Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Sabtu, 3 September 2022

KONSERT NASYID LEGENDA GABUNGKAN 8 NAMA BESAR INDUSTRI NASYID TANAH AIR


Walaupun berbaki hampir sebulan lagi, Konsert Nasyid Legenda yang akan berlangsung pada 29hb Oktober ini bakal mencipta sejarah dan fenomenanya yang tersendiri. Dianjurkan Inteam Records dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Konsert Nasyid Legenda ini bakal menghimpunkan beberapa nama besar dalam industri nasyid tanah air antaranya, Rabbani, Hijjaz, Shahir Zawawi, Akhil Havy, Ustaz Hasnul, Maliq Suhaimi, Inteam Record dan Nazrey Johani.

Ketika berucap pada sidang media yang berlangsung baru-baru ini, Muhammad Hazamin Harun dari Inteam Records menyifatkan penganjuran konsert yang bakal berlangsung di Dewan Sivik MBPJ, Oktober ini agak luar biasa bahkan sambutan penonton melalui jualan tiket sejak Ogos lalu amat memberangsangkan. Menurutnya lagi, tiket berharga RM50 dan RM 100 sudah habis terjual dan kini cuma tinggal beberapa tiket sahaja dengan harga RM200 dan RM250. Peminat muzik dan nasyid tanah air wajib menyaksikan konsert julung kali ini.

"Kami gembira kerana bukan sahaja konsert genre lain mendapat sambutan hebat, tapi genre nasyid juga ada peminatnya yang tersendiri. Walaupun hanya boleh memuatkan 1000 orang dalam satu dewan, peminat yang merindui gabungan dalam persembahan ini wajar datang menonton dan menghayatinya", ujar Hazamin menutup perbualan ringkas bersama media di Petaling Jaya baru-baru ini.

Konsert Nasyid Legenda yang bakal membuka tirainya Oktober ini antara konsert nasyid terbesar di Malaysia kerana ia menggabungkan persembahan pertemuan legasi nasyid tanah air. Walaupun sedikit rindu dengan kumpulan nasyid Raihan, namun Inteam Record bertekad untuk menampilkan Ustaz Nazrey Johani yang merupakan bekas Kumpulan Raihan yang popular pada tahun 90-an bagi sesi persembahan eksklusif tersebut. 

Bagi mereka yang belum membeli tiket bagi menyaksikan Konsert Nasyid Legenda ini, segeralah sebelum ia kehabisan tempat duduk. Klik di sini


0 comments :