Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


KONSERT NASYID LEGENDA CATAT SEJARAH TERSENDIRI SELEPAS 30 TAHUN?

Dianjurkan di lokasi sama yang pernah diadakan 30 tahun lalu, Konsert Nasyid Legenda catat memori dan kenangan tersendiri.

IMBAS KEMBALI FFM: PESTA FILEM MALAYSIA KE-5, 1984

Matinya Seorang Patriot arahan Rahim Razali memenangi 7 anugerah utama di Pesta Filem Malaysia ke-5. Filem lakonan Eman Manan itu juga menampilkan Noorkumalasari, Saadiah, Azmil Mustapha dan ramai lagi...

KONSERT GARIS MASA RAIHAN DITUNDA KE TAHUN 2023?

Konsert Garis Masa Raihan yang dijadualkan berlangsung 26 November ini ditunda pada tahun depan.

23rd EUROPEAN FILM FESTIVAL IN MALAYSIA OFFICIALLYLAUNCHED

The 23rd European Film Festival (EUFF) was officially launched yesterday, ready to entice all movie buffs with 17 films from 20 European countries over the next two weeks.

KONSERT 25 TAHUN LAH AHMAD HABIS TERJUAL

Walaupun baru diumumkan dan tidak sampai 24 jam, tiket bagi menyaksikan konsert 25 Tahun Lah Ahmad habis terjual.

Isnin, 31 Oktober 2022

IMBAS KEMBALI FFM: PESTA FILEM MALAYSIA KE-5 (1984)

Pada tahun 1984, 'Matinya Seorang Patriot' lakonan Eman Manan, Noorkumalasari, Saadiah, Azmil Mustapha, S.Roomai Noor, Zulkifli Zain, Mustapha Maarof, Suhaina Yahya, Azmi Mohamad, Yusof Wahab, Dr Sam dan A.V Bapat dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Pesta Filem Malaysia ke-5, 1984. Filem arahan Rahim Razali itu juga memenangi Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Eman Manan), Lakon Layar Terbaik (Rahim Razali), Jurukamera Terbaik (Zainal Othman), Penyunting Filem Terbaik (Meor Hashim Manap) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (S.Roomai Noor).

Filem yang berunsur Patriotik itu memberi saingan kepada filem Jasmin (Jamil Sulong), Azura (Deddy M.Borhan), Di Ambang Kasih (M.Amin) dan Komplot (Ahmad Mahmood). PFM5, 1984 yang diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu berjaya menobatkan Eman Manan dan Rosnani Jamil sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik menerusi karya Matinya Seorang Patriot (Eman Manan) dan Jasmin (Rosnani Jamil).

Pada tahun yang sama, filem Azura arahan Deddy M.Borhan memenangi Lagu Terbaik, ciptaan M.Nasir, manakala Filem Jasmin memenangi Pengarah Seni Terbaik (A.Ainul), dan Pengadun Bunyi Terbaik (Peter Lim & Zulkifli Salleh). Filem Di Ambang Kasih arahan M.Amin memenangi Pelakon Wanita Pembantu Terbaik (Rosnah Mohd Noor), dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Dino M.Borhan) serta filem Komplot arahan Ahmad Mahmood pula memenangi Pelakon Harapan melalui lakonan A.Rahman Aminuddin. PFM5 yang dianjurkan pada tahun 1984 menerima 13 buah penyertaan filem yang bertanding mengikut kategori masing-masing.

Imbas Kembali Pesta Filem Malaysia ke-5. PFM5 telah diadakan pada 15 Disember 1984 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. 


IMBAS KEMBALI FESTIVAL FILEM MALAYSIA : PESTA FILEM MALAYSIA KE-5

Filem Terbaik
Matinya Seorang Patriot (ZSA Film Production)

Pengarah Terbaik
Rahim Razali (Matinya Seorang Patriot)

Pelakon Lelaki Terbaik
Eman Manan (Matinya Seorang Patriot)



Pelakon Wanita Terbaik
Rosnani Jamil (Jasmin)

Lakon Layar Terbaik
Rahim Razali (Matinya Seorang Patriot)

Jurukamera Terbaik
Zainal Othman (Matinya Seorang Patriot)

Hadiah Khas Juri
Sabah Film Production

Penyunting Filem Terbaik
Meor Hashim Manap (Matinya Seorang Patriot)

Pelakon Lelaki Pembantu Terbaik
S.Roomai Noor

Pelakon Wanita Pembantu Terbaik
Rosnah Mohd Noor (Di Ambang Kasih)

Pengadun Bunyi Terbaik
Peter Lim & Zulkifli Salleh (Jasmin)

Pengarah Seni Terbaik
A.Ainul (Jasmin)

Muzik Terbaik
M.Nasir (Azura - Azura)

Pengolahan Kisah Masyarakat
Azura

Pengolahan Tema Sejarah
Jasmin

Pelakon Harapan
A.Rahman Aminuddin

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik
Dino M.Borhan (Di Ambang Kasih)

Ahad, 30 Oktober 2022

KONSERT NASYID LEGENDA CATAT SEJARAH TERSENDIRI SELEPAS 30 TAHUN, GAMIT NOSTALGIA KEGEMILANGAN INDUSTRI NASYID TANAH AIR.

Bagi mereka yang membesar dengan lagu-lagu nasyid dendangan Al Jawaher, Ahmadi Hassan, El Suraya, Orkes Sinar Murni, Al Mizan, The Zikr, Nadamurni, sehinggalah munculnya nama Raihan, Rabbani, Hijjaz, Inteam, Akhil Havy, dan ramai lagi, mungkin saat ini tidak akan dilepaskan kerana Konsert Nasyid Legenda yang berakhir 29 Oktober, malam tadi menyaksikan kebangkitan semula industri nasyid dalam arena seni muzik dan hiburan tanah air. 

Konsert yang julung kali diadakan itu telah berlangsung gilang-gemilang di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya di mana Inteam Records sebagai penganjur utama dengan sokongan Dana Kandungan Digital dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM). Membawa slogan 'Kembali Bersinar', Konsert Nasyid Legenda yang telah berlangsung malam tadi adalah 'tribute' bagi mengenang jasa penasyid-penasyid tanah air sejak tahun 70-an sehinggalah ke Zaman Nasyid Kontemporari dengan penampilan barisan artis-artis nasyid popular tanah air antaranya,  Hijjaz, Rabbani, Nazrey Johani, Ustaz Akhil Havy, Ustaz Hasnul, Ustaz Amal dan Kumpulan Inteam. Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu juga menampilkan penyanyi Shahir Zawawi, Ustaz Raja Suhaimi dan Kumpulan Aydan, yang merupakan artis nasyid pelapis di bawah Rabbani.

Ketika ditemui media selepas persembahan, Asri Ubaidillah dari Rabbani berkata, "Alhamdulillah, konsert ini berjalan lancar seperti yang dirancang dan kami berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakannya khususnya Inteam Records selaku penganjur, Badan Islam MBPJ dan K-KOMM serta seluruh penaja dan tidak lupa semua yang hadir memberi sokongan". 

Namun bagi Azadan Rabbani pula menyifatkan penganjuran konsert ini adalah suatu yang istimewa di mana ia menyajikan segmen 'tribute', kepada vokalis asal Rabbani, Almarhum Ustaz Asri Ibrahim. Menurut Azadan, "Ini adalah saat yang paling menyentuh hati kami di mana Ilham dari Kumpulan Aydan yang merupakan anak Almarhum, turut tampil membuat persembahan menerusi lagu Munajat, bagi memaparkan simbolik perjuangan  Almarhum dalam bidang nasyid seterusnya mewakili generasi baharu hari ini". 

Menurut Munif dari Kumpulan Hijjaz pula optimis mengatakan Konsert Nasyid Legenda ini adalah sebuah persembahan penuh nostalgia di mana ia dianjurkan di lokasi sama yang pernah mereka mengadakan persembahan 30 tahun yang lalu menerusi Konsert Bila Nur Melimpah Di Hati yang pernah diadakan pada tahun 1993. Ini satu pengalaman yang cukup berharga dan tidak akan dilupakan serta menjadi sejarah abadi yang akan kekal sepanjang zaman. 

Bercakap mengenai sambutan peminat menerusi jualan tiket bagi menyaksikan konsert ini, Hazamin dari Inteam Records pula berkata, "Alhamdulillah, tiket konsert ini habis terjual pada minggu akhir sebelum ia dilaksanakan. Disebabkan ramai peminat yang terlepas membeli tiket, kami mengambil keputusan untuk mengadakan siaran tayangan tertunda konsert ini pada 5 November 2022 menerusi platform video dengan harga tontonan sehari adalah RM25, di mana setiap RM5 jualan tiket tersebut akan disumbangkan kepada kempen musim sejuk Pelarian Syria yang dibawakan khas ini oleh Pertubuhan Peduli Insan Malaysia".



Tambah Hazamin lagi, ramai peminat mencadangkan agar konsert ini dibawa ke seluruh Malaysia melalui siri jelajah, namun Inteam akur sekiranya ada penaja yang sudi merealisasikan impian ini, mungkin satu hari nanti ia akan dilakukan. Konsert Nasyid Legenda yang diadakan malam tadi juga menyenaraikan 25 buah lagu nasyid malar segar yang pernah popular suatu ketika dahulu. Antara lagu yang dinyanyikan dalam konsert ini adalah 'Perjalanan 2, Jangan Menghina, Kembara Di Tanah Gersang, Bila Nur Melimpah Di Hati, Pahlawan Agana, Munajat, Mana Milik Kita, Handzalah, Puji-Pujian' dan banyak lagi.

Menariknya konsert ini adalah menerusi segmen yang dianjurkan. Terbahagi kepada 4 segmen utama merangkumi segmen nasyid tahun 70-an, 80-an, 90-an sehinggalah kepada segmen tribute pahlawan nasyid dan nasyid kontemporari penghujung tahun 90-an hingga 2000. Sebahagian dari hasil jualan tiket Konsert ini akan disumbangkan  ke tabung kebajikan Badan Islam MBPJ dan Persatuan Kebajikan Sahabat Nadamurni. 

Selain persembahan nasyid yang diiringi pemuzik iringan, penonton turut disajikan dengan deklamasi puisi oleh pemuisi terkenal, Ustaz Dinie Juri dan juga lakonan sketsa. Bagi anda yang terlepas untuk menyaksikan konsert ini pada 29 Oktober lalu, jangan kecewa kerana tayangan tertunda sambil beramal boleh didapati dari laman facebook Peduli Insan atau klik tonton di sini. 

Sabtu, 29 Oktober 2022

KONSERT NASYID LEGENDA MALAM INI BOLEH DITONTON ATAS TALIAN?

Debaran menantikan Konsert Nasyid Legenda malam ini, menyaksikan kolaborasi hebat beberapa penyanyi nasyid tanah air, antaranya Rabbani, Hijjaz, Akhil Havy, Inteam, Shahir Nawawi, Ustaz Hasnul, Maliq Suhaimi, Ustaz Amal, Dinie Juri serta penampilan hebat Ustaz Nazrey Johani.

Konsert terbesar yang menghimpunkan legasi hebat seni muzik nasyid tanah air ini bakal berlangsung pada 29 Oktober 2022, 8.30 malam itu di Dewan Sivik MBPJ. Menariknya konsert yang julung kali diadakan ini juga boleh ditonton melalui platform atas talian Pertubuhan Peduli Insan Malaysia yang akan menayangkan keseluruhan konsert ini menerusi rakaman siaran tertunda bermula pada 5 November 2022. 

Peminat muzik khususnya nasyid yang tidak berpeluang menonton konsert ini secara langsung pada 29 Oktober malam ini, boleh melayari di sini dalam siaran tertunda. Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Inteam Records menerusi sosial media di Facebook, berharap mereka yang tidak berkesempatan menyaksikan secara langsung malam ini, usah kecewa kerana pihak kami akan menyiarkan keseluruhan konsert ini dengan hanya langganan RM25 sahaja pada 5hb November 2022. Setiap dari RM5 akan disumbangkan ke tabung yang memerlukan.

 Menurutnya lagi, jualan tiket Konsert Nasyid Legenda ini sudah 100% habis terjual.

Jumaat, 28 Oktober 2022

ANUGERAH SERI ANGKASA 2022 : 55 PENCALONAN , 28 KATEGORI

ACARA berprestij Anugerah Seri Angkasa (ASA 2022) anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) kini kembali mewarnai industri hiburan tempatan.Rangkaian Televisyen Media Prima mendapat 55 pencalonan menerusi 28 kategori anugerah dan ini termasuk lima kategori anugerah digital yang baru diperkenalkan selari dengan peredaran zaman digital.

Antara anugerah yang tercalon adalah Drama TV Terbaik, Pengarah Drama TV Terbaik, Dokumentari TV Terbaik, Majalah TV Terbaik, Skrip Drama TV Terbaik, Sketsa Pendek Menerusi YouTube Rasmi Terbaik, Video Klip Hiburan Menerusi YouTube Rasmi Terbaik dan Drama Bersiri Menerusi YouTube Rasmi Terbaik.

Drama "Pencipta Pegang Waktu" mendapat pencalonan terbanyak dengan tujuh pencalonan dalam kategori Drama TV Terbaik, Pengarah Drama TV Terbaik, Skrip Drama TV Terbaik, Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Drama TV Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Drama TV Terbaik dan Pelakon Kanak-Kanak TV Terbaik.

Khamis, 27 Oktober 2022

"KENYATAAN DATO' A. AIDA BUKAN PENDIRIAN FINAS", MAT LONDON

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menganggap kenyataan dikeluarkan ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), A Aida, yang mengutamakan rupa paras berbanding bakat untuk menjadi pelakon tidak menggambarkan pendirian agensi kerajaan berkenaan. Presiden FDAM dan ahli Lembaga Finas, Ahmad Ibrahim atau Mat London justeru meminta orang ramai tidak keliru dengan penegasan dibuat A Aida. Kata Ahmad, walaupun A Aida adalah ahli lembaga Finas, FDAM menganggap kenyataan dibuat penerbit filem terbabit dikeluarkan atas kapasiti peribadi.

A. Aida berhak memberikan kenyataan itu atas kapasiti peribadi dan atas kehendak pemilihan produksinya kerana dia yang ingin mencari pelakon utama. Namun kenyataan itu bukan memberi gambaran dari industri perfileman. Kenyataan itu juga tidak ada kena-mengena dengan pendirian ahli Lembaga Finas yang lain kerana ia dibuat melalui perspektif peribadi A Aida. Jadi, saya mohon pihak media dan orang ramai tidak membuat salah anggapan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, A Aida mempelawa orang ramai untuk hadir ke uji bakat mencari pelapis baru dalam program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia (Ekspresi@Finas) yang berlangsung dua hari bermula pada 23 Oktober lalu. Katanya, uji bakat itu diadakan bagi mencari wajah hero dan heroin baru untuk drama terbitan di bawah syarikat kendaliannya iaitu A Aida Production. Menurut A Aida, keutamaan akan diberikan kepada peserta yang berwajah cantik dan kacak kerana beranggapan aspek tersebut lebih penting, manakala bakat seseorang boleh diasah kemudian.

Terus berjuang, berusaha

A Aida kemudian menjawab kepada pemberita bahawa dia tetap dengan pendirian tersebut walaupun dikecam warganet mahupun penggiat industri sendiri. Namun, kenyataan itu menerima tempelak daripada banyak pihak termasuk pelakon berbakat besar seperti Ameerul Affendi dan Azhan Rani.

Sebelum ini, Ameerul melalui Twitter mencadangkan agar semua kursus lakonan di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bolehlah ditamatkan.

Jadi elok lah semua IPTA dan IPTS di seluruh Malaysia menamatkan semua kursus lakonan yang ada.. tak baik scam bakal-bakal pelajar yang bersungguh-sungguh berhabis duit mencari ilmu. Kerana bila ahli lembaga pengarah @FinasMy sudah keluar statement begini sudah tentu ramai yang ikut, kan?” ciap pelakon Prebet Sapu itu di Twitter.

Azhan pula memuat naik sedutan klip video memaparkan ucapan kemenangannya pada Festival Drama Kuala Lumpur 2019 bagi kategori antagonis yang dimenangi melalui drama bersiri, Nur, diiringi tangkap layar sebuah laporan media.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk mewakili mereka yang mempunyai bakat luar biasa tetapi tidak mempunyai pakej lengkap, untuk terus berjuang dan berusaha. Lepaskan rasa sakit dan kekecewaan dan teruskan sahaja. Temanya kekal positif. Jika kita yang berada di bawah boleh kekal positif, harap pihak yang bertanggungjawab juga boleh kekal positif,” katanya ketika berucap itu.

- Nadia Azam I Malaysia Kini

Rabu, 26 Oktober 2022

KARYAWAN FILEM MALAYSIA MAMPU HASILKAN FILEM BERKUALITI BERTARAF ANTARABANGSA! - TAN SRI ANNUAR MUSA

Para penerbit, pelakon dan pengarah filem Malaysia mampu mengeluarkan filem-filem terbaik bertaraf antarabangsa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata sebelum pandemik Covid-19, industri kreatif bukanlah satu industri yang kecil apabila mengikut pasaran antarabangsa Amerika Syarikat, yang meletakkan Malaysia di tangga ke-19 pasaran terbesar daripada filem-filem yang dicipta negara.

“Kalau satu filem sahaja telah dapat menjana pendapatan hampir RM100 juta, sedangkan kita tahu berapa puluh lagi filem sedang menanti yang akan kita keluarkan dan akan kita keluarkan dengan mutu dan nilai yang baik, yang akan melonjak ekonomi dan industri perfileman kita.

“Yang saya tahu, penerbit-penerbit Malaysia, pelakon-pelakon Malaysia, pengarah-pengarah filem Malaysia, mampu mengeluarkan filem-filem terbaik bertaraf antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Ekspresi@Finas di Kuala Lumpur, pada Ahad 23 Oktober. 

Majlis penutup berkenaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan turut dihadiri Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Senator Datuk Seri Zurainah Musa, Ketua Setiausaha K-KOMM, Dato' Seri Hj Mohammad Mentek dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin.

Sementara itu, Annuar berkata sejak Ismail Sabri mengambil alih kepimpinan negara, politik berjaya distabilkan, Covid-19 berjaya diatasi serta ekonomi mula tumbuh dan berkembang selain diiktiraf badan-badan penarafan antarabangsa.

Beliau berkata Perdana Menteri berjaya menjalinkan semula hubungan diplomatik dengan negara berkaitan dan kemuncak kepada kejayaan Ismail Sabri, apabila kerajaan di bawah pimpinan beliau membentangkan belanjawan untuk rakyat yang menyentuh segenap lapisan masyarakat.

“Apabila terhidu sedikit tanda-tanda mungkin berlaku tak stabil (kerajaan) Yang Amat Berhormat telah mengembalikan mandat kepada rakyat dan membubarkan Parlimen.

“Ini bermakna ke hadapan, Yang Amat Berhormat mempunyai satu iltizam yang tinggi yang perlu dibereskan. Anggaplah tempoh dua tiga minggu ini hanya satu perhentian sementara, negara ini perlu terus diselamatkan, industri kreatif yang baru disuntik dengan satu nafas yang baru perlu terus disegarkan,” katanya.

Annuar berkata sekiranya Bajet 2023 dapat dibentangkan semula di bawah kepimpinan Ismail Sabri, beliau yakin akan ada lagi berita baik yang akan diumumkan Perdana Menteri untuk industri kreatif.

“Ini adalah kerana kita terus mendapat maklum balas daripada pemain industri dan juga dari pengalaman-pengalaman yang kita lalui.

“Pengalaman saya berkhidmat sebagai anggota jemaah menteri di bawah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, saya tahu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berfikiran sangat simple tetapi cerdas dan cepat dalam membuat keputusan dan ini telah memudahkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia membuat pelbagai aktiviti di bawah inisiatif Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,” katanya.

Bernama


Selasa, 25 Oktober 2022

ISU ROYALTI PENGGIAT PERFILEMAN TEMPATAN PERLU DILIHAT SEMULA - ISMAIL SABRI

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu supaya isu pembayaran royalti bagi mereka yang bergiat dalam industri perfileman dilihat semula. Perdana menteri sementara itu berkata isu berkenaan sebelum ini pernah dibincangkan sewaktu beliau memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Malah katanya, sewaktu tempoh sama Akta Hak Cipta telah berjaya dipinda bagi memberi royalti kepada penyanyi dan komposer.

“Jadi waktu saya itu, kita baru bermula…saya harap perkara ini boleh dilihat kembali bagi kita jaga kepentingan pelakon-pelakon, penerbit-penerbit, pengarah-pengarah dan sesiapa sahaja terlibat dalam aktiviti perfileman. 

“Insya-Allah saya sebagai perdana menteri mungkin tak sempat untuk saya sendiri lakukannya, tetapi asas saya sudah letakkan, mungkin kita bagi Annuar Musa sendiri (Menteri Komunikasi dan Multimedia) untuk melihat perkara ini,” katanya dalam ucapan penutupan Program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia (Ekspresi@Finas) di Kuala Lumpur, pada Ahad, 23hb Oktober 2022. 


Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa, Ketua Setiausaha Kementerian Mohammad Mentek, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Senator Zurainah Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin. Perdana menteri berkata berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2019, industri perfileman menyumbang 1.9 peratus atau RM29.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjana sebanyak 216,811 peluang pekerjaan.

Bagaimanapun industi yang merangkumi sektor pengeluaran, pengedaran dan pemameran filem berkenaan mengalami kerugian dianggarkan lebih RM10 bilion sejak 18 Mac 2020 kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik.

“Daripada jumlah itu, industri pemameran pawagam kehilangan kutipan kasar RM1.08 bilion pada tahun 2019, kepada RM138.9 juta pada tahun 2020, dan RM28.9 juta pada tahun 2021,” katanya.

Mengenai proses pemulihan ekonomi pasca pandemik, Ismail Sabri berkata impak usaha kerajaan menarik pelaburan asing juga dapat dilihat melalui data pelaburan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) Finas berjumlah RM129.7 juta sehingga Ogos lepas, melebihi RM100 juta sasaran.

Manakala bagi pasaran domestik, kejayaan filem Mat Kilau yang mencatat kutipan pecah panggung tertinggi melebihi RM90 juta adalah bukti kemampuan filem tempatan bersaing dengan filem-filem antarabangsa yang menguasai 60 peratus pasaran pecah panggung (box office).

Katanya ini disusuli kejayaan filem-filem seperti Air Force The Movie dan Abang Long Fadil 3 yang juga mencatat kutipan melebihi RM25 juta yang memberi keyakinan kepada pihak penerbit, pengedar dan pemamer mengenai keupayaan filem-filem tempatan kita untuk memecah kebuntuan akibat impak pandemik.

Beliau berkata kerajaan sedar dalam laluan menuju ke hadapan, suasana ekonomi dijangka lebih mencabar dan pelbagai isu telah disuarakan pemegang taruh seperti pemilikan hakcipta, kebajikan penggiat, kadar bayaran penerbitan oleh penyiar, potongan duti hiburan, insentif percukaian dan sebagainya.

“Kerajaan sentiasa prihatin akan isu-isu yang dibangkitkan dan berdasarkan perancangan jangka panjang, isu-isu ini akan diperhalusi dan ditambah baik seiring ekosistem industri yang melalui fasa perubahan,” katanya.

Beliau percaya para pemegang taruh industri mempunyai potensi besar untuk menjadikan industri perfileman negara sebagai komoditi yang memacu ekonomi di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Saya berharap industri tempatan akan terus kukuh mengharungi situasi ekonomi yang kian mencabar dan bangkit secara progresif supaya seluruh Keluarga Malaysia mendapat manfaat,” katanya.

Mengenai Bajet 2023 kepada industri perfileman, Ismail Sabri berkata RM152 juta diperuntuk kepada Finas bagi memacu pembangunan industri yang memberi manfaat kepada pelbagai kumpulan pemegang taruh merangkumi pelabur, penerbit, pengedar, pemamer, penyedia perkhidmatan dan tenaga produksi.

Katanya ini termasuk peruntukan Dana RM50 juta untuk Dana Khas Kandungan Kreatif Kenegaraan, peruntukan Dana Kandungan Digital sebanyak RM102 juta dan potongan cukai bagi sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Finas.

Selain itu pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran dan tanggungan 80 peratus caruman oleh kerajaan bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial untuk penggiat seni FINAS.

“Namun kesemua ini akan hanya dinikmati sekiranya Bajet 2023 ini dibentangkan kembali dan diluluskan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15. Maknanya Kerajaan hari ini perlu dipilih kembali untuk menerajui negara,” katanya.

Bernama