal, Hassan Muthalib dalam satu kenyataan di laman facebooknya baru-baru ini telah memuat naik tafsiran tentang makna 'filem' dan 'wayang'. Huraian terperinci beliau itu muncul ekoran satu program hiburan bertajuk 'spotlight' yang memerlukan beliau menterjemahkan beberapa maksud dan persoalan mengenai industri hiburan dan filem dari konteks seorang pemikir. WAJIB TONTON bagi edisi Ahad ini akan berkongsi apakah cerita di sebalik makna 'pengkritik' dalam industri bersama Hassan Abdul Muthalib. 


Adakah kritikan filem dari pengkritik menghukum penerbit & pengarah?

Pertama sekali, kena bezakan ‘filem’ dengan ‘wayang’. Filem yang bertaraf wayang itu kosong - walaupun dibuat oleh sarjana. Tujuannya - hanya nak buat duit. Tak ada subteks, maka tak wajar diperkatakan. Dan kalau dibuat secara sambil lewa, menyalahi hukum hakam filem, ianya memang patut dikritik agar penerbit & pengarah tidak terus merosakkan industri.
Tapi kalau yang bertaraf filem, itu
mantap
dan bernilai. Kerana - membawa pemikiran yang mendalam tentang komuniti, bangsa atau negara, di samping membawa sesuatu yang tersirat. Tetapi apakah pengulas dan ‘pengkritik’ kita faham aspek ini? Bila mereka tersesat jalan dan mula menghukum penerbit atau terajutama (pengarah), memang ia sesuatu yang merugikan. Kerana sebilangan penonton tetap akan terpengaruh, maka sebelum menonton lagi, diaorang dah jatuhkan hukuman.
Orang Melayu dulu, bila mengkritik, menggunakan bahasa kiasan. Kadangkala pantun direka secara spontan. Mana perginya tradisi ni - di zaman ramai yang sudah ke universiti? Kritikan yang dibuat secara beradab dengan menggunakan gaya penulisan kreatif akan membantu melahirkan penerbit dan terajutama yang lebih kritis dan prihatin. Kata Susan Sontag, kritikan seharusnya menunjukkan bagaimana sesebuah karya itu terbentuk. Malah, mengapa ia berbentuk sedemikian dan bukan untuk mencari apakah makna di sebaliknya.
Pengulas filem di negara jiran beradab apabila bercakap pasal filem Malaysia. Mereka tidak menghukum, malah mengajak penonton untuk menilai sendiri sesuatu filem. Dalam hal ini, kita boleh ambil pengajaran dari filem RASHOMON (Akira Kurosawa). Bayangkan, 4 watak utama terlibat dalam satu peristiwa yang sama, tetapi terdapat 4 macam punya interpretasi.
Bagi saya, kalau sesuatu filem dapat dilihat dari pellbagai sudut, itu filem yang sangat baik. Sebab? Garapan. Garapan tersendiri seseorang terajutama yang menyampaikan sudut pandangannya melalui bahasa filem terpilih. Ini pastinya di luar kotak pemikiran Vloggers yang tak ada ilmu langsung tentang hal ini.

Lambakan youtuber yg mengulas filem, adakah ini sesuatu yang sihat? Adakah mereka ini sebahagian dari pengkritik filem? Kelantangan kritikan mereka itu mempengaruhi penonton ke panggung. Apa pendapat tuan.

Sepatutnya youtuber yang tak ada ilmu filem menjadi pengulas funfair saja. Tetapi ada yang dah nobatkan diri mereka sebagai pengkritik. Entah datang dari mana, tetiba bercakap pasal filem macam dia pakar, siap komen pasal grading! Kritikan yang sebenar ialah melihat sesuatu dengan lebih mendalam, tetapi mereka ni hanya nampak yang luaran saja. Pada saya, mereka ni pengkritik taik kucing, tak ada ilmu, tak tahu adab, mengaibkan orang, menyusahkan penerbit dan terajutama. Kalau ada istilah Filem Sampah, patut juga ada istilah Pengulas Sampah dan Pengkritik Sampah. Segelintir Vlogger yang menggunakan bahasa kasar dan lucah memang layak dapat gelaran ni.

Kritikan yang baik datangnya dari minda yang tajam, yang melihat bukan saja teks (benda yang dilihat) tetapi juga subteks (benda yang tersirat). Subteks memperlihatkan nawaitu sebenar seseorang terajutama. Penonton biasa tak dapat tangkap ini. Maka kerja pengkritik ialah mengupas dan memperkatakannya, bukan mengutuk dan mencaci menggunakan subjektiviti sendiri.

Dalam agama, kita diajak untuk memanggil kepada kebaikan. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah di sebaliknya. Pengulas & pengkritik sampah dah jadi macam orang Barat, mengkritik secara terang-terangan. Itu memang budaya mereka di sana, sesuatu yang diterima masyarakat mereka kerana ia berfungsi untuk tajamkan pemikiran. Bukankah di Nusantara, kita ada gaya, adab dan norma-norma kita tersendiri? Mengapa nak jadi macam Mat Salleh?

Peliknya manusia-manusia semacam ni mendapat banyak followers. Dunia 69, dah tunggang terbalik!

Sabtu, 3 September 2022

KONSERT NASYID LEGENDA GABUNGKAN 8 NAMA BESAR INDUSTRI NASYID TANAH AIR


Walaupun berbaki hampir sebulan lagi, Konsert Nasyid Legenda yang akan berlangsung pada 29hb Oktober ini bakal mencipta sejarah dan fenomenanya yang tersendiri. Dianjurkan Inteam Records dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Konsert Nasyid Legenda ini bakal menghimpunkan beberapa nama besar dalam industri nasyid tanah air antaranya, Rabbani, Hijjaz, Shahir Zawawi, Akhil Havy, Ustaz Hasnul, Maliq Suhaimi, Inteam Record dan Nazrey Johani.

Ketika berucap pada sidang media yang berlangsung baru-baru ini, Muhammad Hazamin Harun dari Inteam Records menyifatkan penganjuran konsert yang bakal berlangsung di Dewan Sivik MBPJ, Oktober ini agak luar biasa bahkan sambutan penonton melalui jualan tiket sejak Ogos lalu amat memberangsangkan. Menurutnya lagi, tiket berharga RM50 dan RM 100 sudah habis terjual dan kini cuma tinggal beberapa tiket sahaja dengan harga RM200 dan RM250. Peminat muzik dan nasyid tanah air wajib menyaksikan konsert julung kali ini.

"Kami gembira kerana bukan sahaja konsert genre lain mendapat sambutan hebat, tapi genre nasyid juga ada peminatnya yang tersendiri. Walaupun hanya boleh memuatkan 1000 orang dalam satu dewan, peminat yang merindui gabungan dalam persembahan ini wajar datang menonton dan menghayatinya", ujar Hazamin menutup perbualan ringkas bersama media di Petaling Jaya baru-baru ini.

Konsert Nasyid Legenda yang bakal membuka tirainya Oktober ini antara konsert nasyid terbesar di Malaysia kerana ia menggabungkan persembahan pertemuan legasi nasyid tanah air. Walaupun sedikit rindu dengan kumpulan nasyid Raihan, namun Inteam Record bertekad untuk menampilkan Ustaz Nazrey Johani yang merupakan bekas Kumpulan Raihan yang popular pada tahun 90-an bagi sesi persembahan eksklusif tersebut. 

Bagi mereka yang belum membeli tiket bagi menyaksikan Konsert Nasyid Legenda ini, segeralah sebelum ia kehabisan tempat duduk. Klik di sini