Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Rabu, 7 September 2022

KONSERT JELAJAH RAMLI SARIP 2022 CINTA DI SEBALIK MUSIM AKAN DATANG OKTOBER 2022 INI...

PAPA ROCK JELAJAH LAPAN LOKASI DEMI ALBUM RASA MULAI OKTOBER 2022 

Set Komemoratif Emas Ramli Sarip turut diperkenalkan sempena penganjuran Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022 Cinta Di Sebalik Musim. Album RASA iaitu album solo yang dihasilkan penyanyi rock legenda, Datuk Ramli Sarip muncul ketika aktiviti seni terhenti ekoran pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Meskipun berdepan dengan kesukaran untuk mempromosikan buah tangan terbaharunya itu namun Ramli tidak pernah putus asa dan terus memanjat doa supaya album yang disifatkan sebagai cukup istimewa itu dapat disampaikan kepada penggemar setianya. Ternyata doa penyanyi yang mendapat jolokan Papa Rock ini dijawab Tuhan apabila peluang untuk mempromosikan album itu datang dengan pakej yang lebih besar iaitu menerusi penganjuran Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022 Cinta Di Sebalik Musim bermula Oktober depan. 

Sebanyak lapan lokasi sudah dikenal pasti iaitu Johor Bahru (7 Oktober), Melaka (14 Oktober), Kuala Lumpur (29 Oktober), Sabah (12 November), Sarawak (20 November) dan Kelantan (25 & 26 November). Berkongsi keterujaan mengenai konsert yang bakal dijayakannya itu, Ramli memaklumkan beliau juga tidak keseorangan apabila persembahannya itu nanti turut ditemani artis undangan iaitu Datuk Nash dan Man Keedal (KL) Dayang Nurfaizah (Sabah) dan Kamrulbahrin Husin (Kelantan). 

“Kadang-kadang ada penganjur yang mahukan artis jemputan untuk menyerikan lagi konsert saya itu dan perkara itu tak jadi masalah buat saya. Dan tak salah rasanya untuk mereka sama-sama meraikan dan secara tidak langsung dapat juga saya berkongsi rezeki dengan mereka. Kehadiran mereka ini juga dapat menambah warna dalam konsert itu. Lagipun mereka yang diundang ini masing-masing mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Nash dan Man Keedal sudah sebati dengan muzik saya kerana saya pernah mencipta lagu untuk mereka. Dayang pula sejak dari dulu lagi saya sudah nampak ciri-ciri kemelayuan dalam dirinya dan kita pun pernah bekerjasama. Di Kelantan, saya mengundang penyanyi tradisional iaitu Kamrulbahrin yang boleh menerapkan elemen budaya seperti wayang kulit dalam persembahan,” katanya. Mengulas konsep persembahan, penyanyi kelahiran Singapura ini menjanjikan kelainan dalam setiap lokasi yang bakal disinggahinya. 

“Tak semua tempat persembahannya sama. Apa yang boleh saya beritahu, persamaannya hanyalah 70 peratus sahaja manakala 30 peratus lagi bergantung kepada situasi. Selera penonton berbeza-beza kerana ada yang suka muzik yang keras, ada yang lebih menyukai tradisional dan tak kurang pula yang gemar genre puisi. Walau apapun yang mereka suka, terasnya sudah tentu muzik rock, Budaya pop perlu ada,” ujar penyanyi lagu Perjalanan Hidup ini. 

Sempena penganjuran Konsert Jelajah Ramli Sarip 2022- Cinta Disebalik Musim dan juga sebagai apresiasi terhadap bekas vokalis kumpulan Sweet Charity itu, pihak Silver Gold Collector Club Official Empire (SGCC) & NINOX IDEA akan berkolaborasi bersama RASA KARYA untuk menghasilkan set komemoratif emas Ramli Sarip Set komemoratif emas Ramli Sarip ini akan didatangkan dengan satu unit bar emas seberat 0.5 gram (ketulenan 999.9) dan akan disertakan sekali dengan album Rasa dalam bentuk edisi tehad. 

Untuk peminat Ramli Sarip, jangan lepaskan peluang untuk memilikinya kerana edisi ini hanya ada 500 set sahaja. Maklumat lanjut mengenai Set Komemoratif Emas Ramli Sarip ini boleh didapati di seluruh saluran media sosial rasmi Ramli Sarip. Sebagai penghargaan kepada peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan, mereka yang membeli cakera padat (CD) dan vinyl album rasa mendapat diskaun menarik hanya dengan menunjukkan tiket konsert di kaunter merchandising. Tiket untuk menyaksikan konsert boleh didapati dengan melayari laman web www.ilassotickets.com

Album Rasa Datuk Ramli Sarip dlm bentuk vinyl dan CD

0 comments :