Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Ahad, 4 September 2022

FAHAM DULU MAKNA FILEM DAN WAYANG!

Pengarah dan pengkritik filem terkenal, Hassan Muthalib dalam satu kenyataan di laman facebooknya baru-baru ini telah memuat naik tafsiran tentang makna 'filem' dan 'wayang'. Huraian terperinci beliau itu muncul ekoran satu program hiburan bertajuk 'spotlight' yang memerlukan beliau menterjemahkan beberapa maksud dan persoalan mengenai industri hiburan dan filem dari konteks seorang pemikir. WAJIB TONTON bagi edisi Ahad ini akan berkongsi apakah cerita di sebalik makna 'pengkritik' dalam industri bersama Hassan Abdul Muthalib. 


Adakah kritikan filem dari pengkritik menghukum penerbit & pengarah?

Pertama sekali, kena bezakan ‘filem’ dengan ‘wayang’. Filem yang bertaraf wayang itu kosong - walaupun dibuat oleh sarjana. Tujuannya - hanya nak buat duit. Tak ada subteks, maka tak wajar diperkatakan. Dan kalau dibuat secara sambil lewa, menyalahi hukum hakam filem, ianya memang patut dikritik agar penerbit & pengarah tidak terus merosakkan industri.
Tapi kalau yang bertaraf filem, itu
mantap
dan bernilai. Kerana - membawa pemikiran yang mendalam tentang komuniti, bangsa atau negara, di samping membawa sesuatu yang tersirat. Tetapi apakah pengulas dan ‘pengkritik’ kita faham aspek ini? Bila mereka tersesat jalan dan mula menghukum penerbit atau terajutama (pengarah), memang ia sesuatu yang merugikan. Kerana sebilangan penonton tetap akan terpengaruh, maka sebelum menonton lagi, diaorang dah jatuhkan hukuman.
Orang Melayu dulu, bila mengkritik, menggunakan bahasa kiasan. Kadangkala pantun direka secara spontan. Mana perginya tradisi ni - di zaman ramai yang sudah ke universiti? Kritikan yang dibuat secara beradab dengan menggunakan gaya penulisan kreatif akan membantu melahirkan penerbit dan terajutama yang lebih kritis dan prihatin. Kata Susan Sontag, kritikan seharusnya menunjukkan bagaimana sesebuah karya itu terbentuk. Malah, mengapa ia berbentuk sedemikian dan bukan untuk mencari apakah makna di sebaliknya.
Pengulas filem di negara jiran beradab apabila bercakap pasal filem Malaysia. Mereka tidak menghukum, malah mengajak penonton untuk menilai sendiri sesuatu filem. Dalam hal ini, kita boleh ambil pengajaran dari filem RASHOMON (Akira Kurosawa). Bayangkan, 4 watak utama terlibat dalam satu peristiwa yang sama, tetapi terdapat 4 macam punya interpretasi.
Bagi saya, kalau sesuatu filem dapat dilihat dari pellbagai sudut, itu filem yang sangat baik. Sebab? Garapan. Garapan tersendiri seseorang terajutama yang menyampaikan sudut pandangannya melalui bahasa filem terpilih. Ini pastinya di luar kotak pemikiran Vloggers yang tak ada ilmu langsung tentang hal ini.

Lambakan youtuber yg mengulas filem, adakah ini sesuatu yang sihat? Adakah mereka ini sebahagian dari pengkritik filem? Kelantangan kritikan mereka itu mempengaruhi penonton ke panggung. Apa pendapat tuan.

Sepatutnya youtuber yang tak ada ilmu filem menjadi pengulas funfair saja. Tetapi ada yang dah nobatkan diri mereka sebagai pengkritik. Entah datang dari mana, tetiba bercakap pasal filem macam dia pakar, siap komen pasal grading! Kritikan yang sebenar ialah melihat sesuatu dengan lebih mendalam, tetapi mereka ni hanya nampak yang luaran saja. Pada saya, mereka ni pengkritik taik kucing, tak ada ilmu, tak tahu adab, mengaibkan orang, menyusahkan penerbit dan terajutama. Kalau ada istilah Filem Sampah, patut juga ada istilah Pengulas Sampah dan Pengkritik Sampah. Segelintir Vlogger yang menggunakan bahasa kasar dan lucah memang layak dapat gelaran ni.

Kritikan yang baik datangnya dari minda yang tajam, yang melihat bukan saja teks (benda yang dilihat) tetapi juga subteks (benda yang tersirat). Subteks memperlihatkan nawaitu sebenar seseorang terajutama. Penonton biasa tak dapat tangkap ini. Maka kerja pengkritik ialah mengupas dan memperkatakannya, bukan mengutuk dan mencaci menggunakan subjektiviti sendiri.

Dalam agama, kita diajak untuk memanggil kepada kebaikan. Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah di sebaliknya. Pengulas & pengkritik sampah dah jadi macam orang Barat, mengkritik secara terang-terangan. Itu memang budaya mereka di sana, sesuatu yang diterima masyarakat mereka kerana ia berfungsi untuk tajamkan pemikiran. Bukankah di Nusantara, kita ada gaya, adab dan norma-norma kita tersendiri? Mengapa nak jadi macam Mat Salleh?

Peliknya manusia-manusia semacam ni mendapat banyak followers. Dunia 69, dah tunggang terbalik!

0 comments :