Malaysia - Singapore - Indonesia - Brunei
for film & entertainment industry


MICHELLE YEOH RANGKUL PELAKON WANITA TERBAIK DI OSCARS 95

Kemenangan Michelle Yeoh di Anugerah Akademi Oscar ke-95, membuktikan anak Malaysia mampu terbang jauh ke Hollywood.

VIU DAN ASTRO JALIN KERJASAMA STRATEGIK?

Alami pengalaman penontonan baharu melalui kerjasama strategik antara viu dan ASTRO yang mampu membuka lebih luas pasaran dalam bidang penyiaran dengan pelbagai rancangan terbaik seluruh Asia.

ASTRO RAIKAN RAMADAN DENGAN SAJIAN PELBAGAI RANCANGAN DAN PROGRAM MENARIK

Sempena bulan Ramadan penuh keberkatan, Astro tampil meraikan Ramadan dengan pelbagai karya tontonan khususnya buat pelanggan Astro.

ANTARA MITOS DAN FANTASI. HARUM MALAM SETARAF FILEM SERAM HOLLYWOOD?

Bukan sahaja sebagai sebuah karya seram tempatan yang berbeza, namun Harum Malam wajar diakui sebagai sebuah filem Malaysia bertaraf antarabangsa.

KONSERT 25 TAHUN LAH AHMAD HABIS TERJUAL

Walaupun baru diumumkan dan tidak sampai 24 jam, tiket bagi menyaksikan konsert 25 Tahun Lah Ahmad habis terjual.

Selasa, 21 Mac 2023

ASTRO ORIGINALS MEMPERSEMBAHKAN ‘LIAR’, DRAMA ADAPTASI ANTARABANGSA DARIPADA CALON SIRI THRILLER TERBAIK DI BAFTA AWARDS AKAN DATANG 25 MAC INI

Selepas kejayaan dan fenomena luar biasa drama premium High Council, Astro Originals mengukuhkan lagi jenamanya sebagai jenama terbaik dalam mempersembahkan konten berkualiti menerusi naskhah terbaru bertajuk LIAR, sebuah adaptasi antarabangsa daripada calon siri thriller terbaik di BAFTA Awards dan British Screenwriters’ Award.

Liar diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama Double Vision dan All3Media Internasional. Siri asal Liar merupakan terbitan Two Brothers Pictures untuk ITV dan Sundance TV pada tahun 2017. Liar mengangkat genre thriller yang meneroka tema stereotaip jantina, kekeluargaan serta penipuan. Drama hebat ini telah berjaya meraih jumlah tontonan paling tinggi 7 juta, sekali gus mencatatkan jumlah terbesar bagi drama baru yang pernah ditonton di ITV sejak 2014. Drama ini juga ditayangkan di Australia dan New Zealand. Menariknya, Liar turut mempunyai versi remake dari Sepanyol pada tahun 2020 menggunakan tajuk ‘Mentira’s, versi Jerman menggunakan tajuk ‘Du Sollst Nicht Lügen’, serta negara lain yang membuat remake adalah Perancis, Itali dan Turki.

Sinonim dengan jalan cerita yang penuh plot twist dan watak-watak yang menonjol sehingga berjaya mencetus keterujaan penonton pada setiap episod, Liar mengisahkan tentang dua insan yang bertemu dalam sebuah temu janji, namun semuanya berubah di luar jangkaan pada hari keesokannya. Seorang telah memperdaya, manakala seorang lagi diperdaya. Kerana kuasa, penipuan mampu memadamkan kebenaran.

Liar membariskan pelakon-pelakon hebat negara seperti Tiz Zaqyah, Tony Eusoff, Ezzaty Abdullah, Dato’ Jalaluddin Hassan, Wan Raja, Nadiya Nisaa, Atilia Haron, Nazrief Nazri, Haridhass Selvaraju, Naz Rahman, Nas-T, Aniq Suhair, Farah Ahmad, Joyce Harn dan Charles Roberts. Manakala, pengarah Jason Chong, Imri Nasution dan Lim Siu Min.

Drama berdurasi 1 jam ini akan ditayangkan bermula 25 Mac 2023, setiap Sabtu, bermula jam 12 tengah malam di platform On Demand atau Astro Go. Manakala bermula 3 April 2023, setiap Isnin, jam 9.00mlm di Astro Ria.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara dan merangkap Penerbit Eksekutif Liar, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Rentetan kejayaan drama-drama Astro Originals, kami berusaha meningkatkan kualiti sekali gus dapat menampilkan kandungan yang mampu mencipta penanda aras baru dan memberi impak kepada industri seni negara. Terbaru adalah Liar yang diadaptasi daripada calon siri terbaik luar negara dan kami rasa amat teruja untuk mempersembahkannya dalam versi dan format Malaysia. Ini merupakan kali pertama Astro Originals mempersembahkan naskhah adaptasi dan kami memilih naskhah Liar kerana daya tarikannya seperti jalan cerita, konsep dan tema yang diangkat; serta percaya ia mempunyai potensi untuk hangat diperkatakan ramai. Sementara itu, bekerjasama dengan produksi Double Vision dan All3Media International membuka lagi ruang untuk Astro mempamerkan keupayaan sebagai platform yang menghasilkan karya yang mampu mendominasi arena antarabangsa. Kami harap naskhah Liar versi Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri dan dapat menawan hati penonton seperti mana versi-versi di negara lain.”


Naib Presiden, APAC All3Media Internasional, Kit Yow, berkata, 
Kami amat teruja siri LIAR mempunyai satu lagi versi adaptasi terbaru dan ia akan ditayangkan di Malaysia hasil kerjasama bersama Astro dan Double Vision. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menjayakan LIAR dan memastikan versi Malaysia turut menyelitkan kreativiti elemen budaya tempatan agar drama dan watak dapat meninggalkan kesan di hati penonton”.

Wakil Double Vision merangkap Penerbit Eksekutif dan Pengarah Liar, Lim Siu Min – “Liar adalah projek yang amat dekat di hati saya kerana ia mengangkat subjek yang sering berlaku di negara kita namun jarang diketengahkan di kaca televisyen Malaysia dan saya  percaya topik ini perlu diketengahkan. Meskipun subjek ini dilihat sensitif namun ia dapat dipersembahkan dalam nilai hiburan dengan membawakan mesej pengajaran. Semua ini tidak akan berhasil tanpa kerjasama Astro yang berani mengetengahkan topik ini. Saya harap penonton dapat melihat hasil usaha kami penerbit, barisan pelakon, tenaga kru dalam mempersembahkan naskhah yang bukan sekadar menghiburkan tetapi penuh pengajaran.

Two sides, One Truth. Liar mengisahkan tentang Lara Sulaiman, seorang guru yang bijak dan berdedikasi. Selepas bercerai dengan suaminya, Lara cuba untuk ‘move on’ dan mula keluar janji temu. Lara mengenali Aiman Yusuf iaitu seorang pakar bedah. Aiman Yusuf juga pernah melalui episod perit dalam kehidupannya sebelum ini. Mereka rasa amat selesa dengan kehadiran masing-masing. Namun, temu janji pertama mereka berubah menjadi mimpi ngeri. Lara menuduh Aiman merogolnya, manakala Aiman menegaskan bahawa dia membantu Lara yang tidak sihat untuk pulang dengan selamat. Siapa yang bercakap benar? Liar menyaksikan penipuan yang memusnahkan kehidupan Lara dan Aiman, serta rakan-rakan mahupun keluarga mereka apabila rahsia dan pembohongan terbongkar.

Saksi drama premium, Liar mulai 25 Mac 2023, setiap Sabtu, bermula jam 12 tengah malam di platform On Demand atau Astro Go. Manakala bermula 3 April 2023, setiap Isnin, jam 9.00mlm di Astro Ria. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman sosial, Instagram, TikTok, Twitter, Facebook Astro Shaw atau Astro Gempak untuk maklumat lanjut.

Isnin, 20 Mac 2023

"THE WORLD OF TIM BURTON", PAPARKAN HASIL KARYA PENGARAH FILEM TERSOHOR, TIM BURTON DI MUZIUM POP-UP BERTARAF DUNIA DI MALAYSIA BERMULA MAC 2023 HINGGA JULAI 2023.

Mencipta memori yang indah bersama orang yang tersayang, peminat seni dan filem khususnya di Malaysia , berpeluang untuk menyaksikan muzium pop-up bertaraf dunia yang dinanti-nantikan ‘The World of Tim Burton.’ Dianjurkan oleh Toybox Projects Sdn. Bhd, iaitu merupakan sebuah syarikat hiburan dan media bertaraf multinasional, pameran yang julung kali diadakan ini merupakan inisiatif untuk memberikan kesedaran tentang sektor pelancongan negara melalui hiburan demi menarik pelancong dari dalam dan luar negara pada tahun ini. 


‘The World of Tim Burton.’ telah dianjurkan dengan jayanya di pelbagai negara terkemuka sejak 2009 seperti China, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong, Jerman, Mexico, Belgium, Prague dan banyak lagi. Pada tahun ini, Malaysia dengan rasminya menjadi salah sebuah negara yang menjayakan acara bertaraf dunia ini menerusi pameran Tim Burton berskala besar. Menerusinya, Toybox Projects antara produksi tempatan telah mendedikasikan usaha yang menyeluruh di dalam pelaburan, perbincangan, dan perancangan mengenai pelaksanaan acara bertaraf dunia dengan harapan untuk membawa rakyat Malaysia menikmati hiburan dalam pelbagai bentuk menerusi pameran seni bertaraf antarabangsa yang tentunya mempunyai permintaan yang tinggi.


YB Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) berkata, “Kami berbangga untuk menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara yang menjadi tuan rumah bagi pameran ini. Ini menjadi bukti tentang kebolehan dan keupayaan sektor industri Kreatif Malaysia dan saya positif bahawa ianya bakal memberi inspirasi kepada pembuat filem, artis, dan penggiat seni kreatif untuk mempamerkan kemampuan mereka. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Toybox Projects di atas usaha membawa pameran bertaraf dunia ini dan menyediakan platform untuk memperkenalkan dan mempromosikan Malaysia Truly Asia dan apa yang kita mampu tawarkan.


Menariknya, para pengunjung berpeluang mendalami arkib peribadi Tim Burton yang melakarkan hasil kreatif beliau dari zaman kanak-kanak hinggalah ke hari ni dengan lebih 500 lakaran, lukisan berwarna, foto, buku lakaran, imej bergerak dan arca yang memberi tumpuan kepada tema visual yang berulang dengan kesesuaian watak menerusi filem dan seni ciptaannya.


Muzium pop-up ini bakal mempamerkan 10 bahagian bertema yang mengandungi lakaran, lukisan, foto, video, dan seni media serta teaser karya terkini melalui replika studio peribadi beliau. 



Bahagian 1: Pengaruh

Kebolehan Tim Burton sebagai pengkarya seni dipamerkan di bahagian ini. Karya awal beliau mempunyai pengaruh besar dari aspek kesenian turut dipaparkan. Menariknya, Lukisan dari zaman kanak-kanak beliau dan fasa kerjaya awal Tim sebagai anak seni mendapat pengaruh dari pelukis kartun klasik seperti Edward Gorey, Charles Addams, Don Martin dan Theodore Geisel (Dr. Suess). Menerusinya juga, beberapa nota kelas dari lakaran zaman pengajian beliau di California Institute of the Arts (CalArts) sedikit sebanyak memberi gambaran tentang pengajian formal beliau di dalam bidang seni. Beberapa karya hebat yang memberi inspirasi kepada Tim sehingga menjadikan beliau antara tokoh perfileman hebat dapat disakksikan menerusi segmen ini. kaiju Jepun (raksasa), filem, pawagam ekspresionis, katalog filem seram Universal Studio, tokoh animasi stop-motion Ray Harryhausen, dan tokoh suspen Vincent Price juga turut dipamerkan di dalam hasil kerja bahagian ini.  


BAHAGIAN 2: Musim Perayaan

Menerusi bahagian ini, peminat karya seni Tim dapat menyaksikan kepelbagaian tema filem yang diambil dari tempat Tim Burton membesar. Burbank, California antara dua negara merupakan sebuah kejiranan yang hanya meriah semasa musim perayaan. Jika dilihat dari karya yang dihasilkan, kebanyakkannya ia mencerminkan kreativiti dari masyarakat yang suram. Faktor inilah banyak mempengaruhi karya-karya beliau - sama ada dalam bentuk penghargaan yang ikhlas atau sebagai sebuah satira. Ini termasuk buku puisi bergambar -, “The Melancholy Death of Oyster Boy and Other Stories” (1997) dan animasi stop-motion muzikal “The Night Before Christmas” (1993) yang menghubungkan perayaan Halloween dan Krismas secara seram dan ceria.



BAHAGIAN 3 : CARNIVALESQUE

Tema yang dipanggil “carnivalesque” merupakan gabungan antara komedi dan ngeri. Ini dapat dilihat dari filem-filem Tim Burton seperti Beetlejuice (1988), Batman (1989), Alice in Wonderland (2010) dan Dark Shadows (2012) beserta lukisan-lukisan peribadi beliau. Keharmonian gabungan antara elemen seram dan komedi dapat disaksikan menerusi paparan seperti lidah yang terbelit, mata yang terkeluar dan badut-badut beracun yang disulami dengan aspek lelucon bagi mencerminkan tema dengan kepadatan yang agak jelas. 





BAHAGIAN 4 : KARYA-KARYA FIGURATIF

Karya peribadi dari koleksi Tim Burton turut dipamerkan di ruang karya-karya figuratif di mana 'lukisan, warna dan arca' memainkan peranan penting bagi menterjemahkan hasil karya Tim bukan sahaja sebagai pengkarya professional malahan turut juga dianggap sebagai bahan seni peribadi tersendiri. Blue Girl with Wine dan The Green Man antara dua buah karya profilik Tim Burton turut menghiasi sudut ini, di mana peminat seni dapat melihat bagaimana Tim menterjemahkan maksud karya dari perspektif yang aneh dan paparan susuk tubuh manusia yang mencakupi nilai estetika sebagai karya seni yang menjadi bahan kajian beliau sebagai pengkarya bebas yang dianggap 'pelik' dan berbeza dengan hasil karya pengkarya seni lain.



BAHAGIAN 5 : ORANG TERBUANG YANG DI SALAH ERTI 

Kebanyakkan hasil karya Tim Burton boleh dianggap pelik. Tema seperti 'arketipikal mahupun autobiografi' memberikan maksud 'orang terbuang yang di salah erti'. Ini merujuk kepada watak-watak bersimpati yang boleh ditemui dalam projek filem pendek animasi stop-motion Vincent (1982) hingga filem blockbuster Hollywood Alice in Wonderland (2010). Selain itu, konsep Balloon Boy dari sebuah lukisan turut dipasang di ruang muzium ini. Ia mengambil pendekatan asal yang mempunyai keluasan 22 kaki yang ditempah khas oleh Muzium Seni Moden untuk lobi pintu masuknya semasa pembentangan sulung pameran Tim Burton. Ciptaan asli ini berwajah sayu dan merangkumi ciri-ciri orang terbuang  yang disayangi artis.



BAHAGIAN 6 : WATAK FILEM

Bagi pengunjung yang mengenali Tim Burton menerusi karya dari filem pertamanya, Pee-wee’s Big Adventure (1985) hingga ke filem terbarunya, Dumbo (2019) turut dipamerkan di bahagian ini. Pengunjung yang juga peminat karya-karya Tim Burton mungkin beruntung kerana dapat menyaksikan pelbagai hasil karya beliau mencakupi lukisan, video, nota skrip, papan cerita, boneka, dan maket persembahan. Ini memberikan definisi bahawa karya seni Tim bersifat universal yang boleh diterjemahkan dari idea terus ke skrin pawagam.





BAHAGIAN 7 : POLAROID 

Bagi mereka yang meminati seni foto, berpeluang menyaksikan cetakan gambar polaroid yang dirakamkan menggunakan kamera instan berformat besar 20 x 24 yang jarang digunakan. Hasil karya antara tahun 1992 hingga 1999 dapat dilihat menerusi bahagian ini. Keindahan seni foto dari Tim Burton ini melambangkan beliau sebagai pemikir seni dan karyawan hebat yang mampu menterjemahkan pelbagai cerita ke bentuk filem.



BAHAGIAN 8 : MENGELILINGI DUNIA

Dikenali sebagai pengkarya hebat yang merantau ke pelbagai pelusuk dunia, dapat disaksikan menerusi segmen ini. 'Lakaran di dalam buku lukisan, kertas nota hotel, dan kertas tisu hotel', menjadi antara intipati menarik bagi menggambarkan tindak balas dari imaginasi beliau yang tidak tenteram. Gaya hidup sebagai pembikin filem dapat disaksikan melalui imejan yang dirakamkan meliputi lokasi penggambaran, festival filem, ldan lawatan publisiti. Ini sekaligus memberikan inspirasi kepada pengunjung bahawa Tim Burton antara pengkarya seni yang tidak sama, sedikit berbeza tetapi memberikan impak hebat dalam dunia perfileman antarabangsa.



BAHAGIAN 9 : PROJEK YANG TIDAK DIREALISASIKAN

Walaupun dikenali menerusi pelbagai jenis karya, beberapa hasil seni yang mungkin tidak popular dari hasil karya filem, televisyen, dan buku juga turut dipamerkan di bahagian ini. Pengunjung berpeluang menyaksikan secara dekat bagaimana seni karya Tim Burton berhubungan dengan kehidupan artistik pemiliknya. Lakaran di dalam bahagian ini memberikan imbasan ke dalam projek yang tidak diketahui ramai sebelum ini yang mengesahkan kesinambungan tema dan motif juga menjadi inspirasi untuk reka bentuk pameran-pameran karya seni  Tim Burton yang agak luar biasa.



BAHAGIAN 10 : STUDIO ARTIS

Tim Burton adalah seorang artis bersendirian, sentiasa melukis, mewarna, dan merancang di studio kerjanya. Buat pertama kalinya, sebahagian daripada studio Tim Burton direplikasi  sebagai cara untuk pengunjung merasai bagaimana keghairahan dan semangat artistik beliau. Lakaran dan lukisan pada papan gabus menampilkan karya yang berkaitan dengan projek semasa, termasuk hasil karya ciptaan beliau untuk arca pintu masuk pameran di Seoul dan projek siri TV baharunya, Wednesday.


Cik Yuri Aizawa, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Toybox Projects Sdn. Bhd serta Penganjur dan Penyampai bagi The World of Tim Burton berkata, "The World Of Tim Burton', antara projek mega yang kini berlangsung di Pavillion Bukit Jalil. Ia mengambil pendekatan bagi membawa sinema dunia ke pasaran tempatan menerusi pameran ikonik dari karyawan filem dunia tersohor, Tim Burton. Menerusinya, kami sebagai pelopor di sini bagi berkongsi pengalaman memandangkan sebelum ini kami pernah terlibat dalam dunia hiburan di Jepun. Menerusi pameran ini, kami berharap peminat filem seni di Malaysia dapat merasai apa yang kami hidangkan".


Tambahan pula, peminat Tim Burton berpeluang untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang seni perfileman melalui masterclass maya bertajuk “Tim Burton’s Masterclass” yang di hos oleh Tim Burton sendiri pada 14 April 2023 dimana beliau akan menceritakan tentang seni perfileman, proses kreatif, dan perjalanan ke arah kejayaan di dalam industri hiburan dan filem. 


Pengalaman istimewa untuk mendalami hasil karya tokoh perfileman tersohor ini bermula 21 Mac 2023 hingga 30 Julai 2023 dan tiket boleh didapati di  https://kol-nation.com/the-world-of-tim-burton-malaysia/ berharga RM 88 untuk orang dewasa, RM 68 untuk kanak-kanak dan warga emas, dan RM48 untuk OKU. Para pengunjung juga boleh mendapatkan pas bermusim (kemasukan berulang kali) berharga RM 498 atau pakej VIP yang merangkumi pas bermusim, masterclass, buku The Art of Tim Burton dan barangan eksklusif yang ditandatangani pada harga RM 1,500.

The World of Tim Burton dianjurkan dan dipersembahkan oleh Toybox Projects Sdn. Bhd. dengan kolaborasi bersama Tim Burton Productions dengan kerjasama Eurasian Entertainment Consultants LTD (EEC) dan KOL Nation bersama Onecare Wellness™ sebagai penaja utama bersama Pavillion Bukit Jalil sebagai lokasi utama penganjuran.

Ahad, 19 Mac 2023

'ARTIS LELAKI TIDAK DIBENARKAN MENYERUPAI WANITA', SYARAT YANG PERLU DIPATUHI DALAM PUSPAL

Bagi menghormati budaya dan agama islam di Malaysia, PUSPAL menerusi garis panduan terbaharunya itu telah menambah baik keperluan sedia ada menerusi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara. Garis panduan yang dikeluarkan itu memaklumkan bahawa apa jua persembahan samada dibuat secara tertutup, semasa atau pada malam sambutan hari kebesaran Islam adalah tidak dibenarkan. Ia merujuk kepada hari-hari istimewa dalam bulan islam seperti bulan Ramadan, Tahun Baru Islam (Awal Muharram), Maulid Nabi Muhammad, Israk dan Mikraj, Nisfu Sya'ban, Nuzul Al-Quran, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji.

Larangan ini termaktub kepada persembahan artis luar negara sahaja yang ingin mengadakan konsert di Malaysia berkuatkuasa  tahun depan, 2024. Namun bagi mereka yang mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Islam berkaitan, akan dikecualikan. Sebelum ini, menurut garis panduan Puspal sejak 2019, tidak melarang sebarang persembahan pada malam sebelum dan pada hari sambutan kebesaran agama Islam selain bulan Ramadan. 

Bagaimanapun, garis panduan baharu itu memberi sedikit kelonggaran kepada penganjur mengadakan persembahan konsert artis luar negara ketika bulan kemerdekaan. Menurut garis panduan lama, persembahan sedekimian tidak dibenarkan dari 25 Ogos hingga 16 September. Namun berdasarkan garis panduan baharu itu, hanya tarikh 30 Ogos, 31 Ogos, 15 September dan 16 September (Hari Malaysia) adalah dilarang mengadakan persembahan.

Dari segi pemakaian pula, garis panduan baharu Puspal itu juga turut melarang mana-mana artis lelaki mengenakan solekan atau dandanan yang menyerupai wanita ketika membuat persembahan. Menanggalkan pakaian sehingga separuh bogel dikalangan artis lelaki dan perempuan luar negara juga tidak dibenarkan. Ini merujuk kepada mana-mana persembahan artis  yang dilakukan secara terbuka atau tertutup. 

Apabila berbicara mengenai soal kreativiti pembikin filem dan pengkarya luar negara yang ingin memohon untuk melakukan penggambaran dalam negara, mereka haruslah mendapat kelulusan terlebih dahulu dari Puspal. Kelulusan ini merujuk kepada penilaian kandungan jalan cerita dan skrip yang dikemukakan untuk penerbitan. Namun haruslah diingatkan bahawa, setiap skrip dan jalan cerita yang disertakan untuk kelulusan hendaklah tidak boleh menyentuh mana-mana isu sensitiviti dalam negara seperti soal keselamatan, badan beruniform dan sebagainya yang dihasilkan bertujuan untuk propaganda berunsur negatif adalah tidak dibenarkan. 

Menurut Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital dalam satu kenyataan berkata, "kita akan membuat pindaan mengikut garis panduan Puspal berdasarkan kesesuaian dengan menambah baik beberapa kemungkinan. Ini merujuk kepada beberapa aktiviti atau perkara yang boleh mencetuskan provokasi atau sensitiviti di kalangan masyarakat beragama islam khususnya berhubung penganjuran konsert artis luar di Malaysia".  Namun Fahmi berharap dengan perubahan yang ada nanti, sedikit sebanyak memberikan kita kebaikan dari segi kehidupan tanpa menjejaskan ekonomi dengan merujuk kepafa garis panduan sedia ada . 

Selasa, 14 Mac 2023

VIU DAN ASTRO JALIN KERJASAMA BAGI MEWUJUDKAN PENONTONAN LEBIH BAIK MELALUI ULTRA BOX

Sebagai sebahagian daripada Pengalaman Baharu Astro, kami giat mengembangkan perkhidmatan penstriman kami dengan membawa aplikasi Viu yang dipenuhi dengan hiburan Asia ke platform kami. Para pelanggan Astro kini boleh mengakses Viu di pelbagai skrin termasuk Ultra Box untuk rancangan popular termasuk drama Korea Taxi Driver 2 dan Delivery Man, serta rancangan lain termasuk drama Thailand dan Indonesia, siri Viu Original, rancangan variasi Korea dan banyak lagi kandungan-kandungan tempatan yang akan datang.

Sempena sambutan pelancaran ini, Astro juga memberi akses PERCUMA ke Viu Premium kepada
semua pelanggan Ultra Box sehingga 8 Jun 2023. Para pelanggan boleh strim rancangan seperti
Nenek Bongkok Tiga, The Secret Romantic Guesthouse, Bilik Tepi (tayangan perdana pada hari ini), Return Man, Mantan Tapi Menikah dan Boys Planet melalui Ultra Box mereka atau on-the-go melalui aplikasi mudah alih Viu.


Pengarah Kandungan Astro, Agnes Rozario berkata, “Sebagai penambahan terbaharu kepada
platform Astro baharu kami, Viu akan menambah lagi kedalaman dan keluasan kandungan untuk
para pelanggan kami yang kini mempunyai akses kepada lebih 90,000 rancangan menerusi On Demand serta lapan aplikasi premium. Dengan sukan antarabangsa dan tempatan terbaik yang bersiaran secara langsung, kandungan hit Astro Originals, rancangan premium antarabangsa dan serantau serta kandungan signatures Astro kegemaran semua, kami yakin Viu akan mengukuhkan kedudukan Astro sebagai destinasi hiburan untuk rakyat Malaysia dengan drama-drama Korea yang meluas dan siri original.”

Ketua Pegawai Eksekutif Viu dan Pengarah Urusan PCCW Media Group, Janice Lee berkata, “Kami sangat teruja melancarkan kerjasama ini bersama Astro. Kerjasama ini mampu meluaskan kecapaian penonton untuk kedua-dua pihak di serata Malaysia. Dengan capaian meluas dan pangkalan pelanggan Astro yang utuh serta komitmen berterusan daripada Viu terhadap kandungan-kandungan untuk para penonton Malaysia, kerjasama ini adalah penting untuk memajukan peningkatan pengguna dan penglibatan bagi kedua-dua perkhidmatan. Kami teruja untuk melihat para pelanggan Astro menjadi Viu-er baharu yang akan menikmati kandungan-kandungan kami dari seluruh Asia dengan drama seperti Viu Original Malaysia yang sedang trending, Nenek Bongkok Tiga dan Viu Original Korea, Taxi Driver 2 dan Delivery Man.”

Penambahan menarik Astro ini membawa kesinambungan kepada barisan aplikasi penstrimannya yang kukuh termasuk Netflix, Disney+ Hotstar, HBO GO, iQIYI, BBC Player, TVBAnywhere+ dan beINSPORTS CONNECT. Dengan matlamat untuk membawa lebih banyak hiburan dari seluruh dunia untuk dinikmati para pelanggan kami, Astro juga akan memperkenalkan Zee5 dan banyak lagi aplikasi kepada platform kami tidak lama lagi.


Para pelanggan Astro boleh mula strim semua rancangan kegemaran mereka di Viu dengan 
membuka aplikasi tersebut di Ultra Box mereka. Selain itu, mereka boleh klik “Pair Account” dan ikuti langkah yang tertera di skrin untuk log masuk dengan ID mereka atau reka ID asas baharu dan pautkan akaun mereka dengan Ultra Box untuk menikmati Viu di laman sesawangnya dan aplikasi mudah alih. Kini, para pelanggan boleh menikmati Viu dengan semua peranti mereka.

Viu Premium berharga RM14.90/sebulan (RRP). Para pelanggan Astro boleh terus mengakses Viu Premium dengan menambahnya ke langganan mereka pada tawaran eksklusif selepas 8 Jun 2023. Sila layari www.astro.com.my/viu untuk mendapatkan maklumat terkini tentang tawaran-tawaran lain. Para pelanggan yang tidak mempunyai Ultra Box dan ingin menebus percubaan percuma ini boleh menaik taraf ke Ultra Box dengan menghubungi Pusat Perkhidmat Pelanggan kami di 03-95433838.

Isnin, 13 Mac 2023

MICHELLE YEOH RANGKUL PELAKON WANITA TERBAIK, DI ANUGERAH AKADEMI OSCAR KE 95

 

Memulakan kerjaya seawal tahun 80-an di Hong Kong menerusi The Owl vs Bombo (1984), kemudian mencipta fenomena menerusi filem Police Story 3 : Super Cop (1992), Memoirs Of  A Geisha (2005), dan banyak lagi, Bintang Filem Hollywood kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh antara figura tersohor dunia yang mencipta fenomena luar biasa apabila menjadi antara wanita asia pertama yang merangkul trofi Anugerah Akademi Oscar ke-95 menerusi filem Everything Everywhere All At Once.

Filem yang mengisahkan tentang seorang wanita Cina Amerika bernama Evelyn Wang yang mengalami pelbagai konflik dalam kehidupan, termasuklah masalah cukai ini telah memerangkap beliau dalam dunia multiverse. Diarahkan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert, Everything Everywhere All At Once ini telah menobatkan Michelle Yeoh sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi Oscar ke-95, yang telah berlangsung di Dolby Teater, Los Angeles, hari ini. 

Filem yang juga menampilkan Ke Huy Guan, Jamie Lee Curtis, dan ramai lagi itu juga turut memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Filem terbitan IAC Films, Gozie AGBO, Year Of The Rat & Ley Line Entertainment ini juga memenangi Pengarah Terbaik (Daniel Kwan & Daniel Scheinert), Penyunting Terbaik (Paul Rogers), Skrip Asal Terbaik Terbaik dan Filem Terbaik,  

Ketika ditemui media di sebuah acara tertutup bagi sambutan Oscar ke-95 di Dadi Cinema Pavillion, Kuala Lumpur, Janet Yeoh yang merupakan ibu kepada Michelle teruja dan gembira dengan kemenangan Michelle Yeoh di Anugerah Akademi tersebut. Manakala Tunku Mona Riza, pengarah filem Redha dalam ciapan di laman sosialnya pula teruja dengan kemenangan pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu. 'Kemenangan Michelle harus menjadi inspirasi buat semua', ujar Tunku Mona Riza berharap suatu hari nanti akan ada karya tempatan mampu bersaing di Oscar yang menjadi idaman kebanyakkan pembikin filem di seluruh dunia.

Selain Everything Everywhere All At Once, Filem  The Whale, Guillermo Del Toro's Pinocchio, All Quiet On The Western Front, Black Panther: Wakanda Forever, Navalny, The Elephant Whisperers, Naatu Naatu, The Boy The Mole The Fox And The Horse, An Irish Goodbye, Top Gun: Maverick, Avatar: The Way Of Water, dan Women Talking juga berjaya memenangi anugerah di Oscar ke-95. 

Terdahulu, menerusi watak dijayakan Yeoh dalam filem ditayangkan Mac tahun lalu itu turut membawa tuah kepadanya apabila memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi, Anugerah Golden Globe dan Pelakon Wanita Terbaik, Screen Actors Guild Awards (SAG).



KEPUTUSAN PENUH ANUGERAH AKADEMI / OSCAR 95

Filem Terbaik / Best Picture
Everything Everywhere All At Once

Skrip Lakon Layar Terbaik / Writing (Original Screenplay)
Everything Everywhere All At Once
Daniel Kwan & Daniel Scheinert

Skrip Adaptasi Terbaik / Writing (Adapted Screenplay)
Women Talking / Sarah Polley

Visual Efek / Visual Effects
Avatar: The Way Of Watyer 
Joe Letteri, Richard Baneham, Eric Saindon & Daniel Barret

Penataan Bunyi Terbaik / Sound
Top Gun : Maverick 
Mark Weingarten, James H.Mather, Al Nelson. Chris Burdon & Mark Taylor

Filem Pendek (Live Action) / Short Film (Live Action)
An Irish Goodbye 
Tom Berkeley and Ross White

Filem Pendek Animasi / Short Film (Animated)
The Boy, The Mole, The Fox and The Horse 
Charlie Mackesy and Matthew Freud

Rekaan Produksi / Production Design
All Quiet On The Western Front 
Production Design: Christian M.Goldbeck; Set Decoration: Ernestine Hipper

Muzik (Lagu Asal) / Music (Original Song)
Naatu Naatu 
from RRR / Music by M.M Keeravaani / Lyrics by Chandrabose

Muzik Skor / Music (Original Score)
All Quiet On The Western Front  
Volker Bertelmann

Solekan & Penata Rias / Make UP & Hairstyling
The Whale \
Andrien Morot. Judy Chin & Annemarie Bradley

Filem Cereka Antarabangsa / International Feature Film
All Quiet On The Western Front 

Penyunting Filem Terbaik / Film Editing
Everything Everywhere All At Once
Paul Rogers

Filem Dokumentari Pendek / Documentary Short Film
The Elephant Whisperers
Kartiki Gonsalves & Guneet Monga

Filem Dokumentari / Documentary Feature Film
Navalny 
Daniel Roher, Odessa Rae, Diane Backer, Melanie Miller & Shane Boris

Pengarah Terbaik / Directing
Everything Everywhere All At Once
Daniel Kwan & Daniel Scheinert

Pereka Busana / Costume Design
Black Panther : Wakanda Forever

Sinematografi / Cinematography
All Quiet On The Western Front 
James Friend

Filem Animasi / Animated Feature Film
Guillermo Del Toro's Pinocchio
Guillermo Del Toro, Mark Gustafson, Gary Ungar & Alex Bulkley

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik / Actress In A Supporting Role
Jamie Lee Curtis / Everything Everywhere All At Once

Pelakon Wanita Terbaik / Actress In A Leading Role
Michelle Yeoh / Everything Everywhere All At Once

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik / Actor in A Supporting Role
Ke Huy Guan / Everything Everywhere All At Once

Pelakon Lelaki Terbaik / Actor In A Leading Role
Brendan Fraser / The Whale


Ahad, 12 Mac 2023

ASTRO RAIKAN KEMULIAAN RAMADAN DENGAN SAJIAN PELBAGAI RANCANGAN DAN PROGRAM MENARIK

Mengangkat tema
‘Bukalah Hati’, syarikat penyiar dan penstriman utama negara , Astro menyambut ketibaan bulan Ramadan dengan pelbagai sajian hiburan yang merangkumi variasi genre termasuk Islamik, ilmiah serta pengisian kandungan hiburan yang bakal memenuhi keperluan para pelanggan Astro dalam menunaikan ibadah puasa bersama keluarga dan sahabat handai.

Tema kali ini mengangkat elemen kerohanian yang menyeru umat Islam untuk kekal tabah tatkala menghadapi dugaan dan cabaran dengan membuka hati dalam mencari erti keredaan ketika menjalani ibadah puasa. Dengan keterbukaan hati, nescaya apa jua dugaan mendatang akan menemui penyelesaian yang pasti. Kempen kali ini turut melantik pelakon berbakat hebat serta berkaliber, Nadhir Nasar sebagai duta kempen korporat Ramadan Raya Astro buat kali kedua. Pelakon yang kian mengukir namanya di persada lakonan tempatan, Qasrina Karim pula dipilih sebagai duta kempen ini buat julung kalinya.

Menurut Azlin Reza Azmi, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro dalam satu kenyataan berkata, Bukalah hati, InsyaAllah keindahan pasti menanti. Begitulah tema kempen Ramadan Astro kali ini. Bulan yang dinanti- nantikan oleh umat Islam kini tiba, dan ramai di antara kita ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT meniti hari-hari mulia ini, sudah pastinya banyak dugaan serta cabaran mendatang. Oleh itu, keterbukaan hati merupakan aspek yang penting untuk kita menerima serta mengharungi dugaan-dugaan menanti.

Masa bersama keluarga turut menjadi nadi utama kita tatkala menunaikan ibadah pada bulan Ramadan. Oleh itu, Astro bakal menyajikan pelbagai rancangan Islamik yang dinamik dan pastinya akan membawa pelbagai manfaat kepada semua. Tidak kiralah yang tua ataupun muda, pastinya seisi keluarga akan terhibur sambil mendalami erti bulan yang mulia ini. Antara sajian kerohanian kami adalah Geng Ngaji Musim 4, Bidadari Syurga, Rockstar Ke Masjid Musim 2, Tahu Ke Tidok: Celik Agama, Jejak Adam 2023 serta Salam Famili yang membawa pengisian mendalam melalui pengertian penghijrahan berdasarkan kisah benar mahupun fiksyen.

Hiburan drama dan variasi yang disajikan pula akan membawa titipan yang bermakna dalam merungkai kisah-kisah yang menjadi refleksi komuniti kita. Banyak pengajaran kehidupan yang dapat diperoleh menerusi kandungan-kandungan di platform Astro termasuk drama Andai Itu Takdirnya, Liar serta Isteri Halal yang pastinya akan mendapat tempat di hati para peminat. Manakala drama rantaian Ramadan istimewa kami, Imam Instant Ustazah Scammer turut membawa realiti ‘viral’ di kalangan komuniti maya kini. Kisah-kisah ini diharapkan dapat dijadikan iktibar dan pengajaran berguna dalam kita mengharungi perjalanan duniawi, sambil mengecapi kemanisan ukhrawi.

Selain itu, istimewa Ramadan ini juga, kami bawakan format ‘game show’ antarabangsa yang paling popular yang telah kami adaptasi, Family Feud Malaysia. Akhir sekali, Salam Ramadan Mubarak. Semoga bulan mulia ini membawa limpahan rahmat dan keberkatan untuk kita semua.”
Sepanjang Ramadan ini, beberapa program dan kandungan telah disusun, antaranya:-


Platform Televisyen


  • Sajian Rancangan Islamik Yang Dinamik

Astro bakal menyajikan sajian berilmiah yang pasti akan membawa intipati yang memenuhi keperluan kerohanian dan keimanan menerusi saluran Astro Oasis. Antaranya Bidadari Syurga, sebuah rancangan bual bicara yang dihoskan oleh Lisa Surihani dan Ustaz Jafri Abu Bakar, memaparkan pengalaman sebenar yang pernah dilalui wanita-wanita hebat yang dijanjikan syurga. Saksikan jua Rockstar Ke Masjid Musim 2 yang akan berkongsi hidup and penghijrahan nama-nama besar muzik rock. Mereka juga akan 'busking' untuk mengumpulkan dana buat masjid tempatan mereka. Antara artis yang terlibat adalah Ezad Lazim, Zul Handy Black, Jayjay, Mel Wings, Asheed Def Gab C dan Zamani Slam. Manakala dokumentari Jejak Adam 2023, hos Zainal Ariffin Ismail berkelana dalam mencari tanda-tanda kehadiran Nabi Adam A.S di bumi Arab Saudi dan seterusnya, kedatangan agama Islam di bumi Melayu. Topik-topik yang bakal ditayangkan akan memberi inspirasi dan suntikan kesedaran kepada penonton dalam mencari barakah dalam kehidupan. Tahu Ke Tidok: Celik Agama pula merupakan program ‘game show’ yang menguji selebriti dan pelawak seperti Fikry Ibrahim, Saiful Apek, Sharif Zero, Eida Moin dan ramai lagi dalam pengetahuan asas agama mereka yang meliputi mata pelajaran PAFA (Perkara Asa Fardhu Ain). Saluran Astro Ceria pula akan menyajikan Salam Famili yang berkisarkan seorang Muallaf belajar menghadapi Ramadan pertamanya di Malaysia dan terjatuh cinta dengan seorang ibu tunggal. Untuk mengahwini cintanya, dia mestilah mendapat restu ayah kepada ibu tunggal tersebut dengan menunjukkan dirinya boleh menjadi imam yang baik. Dibintangi Nadiya Nisaa, Aiman Wynne, Amar Bahrin dan Sabri Yunus.



  • Sajian Drama Hebat Berganda-Ganda

Istimewa buat peminat drama melayu, Astro mempersembahkan barisan drama baharu menerusi saluran Ria. Antaranya Andai Itu Takdirnya yang membawa sisipan drama kehidupan dua insan yang menjalani bahtera perkahwinan yang regang dan duka berpanjangan. Adaptasi karya terbaik Siti Rosmizah, drama rantaian ini dibintangi Shukri Yahaya dan Hannah Delisha. Slot drama diteruskan dengan Imam Instant Ustazah Scammer, memaparkan kisah Ashraf yang mencuri tumpuan setelah bacaan Quran olehnya menjadi viral di media sosial. Malah dia turut digelar sebagai Imam Ashraf yang membuatnya tidak selesa dengan perhatian yang diberikan. Drama khas sempena Ramadan ini dibintangi Hun Haqeem, Mira Filzah dan Qasrina Karim. Astro Originals sekali lagi membawa drama rantaian yang bakal mencabar minda penonton dengan Liar. Drama ini mengisahkan Lara yang menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran untuk membuktikan bahawa dia telah diperkosa oleh seorang pakar bedah terkemuka. Drama thriller ini dibintangi Tiz Zaqyah dan Tony Eusoff. Menerusi slot Gempak Originals, drama komedi Gadis eXXtra mengisahkan kehidupan tiga gadis; Nina, Irwinda dan Sahira yang baru memperoleh ijazah tetapi terpaksa berdepan pelbagai halangan sebelum berjaya. Drama ini dilakonkan oleh Norreen Iman, Rita Nadira dan Alyshia Abegail.



  • Sajian Rancangan Hiburan, Komedi, Gaya Hidup Dan Animasi Yang Membawa Pengisian Bermakna

Sajian program-program bergenre hiburan, komedi, gaya hidup dan animasi kekal berjalan namun membawa pengisian yang mendalam dan bermakna. Menerusi saluran Astro Ria, ‘game show’ dan format paling popular antarabangsa kini di Malaysia. Family Feud Malaysia bakal menemui penonton seisi keluarga pada Ramadan ini bersama hos Nabil Ahmad. Selain itu, petang anda bakal dimeriahkan dengan program hiburan masakan Dapur Vaganza yang menampilkan Tok Ram dan Lina Pom Pom berperang di dapur bersama barisan peserta Gegar Vaganza. Rasa Nostalgia Kampung Style pula menyajikan program masakan yang membawa penonton balik ke kampung selebriti tanah air bersama lima hos berbeza setiap minggu; Chef Wan, Chef Ismail, Chef Adu, Jaafar Onn dan Rozita Che Wan.

Saluran Astro Warna pula bakal menyerikan malam-malam Ramadan para penonton dengan Sepahtu Al Puasa 2023 yang kembali menggeletek malam Jumaat anda dengan sketsa spontan dan santai yang memberikan seribu satu mesej positif dalam lawak jenaka mereka. Nantikan Travelawak: Projek Bapak Bapak yang merupakan program komedi realiti yang memaparkan gelagat dan telatah empat selebriti veteran tanah air iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Jalaluddin Hassan, Jatt Black Dog Bone serta Roy Azman yang mengembara ke Jepun dan menyahut cabaran-cabaran yang mencuit hati dan ‘luar biasa’ serta cuba membuktikan bahawa ‘Otai’ can have fun too.

Tidak ketinggalan, khas untuk penonton cilik, siri animasi paling popular yang kaya dengan mesej positif, Upin Ipin Musim terbaharu (Musim 16) bakal menemui anda menerusi slot Lepak @Les Copaque di saluran Astro Prima. Manakala, saluran Astro Ceria pula membawakan rancangan masakan Si Manis Bulan Ramadan, memaparkan anak-anak kepada para selebriti seperti Datuk Aaron Aziz, Nabil Ahmad dan Nadiya Nisaa yang memasak untuk ibu bapa mereka.


Platform Digital

Penghayatan kandungan Islamik berterusan menerusi platform Digital Astro. My Mosque merupakan sebuah rancangan bual bicara bersama Hazeman Huzir memaparkan selebriti ataupun personaliti terkenal berkongsi mengenai masjid kegemaran mereka serta kisah-kisah menarik di sebalik masjid tersebut. Antara tetamu undangan rancangan ini termasuk influencer dan content creator Maryam, Cik Ton dan juga Mizz Nina. Manakala Sayang Ajar Masak Ramadan memaparkan para selebriti termasuk Zizan Nin dan Hawa Rizwana memasak resipi kesayangan keluarga. Selain itu, Gempak juga bekerjasama bersama Tiktokers Amin Emo dalam HambaRamadan, bersaing dengan anaknya berbalas jenaka-jenaka ‘dadjokes’nya.


Astro First

Astro First kali ini menyajikan filem-filem hebat tempatan serta serantau sempena bulan Ramadan ini. Antaranya filem animasi Mechamato yang mengisahkan Amato menemui kapal angkasa penjara mengandungi robot jahat yang terhempas ke bumi. Salah satunya MechaBot, berupaya untuk mekanisasi objek harian menjadi peranti berteknologi tinggi. Amato berjaya mengakali MechaBot dan sejak itu mereka bekerjasama untuk mencari dan menangkap robot jahat itu. Manakala filem aksi Coast Guard Malaysia: Ops Helang turut menyerikan Ramadan ini dengan barisan pelakon hebat seperti Adlin Aman Ramlie, Julia Farhana, Sabri Yunus dan Saharul Ridzwan. Filem ini berkisarkan Hafiz, seorang Pegawai Pengawal Pantai Malaysia, sedang meraikan pertunangannya di sebuah resort pantai. Namun sekumpulan pengganas merampas hotel dan menculik tunang serta keluarganya. Dia berjaya melarikan diri dan segera mengatur misi mencari dan menyelamat untuk mendapatkan semua orang kembali dengan selamat.


Platform Radio

Pengisian berilmiah turut ke udara menerusi stesen-stesen radio Astro. Di ERA, Iftar ERA ingin membuka pintu kediaman Pak Azad kepada lima pendengar ERA yang bertuah untuk menghadiri majlis iftar. Majlis ini turut disantuni pelajar-pelajar tahfiz serta anak-anak yatim. PA-RAM DUO dari SINAR akan membuat

cabaran untuk ramadan kali ini. Mereka akan membantu perniaga yang berniaga di baazar ramadan sebagai pekerja untuk mempromosikan dan menaikkan perniagaan mereka. GEGAR membawakan Ahlan Wasahlan Ramadan GEGAR yang akan mengagihkan set Sejadah Eksklusif GEGAR berserta Kurma pada minggu akhir sebelum Ramadan hingga ke minggu kedua Ramadan. Pengagihan ini akan dibantu oleh KRU GEGAR di sekitar Masjid dan bazaar ramadan terpilih. ZAYAN bakal menyiarkan kapsul harian istimewa Ramadan, ZAYAN Kapsul Iftar sambil menunggu waktu berbuka puasa bersama PU Amin dan Sheikh Zainul Asri.


Go Shop

Sempena bulan Ramadan yang mulia, Go Shop melancarkan kempen Beli Ikhlas Dari Hati, menawarkan pelbagai barangan Ramadan dan Raya. Para pelanggan dapat menikmati pengalaman membeli-belah yang unik dan menarik dengan program istimewa setiap hari di BAARU (saluran 111) dan RUUMA (saluran 118). Para pelanggan boleh menonton Nour Al Ramadan untuk persiapan menjelang bulan Ramadan, Lip Lap Raya untuk fesyen sambutan Raya yang glamor, Jelita yang menyediakan tips terhebat untuk mengekalkan kulit dan kesihatan yang baik, Enak Rasa untuk snek dan minuman yang enak, Deko Raya untuk idea-idea hebat menghiasi rumah dan Jom Masak untuk alatan memasak terbaik dan resipi Raya yang lazat daripada chef tempatan. Layari Go Shop di www.goshop.com.my atau muat turun aplikasi Go Shop dari Google Play dan App Store untuk lebih tawaran menarik. Malah Go Shop turut akan menyumbang RM1 untuk setiap pembelian jenama terpilih yang dipaparkan menerusi program televisyen Go Shop kepada badan kebajikan yang akan dipilih kelak.


Tanggungjawab Sosial Korporat

Yang memerlukan jangan sekali-kali dilupakan. Astro Kasih giat meneruskan dan memperluaskan aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang merangkumi aktiviti memasak bubur lambuk di kalangan para sukarelawan, sukarelawati Astro dan artis-artis untuk Persatuan Anak Yatim dan Ibu Tunggal Nur Hikmah, Persatuan Rumah Kebajikan Anak Yatim & Ibu Tunggal Hajah Kamariah serta komuniti PPR di Taman Medan, Petaling Jaya.