Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Khamis, 27 Oktober 2022

"KENYATAAN DATO' A. AIDA BUKAN PENDIRIAN FINAS", MAT LONDON

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menganggap kenyataan dikeluarkan ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), A Aida, yang mengutamakan rupa paras berbanding bakat untuk menjadi pelakon tidak menggambarkan pendirian agensi kerajaan berkenaan. Presiden FDAM dan ahli Lembaga Finas, Ahmad Ibrahim atau Mat London justeru meminta orang ramai tidak keliru dengan penegasan dibuat A Aida. Kata Ahmad, walaupun A Aida adalah ahli lembaga Finas, FDAM menganggap kenyataan dibuat penerbit filem terbabit dikeluarkan atas kapasiti peribadi.

A. Aida berhak memberikan kenyataan itu atas kapasiti peribadi dan atas kehendak pemilihan produksinya kerana dia yang ingin mencari pelakon utama. Namun kenyataan itu bukan memberi gambaran dari industri perfileman. Kenyataan itu juga tidak ada kena-mengena dengan pendirian ahli Lembaga Finas yang lain kerana ia dibuat melalui perspektif peribadi A Aida. Jadi, saya mohon pihak media dan orang ramai tidak membuat salah anggapan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, A Aida mempelawa orang ramai untuk hadir ke uji bakat mencari pelapis baru dalam program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia (Ekspresi@Finas) yang berlangsung dua hari bermula pada 23 Oktober lalu. Katanya, uji bakat itu diadakan bagi mencari wajah hero dan heroin baru untuk drama terbitan di bawah syarikat kendaliannya iaitu A Aida Production. Menurut A Aida, keutamaan akan diberikan kepada peserta yang berwajah cantik dan kacak kerana beranggapan aspek tersebut lebih penting, manakala bakat seseorang boleh diasah kemudian.

Terus berjuang, berusaha

A Aida kemudian menjawab kepada pemberita bahawa dia tetap dengan pendirian tersebut walaupun dikecam warganet mahupun penggiat industri sendiri. Namun, kenyataan itu menerima tempelak daripada banyak pihak termasuk pelakon berbakat besar seperti Ameerul Affendi dan Azhan Rani.

Sebelum ini, Ameerul melalui Twitter mencadangkan agar semua kursus lakonan di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) bolehlah ditamatkan.

Jadi elok lah semua IPTA dan IPTS di seluruh Malaysia menamatkan semua kursus lakonan yang ada.. tak baik scam bakal-bakal pelajar yang bersungguh-sungguh berhabis duit mencari ilmu. Kerana bila ahli lembaga pengarah @FinasMy sudah keluar statement begini sudah tentu ramai yang ikut, kan?” ciap pelakon Prebet Sapu itu di Twitter.

Azhan pula memuat naik sedutan klip video memaparkan ucapan kemenangannya pada Festival Drama Kuala Lumpur 2019 bagi kategori antagonis yang dimenangi melalui drama bersiri, Nur, diiringi tangkap layar sebuah laporan media.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk mewakili mereka yang mempunyai bakat luar biasa tetapi tidak mempunyai pakej lengkap, untuk terus berjuang dan berusaha. Lepaskan rasa sakit dan kekecewaan dan teruskan sahaja. Temanya kekal positif. Jika kita yang berada di bawah boleh kekal positif, harap pihak yang bertanggungjawab juga boleh kekal positif,” katanya ketika berucap itu.

- Nadia Azam I Malaysia Kini

0 comments :