Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Isnin, 26 September 2022

KABIR BHATIA & AJAMI HASHIM MENGGANAS DALAM 'TALBIS IBLIS', AKAN DATANG 20 OKTOBER 2022 INI.


Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31, Kabir Bhatia kembali dengan sentuhan terbaru menerusi filem genre seram Talbis Iblis, terbitan oleh gabungan penerbit hebat tanah air, Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures (M), A Next Start Production dan MM2 Entertainment bermula 20 Oktober ini di seluruh pawagam Malaysia. Terdahulu, karya ini menjadi filem kedua dari Malaysia yang mengadakan Tayangan Perdana Dunia dan di senarai pendek  di Far East Film Festival  Ke-24 di Udine, Itali pada April lalu. Selain itu, filem ini turut mengadakan tayangan perdana di Bucheon International Fantastic Film Festival 2022 ke-26 dan Neuch√Ętel International Fantastic Film Festival 2022 ke-21. 


'Talbis Iblis’ yang membawa maksud tipu daya serta perangkap yang di buat oleh iblis untuk menyesatkan manusia, cukup tepat menggambarkan tentang subjek utama yang diangkat dalam filem ini. Ia mengisahkan tentang seorang gadis, Hajar yang dihantar ke satu tempat jauh dari ibu kota bagi melahirkan bayinya secara rahsia. Seorang bidan, Mak Ju telah menjaga Hajar sebelum dan selepas bersalin, namun hakikatnya mempunyai agenda tersendiri. 



Sidang Media Filem Talbis Iblis telah diadakan baru-baru ini bagi melancarkan treler, poster dan memperkenalkan barisan pelakon secara rasmi. Setiap adegan babak telah dijayakan oleh para pelakon hebat tempatan seperti Azira Shafinaz, Nasha Aziz, Zul Ariffin, Amir Nafis, Jay Iswazir, Sherie Merlis, Izzy Reef, Daniella Sya, Zaftfarrel Mikhael Felton dan Putri Syahadah Nurjannah. Ini juga merupakan kemunculan semula di layar perak oleh pelakon popular dan pemenang Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke 17 menerusi filem seram thriller saspens, Trauma (2004) iaitu Nasha Aziz. 

Menurut Penerbit Eksekutif Filem & Wakil Infinitus Gold Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, “Filem Talbis Iblis mempunyai kekuatan tersendiri dengan menggabungkan semua aspek seperti pengarah yang hebat, pelakon yang cemerlang dan cerita yang berbeza. Seperti umum tahu, penonton tempatan sering dihidangkan dengan pelbagai filem seram dari barat, termasuklah dari negara Thailand, Indonesia dan Jepun. Jadi kami sebagai penerbit ingin mempersembahkan sesuatu yang unik dengan mengangkat budaya serta kepercayaan Melayu, termasuklah isu sosial yang amat dekat dengan masyarakat kita, di samping menonjolkan adegan serta makhluk seram ke dalam filem khusus buat peminat naskhah seram di luar sana.” 


Penerbit Eksekutif & Wakil Jazzy Pictures (M) Sdn Bhd, Joanne Goh menyatakan, “Penglibatan Jazzy Pictures (M) dalam filem Talbis Iblis selaku penerbit merupakan satu pengalaman baik buat kami kerana berpeluang bekerjasama dengan tenaga kreatif, para pelakon serta kru produksi yang hebat. Tambah mengujakan filem ini telah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa sebelum tayangan rasminya di Malaysia. Justeru, kami harap ia mampu menjadi pemangkin buat karya-karya tempatan lain untuk dipamerkan kepada dunia. Kami juga menjanjikan filem ini mampu memberi kepuasan kepada penonton semasa menontonnya di layar perak kelak.”

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad mengulas tentang kerjasama menghasilkan filem ini, ia memberi ruang buat Astro Shaw untuk mengukuhkan lagi hubungan baik dengan penerbit-penerbit tempatan dengan bergabung idea untuk menghasilkan sebuah karya yang mantap. “Industri filem tempatan dilihat dalam prestasi dan momentum positif sekarang ini. Kehadiran Talbis Iblis pada Oktober hadapan adalah masa yang tepat untuk memeriahkan lagi pawagam dengan menawarkan genre berbeza berbanding filem-filem yang sedia ada di layar perak sekarang kepada penonton. Menariknya, Talbis Iblis membawakan subjek cerita yang amat dekat dengan penonton Malaysia serta diarahkan oleh pengarah cukup berkaliber yang sentiasa berjaya menyentuh perasaan penontonnya menerusi sentuhan magisnya. Jadi, nantikan kehadiran filem ini yang mampu memberikan nilai tontonan berbeza kepada penonton.”


A Next Star Production Sdn Bhd, Megan Fong berkata, “Kami rasa amat teruja filem Talbis Iblis kini bersedia untuk temui penonton tidak lama lagi. Meskipun proses pos produksi filem ini dilakukan ketika dalam fasa pandemik Covid-19, namun ia berjaya disempurnakan. Ia membuktikan gabungan usaha sama bakat-bakat kreatif tempatan mampu menghasilkan sebuah karya terbaik untuk industri filem Malaysia.”

General Manager of MM2 Entertainment, Cik Angelin Ong berkata “Menerusi filem seram Talbis Iblis, penonton Malaysia dapat menyaksikan sebuah lagi filem yang mampu menyentuh perasaan dengan elemen seram, drama, berdebar, sedih dan banyak lagi. Kami rasa berbesar hati berpeluang bekerjasama sekali lagi dengan pasukan yang jayakan filem Sangkar dan Kabir Bhatia.”


OST bagi filem Talbis Iblis bertajuk ‘Harapan Penyambung Mimpi’ nyanyian Indah Ruhaila, hasil lirik oleh Habsah Hassan dan komposer Heidi Moru dan Lo Shi Seng.

Menariknya, filem ini skrip dan lakon layarnya ditulis oleh penulis blog terkenal, Ajami Hashim. Nantikan filem seram Talbis Iblis di pawagam seluruh tanah air bermula 20 Oktober depan. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak. 


untuk menonton trailer filem ini, sila klik poster dibawah:-



0 comments :