Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Khamis, 29 September 2022

'KALAU TIDAK ADA KOMPOSER, TAKKAN ADA LAGU : JADI MANAKAH KUALITI MUZIK PADA HARI INI?, KOMPOSER DAN PENCIPTA LAGU TERSOHOR, S.ATAN

MUZIK DAN LAGU : DARI KACA MATA S.ATAN

Bagaimana muzik dan lagu dicipta?. Kenapa rakaman muzik pada zaman dahulu berbeza dengan hari ini dan mengapa komposer hari ini tidak sama dengan kehebatan komposer era terdahulu?.Persoalan sedemikian bukan asing bagi komposer, pencipta lagu dan penggubah muzik tersohor, S. Atan. 

Hashim Said atau  S.Atan antara tokoh muzik ternama yang banyak menghasilkan kira-kira 1,000 buah lagu dan kebanyakkan karya yang dihasilkannya melatari pelbagai zaman. Datuk Jamal Abdillah, Sudirman Arshad, Azlina Aziz, Datuk Sharifah Aini, Herman Tino, Carefree, Jay Jay dan Dato' Sri Siti Nurhaliza antara ratusan penyanyi tempatan yang pernah mendapat khidmat S.Atan sebagai pencipta lagu. Kredibiliti S.Atan mencipta melodi lagu terbukti apabila banyak lagu ciptaannya menjadi begitu popular, bahkan diminati pelbagai lapisan masyarakat. 

'Penghayatan lirik yang sempurna  dibantu proses rakaman secara manual di dalam studio dengan disiplin masa', adalah teras utama kejayaan S.Atan sebagai pengkarya sejati industri seni dan muzik tanah air. Menurutnya, disiplin adalah kejayaan utama seseorang penyanyi disamping bakat dimiliki, namun jangan dilupai bahawa nilai seni sesebuah karya muzik adalah terletak pada hati seseorang pengkarya. Jika karya mereka dekat dengan hati, maka karya muzik tersebut mampu bertahan sepanjang zaman.


Ketika ditanya mengenai legasi muzik hari ini, S.Atan optimis mengatakan generasi muzik kini perlu banyak belajar dari mereka yang sememangnya berpengalaman luas sebagai komposer, penulis lirik, pencipta dan penggubah muzik. Rakaman dahulu tidak sama dengan hari ini, kerana dahulu kita merakam sesebuah lagu menggunakan muzik secara langsung. Muzik dirakam dengan teliti melalui gabungan antara pemuzik, komposer, penulis lirik dan penyanyi. Ini memakan masa terlalu lama, namun jika dibandingkan dengan zaman kini ia sudah berubah kerana kebanyakkan dari anak muda kita khususnya komposer baharu hanya mencipta lagu menggunakan komputer. Jadi, dimanakah nilai dan kualiti sesebuah muzik itu?. Bukan semua begitu, namun ada segelinitir yang masih mengekalkan elemen asal penerbitan sesebuah muzik dan lagu. 

Walaupun kita berdepan dengan kemajuan teknologi sehingga memaksa dunia muzik beralih kepada platform digital, namun bagi S.Atan beliau tidak teruja dengan perubahan itu dan menurutnya , 'Adakah perubahan itu mampu bertahan lama? dan bayangkan apa akan terjadi kepada anda (pengkarya muzik), jika karya yang anda hasilkan itu untuk digital tanpa ada album fizikal?. Katakanlah satu hari nanti digital ini akan hilang dan lenyap, apakah anda layak digelar pengkarya muzik?', tegas S.Atan menutup bicara bersama penulis yang juga penerbit program Fragmen ini di Studio Digital Mixstage, FINAS.

Tonton perkongsian menarik komposer, pencipta lagu dan penggubah muzik tersohor S.Atan mengenai 'Muzik Dan Lagu' menerusi Episod 3 Muzik Satu Legasi yang telah disiarkan di YouTube Finas Malaysia baru-baru ini. 

Tonton juga perkongsian Datuk Habsah Hassan, Dato' DJ Dave dan ramai lagi dalam episod sebelumnya. Klik di sini


0 comments :