Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


Ahad, 30 Oktober 2022

KONSERT NASYID LEGENDA CATAT SEJARAH TERSENDIRI SELEPAS 30 TAHUN, GAMIT NOSTALGIA KEGEMILANGAN INDUSTRI NASYID TANAH AIR.

Bagi mereka yang membesar dengan lagu-lagu nasyid dendangan Al Jawaher, Ahmadi Hassan, El Suraya, Orkes Sinar Murni, Al Mizan, The Zikr, Nadamurni, sehinggalah munculnya nama Raihan, Rabbani, Hijjaz, Inteam, Akhil Havy, dan ramai lagi, mungkin saat ini tidak akan dilepaskan kerana Konsert Nasyid Legenda yang berakhir 29 Oktober, malam tadi menyaksikan kebangkitan semula industri nasyid dalam arena seni muzik dan hiburan tanah air. 

Konsert yang julung kali diadakan itu telah berlangsung gilang-gemilang di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya di mana Inteam Records sebagai penganjur utama dengan sokongan Dana Kandungan Digital dari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM). Membawa slogan 'Kembali Bersinar', Konsert Nasyid Legenda yang telah berlangsung malam tadi adalah 'tribute' bagi mengenang jasa penasyid-penasyid tanah air sejak tahun 70-an sehinggalah ke Zaman Nasyid Kontemporari dengan penampilan barisan artis-artis nasyid popular tanah air antaranya,  Hijjaz, Rabbani, Nazrey Johani, Ustaz Akhil Havy, Ustaz Hasnul, Ustaz Amal dan Kumpulan Inteam. Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu juga menampilkan penyanyi Shahir Zawawi, Ustaz Raja Suhaimi dan Kumpulan Aydan, yang merupakan artis nasyid pelapis di bawah Rabbani.

Ketika ditemui media selepas persembahan, Asri Ubaidillah dari Rabbani berkata, "Alhamdulillah, konsert ini berjalan lancar seperti yang dirancang dan kami berterima kasih kepada semua yang terlibat menjayakannya khususnya Inteam Records selaku penganjur, Badan Islam MBPJ dan K-KOMM serta seluruh penaja dan tidak lupa semua yang hadir memberi sokongan". 

Namun bagi Azadan Rabbani pula menyifatkan penganjuran konsert ini adalah suatu yang istimewa di mana ia menyajikan segmen 'tribute', kepada vokalis asal Rabbani, Almarhum Ustaz Asri Ibrahim. Menurut Azadan, "Ini adalah saat yang paling menyentuh hati kami di mana Ilham dari Kumpulan Aydan yang merupakan anak Almarhum, turut tampil membuat persembahan menerusi lagu Munajat, bagi memaparkan simbolik perjuangan  Almarhum dalam bidang nasyid seterusnya mewakili generasi baharu hari ini". 

Menurut Munif dari Kumpulan Hijjaz pula optimis mengatakan Konsert Nasyid Legenda ini adalah sebuah persembahan penuh nostalgia di mana ia dianjurkan di lokasi sama yang pernah mereka mengadakan persembahan 30 tahun yang lalu menerusi Konsert Bila Nur Melimpah Di Hati yang pernah diadakan pada tahun 1993. Ini satu pengalaman yang cukup berharga dan tidak akan dilupakan serta menjadi sejarah abadi yang akan kekal sepanjang zaman. 

Bercakap mengenai sambutan peminat menerusi jualan tiket bagi menyaksikan konsert ini, Hazamin dari Inteam Records pula berkata, "Alhamdulillah, tiket konsert ini habis terjual pada minggu akhir sebelum ia dilaksanakan. Disebabkan ramai peminat yang terlepas membeli tiket, kami mengambil keputusan untuk mengadakan siaran tayangan tertunda konsert ini pada 5 November 2022 menerusi platform video dengan harga tontonan sehari adalah RM25, di mana setiap RM5 jualan tiket tersebut akan disumbangkan kepada kempen musim sejuk Pelarian Syria yang dibawakan khas ini oleh Pertubuhan Peduli Insan Malaysia".



Tambah Hazamin lagi, ramai peminat mencadangkan agar konsert ini dibawa ke seluruh Malaysia melalui siri jelajah, namun Inteam akur sekiranya ada penaja yang sudi merealisasikan impian ini, mungkin satu hari nanti ia akan dilakukan. Konsert Nasyid Legenda yang diadakan malam tadi juga menyenaraikan 25 buah lagu nasyid malar segar yang pernah popular suatu ketika dahulu. Antara lagu yang dinyanyikan dalam konsert ini adalah 'Perjalanan 2, Jangan Menghina, Kembara Di Tanah Gersang, Bila Nur Melimpah Di Hati, Pahlawan Agana, Munajat, Mana Milik Kita, Handzalah, Puji-Pujian' dan banyak lagi.

Menariknya konsert ini adalah menerusi segmen yang dianjurkan. Terbahagi kepada 4 segmen utama merangkumi segmen nasyid tahun 70-an, 80-an, 90-an sehinggalah kepada segmen tribute pahlawan nasyid dan nasyid kontemporari penghujung tahun 90-an hingga 2000. Sebahagian dari hasil jualan tiket Konsert ini akan disumbangkan  ke tabung kebajikan Badan Islam MBPJ dan Persatuan Kebajikan Sahabat Nadamurni. 

Selain persembahan nasyid yang diiringi pemuzik iringan, penonton turut disajikan dengan deklamasi puisi oleh pemuisi terkenal, Ustaz Dinie Juri dan juga lakonan sketsa. Bagi anda yang terlepas untuk menyaksikan konsert ini pada 29 Oktober lalu, jangan kecewa kerana tayangan tertunda sambil beramal boleh didapati dari laman facebook Peduli Insan atau klik tonton di sini. 

0 comments :